Dalam ruangan hari ini, saya akan perkenalkan sejenis alat muzik tiupan yang popular di kawasan etnik minoriti di barat daya China iaitu Ba Wu. Terlebih dahulu, saya ingin menceritakan sebuah kisah tentang alat muzik tersebut.
Pada masa dahulu kala, di kawasan etnik Hani di barat daya China, terdapat seorang gadis jelita yang suka menyanyi. Penduduk di kawasan tersebut sering berkumpul di halaman rumah gadis itu untuk mendengar nyanyiannya. Pada suatu hari, gadis itu diculik oleh seekor hantu dan dipaksa menyanyi untuk hantu-hantu tersebut. Gadis itu menolak tuntutan tersebut, maka dengan itu lidahnya telah dipotong oleh hantu itu. Kemudian, gadis itu ditinggalkan di dalam hutan di kaki gunung. Selepas itu, gadis tersebut menjadi bisu. Kemudian perkara itu diketahui oleh seorang dewa, maka dia telah menyelamatkan gadis itu. Dewa itu memberikan seruling buluh kepada gadis itu. Irama lagu yang merdu segera ke luar daripada seruling buluh itu. Dewa itu menggunakan rid untuk menggantikan lidah gadis itu supaya gadis tersebut boleh terus menyanyi untuk rakyat etnik Hani. Dengan itu, irama lagu yang merdu melalui seruling yang ditiup oleh gadis itu dibawa angin hingga kedengaran ke kampungnya. Penduduk menjejaki irama lagu yang biasa didengar itu hingga ke dalam hutan tersebut dan ahkirnya mereka bertemu dengan gadis itu. Selepas itu, gadis itu sudah boleh menyanyikan lagu semula dengan "lidah buluh" yang diberi oleh dewa itu kepada penduduk kampungnya. "Lidah buluh" yang disebut dalam kisah tersebut ialah Ba Wu, sejenis alat muzik yang saya perkenalkan dalam ruangan hari ini.
Irama lagu yang saudara nikmati tadi bertajuk "Lagu Nelayan". Ba Wu sangat popular dalam kalangan etnik minoriti Hani, Yi dan Wa di barat daya China. Seterusnya marilah kita nikmati irama lagu yang bertajuk "Lagu Gembira Etnik Yi". Irama lagu ini menggambarkan suasana gembira penduduk etnik Yi yang menyanyi dan menari semasa sambutan sesuatu perayaan.
Sebagai hidangan terakhir, silalah nikmati irama lagu yang bertajuk "Burung Merak yang Berwarna-warni".
|