Perayaan Cap Goh Mei jatuh pada 4 Mac tahun ini. Berdasarkan adat resam masyarakat China, pelbagai aktiviti sambutan akan berakhir pada hari ke-15 Tahun Baru China, iaitu pada Cap Goh Mei. Masyarakat China juga mempunyai adat resam yang unik menyambut Cap Goh Mei.
Cap Goh Mei merupakan malam pertama bulan purnama selepas Tahun Baru China. Pada malam hari Cap Goh Mei, tanglung berwarna-warni akan dinyalakan untuk menambah suasana meriah perayaan. Oleh itu, Cap Goh Mei juga dikenali sebagai "Pesta Tanglung".
Memakan onde-onde dan memasang tanglung merupakan adat resam menyambut perayaan Cap Goh Mei. Mengapa orang China suka memasang tanglung pada Hari Cap Goh Mei? Pada tahun 180 Sebelum Masihi, Maharaja Wen Dinasti Han naik takhta pada hari ke-15 selepas Tahun Baru China. Untuk merayakan peristiwa tersebut, Maharaja Wen memerintahkan tanglung dipasang di seluruh negara pada hari itu setiap tahun. Pada malam Cap Goh Mei, Maharaja Wen akan keluar istana untuk menyambut hari Cap Goh Mei bersama-sama rakyatnya. Sempena perayaan itu, beraneka macam tanglung akan dipasang oleh semua keluarga dan juga dipasang di tepi-tepi jalan.
Pada tahun 104 Sebelum Masihi, Cap Goh Mei telah ditetapkan menjadi perayaan besar kebangsaan. Berdasarkan peraturan berkenaan, tanglung mesti dipasang sempena hari Cap Goh Mei di tempat awam dan kawasan kediaman. Di samping itu, "Pesta Tanglung" akan diadakan secara besar-besaran di kawasan sibuk dan pusat kebudayaan. Serentak dengan itu, istana, kuil dan orang kaya juga akan membelanjakan banyak wang untuk membuat tanglung yang cantik. Pada malam Cap Goh Mei, semua orang akan keluar untuk menikmati keindahan tanglung itu, menjawab teka-teki yang ditulis di atas tanglung dan menari bersama-sama.
Tanglung tersebut biasanya diperbuat dengan kertas yang berwarna-warni, berbentuk gunung, bangunan, orang, bunga, burung, binatang dan sebagainya. Sekarang teknologi moden seperti gentian optik, laser, kawalan bunyi dan cahaya juga telah digunakan dalam pembuatan tanglung warna-warni.
Menjawab teka-teki merupakan salah satu aktiviti yang diadakan pada Hari Cap Goh Mei. Teka-teki ditulis di luar tanglung untuk membolehkan orang ramai menjawabnya. Aktiviti menjawab teka-teki pada Hari Cap Goh Mei berasal pada kira-kira tahun 200 Sebelum Masihi. Pada tahun 1000 Masihi, teka-teki serupa itu sangat popular. Sempena perayaan Cap Goh Mei, budayawan akan menulis teka-teki di luar tanglung untuk orang ramai menjawabnya. Dengan ini hari perayaan lebih menarik. Pada ketika itu orang ramai berpendapat menjawab teka-teki seolah-olah menembak harimau kerana tidak mudah.
Teka-teki yang baik bukan sahaja menarik, tetapi juga menjadi bahan pemikiran orang. Orang ramai akan merasa gembira apabila mendapat jawapan setelah mencuba menjawab agak lama.
Memakan onde-onde adalah adat istiadat utama pada Hari Cap Goh Mei. Onde-onde adalah sejenis kuih bebola berinti yang melambangkan kesatuan keluarga dan kesenangan. Dengan ini, orang ramai menikmati makanan tersebut untuk merayakan ahli keluarga berkumpul dan mengenangkan anggota keluarga yang tidak dapat bersama. Makanan onde-onde pada Hari Cap Goh Mei berasal daripada dongeng yang berikut:
Pada Zaman Chunqiu lebih 2000 tahun lalu, Maharaja negara Chu yang terletak di tengah dan hilir sungai Yangtze itu, mendapati benda berbentuk bebola yang berwarna putih terapung-apung di permukaan air sungai Yangtze ketika beliau mengadakan tinjauan. Anak kapalnya melihat dan memecahkan bebola itu dan mendapati inti bebola itu berwarna merah dan harum baunya. Bebola itu sedap dimakan setelah dimasak. Maharaja negara Chu bertanya menterinya apa benda itu, akan tetapi mereka pun tidak tahu. Kemudian Maharaja negara, Chu menghantar pengikutnya untuk bertanya Confucius, sarjana yang terkenal pada masa itu. Confucius berkata, ini epal terapung kemunculannya menandakan keamanan dan kemakmuran masyarakat. Hari itu kebetulan 15 hari bulan, bulan pertama Tahun Baru China. Maharaja negara Chu amat gembira, dan mengarahkan pengikutnya membuat kuih serupa dengan tepung gandum, haw dan cecair bidara sebagai inti pada hari tersebut setiap tahun. Beliau berharap mendapat kesempurnaan dan bertuah pada tahun baru. Sejak itu, adat istiadat memakan onde-onde pada hari ke-15 Tahun Baru China diwarisi sehingga sekarang.
Kini masyarakat China masih mengamalkan adat resam dan tradisi tersebut. Pelbagai aktiviti perayaan akan diadakan di pelbagai tempat sempena hari Cap Goh Mei. Misalnya, orang akan main kaki kayu jangkungan, menari tarian singa dan menari Yangge di bahagian utara. Ketika gong dan gendang dipalu, orang ramai berasa amat gembira sehingga akan penat pada tahun lalu. Pesta Tanglung yang diadakan setahun sekali di Zigong, Provinsi Sichuan dan Haerbin telah menjadi destinasi pelancongan yang terkenal dan menarik ramai pelancong.
----Puspa
|