Album baru Peng Tan, seorang penyanyi dari Tanah Besar China yang bertajuk "Kisah tentang Seorang Belia" akan dilancarkan pada Julai tahun ini. Album itu merupakan album pertama yang dilancarkannya selepas meninggalkan kumpulan pancaragam rock Da Da dan memulakan kerjaya sendirinya di arena seni suara. Kini, dua buah lagu utama album itu yang bertajuk "Terbang Bersama Angin" dan "Kisah tentang Seorang Belia" sedang dipromosikan di pelbagai tempat di China.
Lagu "Terbang Bersama Angin" ialah sebuah lagu berirama rock. Dengan irama lagu yang berentak rancak itu, Peng Tan telah mengumumkan pengembaliannya ke dunia lagu pop. Lagu itu juga telah memperlihatkan ketabahan Peng Tan dalam mengejar impiannya dalam bidang seni muzik.
Kumpulan pancaragam Da Da yang ditubuhkan pada tahun 2000 terdiri daripada empat orang pemuda yang tampan, dan Peng Tan ialah penyanyi utama kumpulan pancaragam itu. Dengan muzik rock ciptaan mereka yang istimewa, kumpulan pancaragam itu telah berjaya menembusi dunia lagu pop di Tanah Besar China. Akan tetapi, selepas melancarkan dua buah album, kumpulan pancaragam Da Da telah dibubarkan pada tahun 2005. Selepas itu, Peng Tan mula menceburkan diri dalam bidang penciptaan muzik. Kini, beliau telah kembali ke arena seni suara dengan album pertamanya yang baru disiapkan iaitu "Kisah tentang Seorang Belia".
Lagu "Kisah tentang Seorang Belia" ialah lagu utama album baru Peng Tan. Lagu itu berkisar tentang pengalaman Peng Tan pada masa mudanya.
Lagu "Salji Melayang-layang di Udara" dicipta oleh seorang bintang baru di dunia lagu pop Tanah Besar China iaitu An Tao pada tahun 2006. Dengan iramanya yang lancar dan penuh dengan estetika serta liriknya yang sederhana, lagu itu dipenuhi perasaan pilu. Menerusi lagu itu, An Tao telah menceritakan tentang satu pengalaman pilu yang berlaku pada musim sejuk dengan suara nyanyiannya yang penuh dengan perasaan.
An Tao sentiasa menganggap seni muzik sebagai nyawanya sendiri. Dengan daya ciptaannya yang hebat, teknik kawalan suaranya yang mantap, gaya muzik ciptaannya yang bebas serta irama ciptaannya yang mudah dan menggembirakan, An Tao telah menambat hati ramai peminat terutamanya golongan muda-mudi.
Lagu "Ben Ming Nian" dilancarkan oleh An Tao pada penghujung tahun 2006. Menurut tradisi, orang Cina mencatat tahun kelahiran seseorang menurut kalendar Cina yang dikira berdasarkan 12 jenis binatang, dan 12 tahun merupakan satu kitaran. Mengikut kepercayaan tradisi, perangai dan nasib seseorang ditentukan oleh tahun kelahiran mereka. Tahun haiwan yang sama dengan tahun kelahiran seseorang dipanggil sebagai "Ben Ming Nian" dalam bahasa Mandarin atau kitaran tahun kelahiran. Pada tahun "Ben Ming Nian", orang ramai suka memakai pakaian, sarung kaki dan perhiasan lain yang berwarna merah yang dipercayai boleh membawa nasib baik kepada mereka. Justeru itu, lagu "Ben Ming Nian" ini telah menceritakan tentang adat istiadat tersebut.
Senarai Lagu dalam Ruangan "Rentak Suka Ramai" Kali Ini
I "Terbang Bersama Angin"
II "Kisah tentang Seorang Belia"
III "Salji Melayang-layang di Udara"
IV "Ben Ming Nian"
|