Kalendar "24 musim" merupakan satu sistem yang membahagikan masa setahun kepada 24 penggal yang panjangnya hampir sama dan perubahan iklimnya tidak besar. Sistem kalendar tersebut merupakan hasil kajian rakyat China setelah menjalankan cerapan cakerawala dan membuat pemerhatian yang teliti dalam bidang meteorologi. Sistem kalendar itu telah menjadi alat yang sangat berguna bagi kaum tani kerana daripada kalendar itu, mereka boleh mengetahui masa yang paling sesuai untuk melakukan aktiviti pertanian seperti penanaman dan penuaian.
Berdasarkan catatan sejarah, pada tahun 104 Sebelum Masihi orang China telah menghasilkan kalendar "24 musim". Rakyat China pada zaman purba juga telah menciptakan "Lagu 24 Musim" dan "Sajak 24 Musim" supaya orang ramai lebih mudah untuk mengingat akan sistem kalendar itu.
"Xiao Shu" merupakan penggal ke-11 dalam kalendar "24 Musim" selepas "Solstis Musim Panas". Hari pertama penggal itu iaitu hari "Xiao Shu" yang jatuh pada 7 hb atau 8 hb bulan Julai setiap tahun. Hari "Xiao Shu" bagi tahun ini telah jatuh pada 7 hb Julai lalu. "Shu" bermaksud kepanasan, manakala "Xiao" bermaksud sedikit. Dalam buku kuno China dianggap bahawa tahap kepanasan cuaca berkembang secara berperingkat-peringkat. Dalam kalendar "24 Musim", terdapat tiga musim yang namanya berkaitan dengan kepanasan. Di China, pada awal bulan Julai, cuaca belum ke tahap yang paling panas, maka hari pertama penggal dalam tempoh itu telah diberi nama "Xiao Shu" yang secara harfiah bermaksud sedikit dan kepanasan. Sehingga penghujung bulan Julai, cuaca akan menjadi panas sangat. "Da Shu", penggal yang berikutnya selepas "Xiao Shu" akan tiba. Da di sini bermaksud sungguh atau sangat, "Shu" juga bermaksud kepanasan. Manakala, hari "Chu Shu" yang jatuh pada penghujung bulan Ogos menandakan cuaca panas akan berakhir tidak lama lagi. Sebenarnya, setelah berlalunya hari "Xiao Shu", suhu udara di kebanyakan kawasan di China telah melonjak naik ke atas 30 darjah Selsius, malah suhu udara di sesetengah tempat di bahagian selatan China akan sampai 40 darjah Selsius.
Di China, terdapat satu bidalan yang menceritakan kesan cuaca terhadap manusia dan tumbuhan pertanian ketika musim "Xiao Shu". Bidalan itu berbunyi, "pokok padi ketawa kerana kepanasan, namun manusia resah gelisah di rumah". Ini bermaksud, suhu udara yang tinggi pada kemuncak musim panas amat memanfaatkan pertumbuhan tanaman pertanian, akan tetapi kepanasan itu juga telah menyusahkan kehidupan manusia.
Pada masa di sekitar hari "Xiao Shu", aktiviti penuaian gandum musim sejuk di sebahagian kawasan di timur laut dan barat laut China masih belum diselesaikan. Sementara itu, petani di kebanyakan kawasan di China sedang sibuk bekerja untuk menjaga tanaman yang akan matang pada musim gugur nanti. Mereka sibuk untuk membuang rumpai, menabur baja dan menyembur racun serangga di ladang. Oleh sebab cuaca yang panas, tanaman juga tumbuh paling pesat dalam musim tersebut. Petani China menyimpulkan dengan pengalaman mereka sebagai berbunyi, jika cuaca panas pada hari "Xiao Shu", tanam-tanaman akan membuahkan hasil lumayan, sebaliknya tumbuhan yang ditanam akan gagal membuahkan hasil. Unsur-unsur seperti ketinggian suhu udara yang melebihi 30 darjah Selsius dan masa panjang terdedah dengan cahaya matahari telah mempercepat pertumbuhan tanaman di ladang.
Di kawasan penanaman pokok kapas, setelah hari "Xiao Shu" berlalu, para pekerja juga sibuk untuk mencantas ranting pokok, menggunakan baja dan meracun serangga untuk pokok itu.
Selain itu berkaitan dengan kepanasan cuaca, ketibaan hari "Xiao Shu" juga menandakan peningkatan jumlah penurunan hujan yang ketara di kebanyakan kawasan di China. Hujan lebat dan hujan batu juga bertambah banyak. Maka, pencegahan banjir telah menjadi perhatian rakyat dan kerajaan China.
Di China terdapat satu bidalan yang berbunyi, "Da Shu" dan "Xiao Shu", mati pula tikus yang lemas banjir itu". Bidalan itu memperlihatkan besarnya jumlah hujan yang turun pada musim panas, yang boleh mengakibatkan lubang tikus di bawah tanah pun berlaku banjir sehingga semua tikus di dalamnya mati lemas.
Orang Hakka yang tinggal di pantai tenggara China mempunyai kebiasaan untuk memakan nasi yang dibuat dengan beras baru setelah hari "Xiao Shu" berlalu. Di kampung orang Hakka, orang ramai akan menumbuk padi menjadi beras untuk dimasak nasi. Nasi itu akan digunakan untuk memuja dewa tani dan nenek moyang mereka. Lalu, semua anggota keluarga akan bersama-sama menikmati wain beras yang dibuat dengan beras baru itu. Sementara itu, orang Hakka yang tinggal di bandar mempunyai kebiasaan memasak nasi dengan beras lama campur beras baru untuk dimakan bersama dengan lauk-pauk sayur musim itu. Orang Hakka mempercayai bahawa kebiasaan tersebut akan membawa kesejahteraan kepada sekeluarga.
----Puspa
|