Dalam ruangan hari ini, saya akan perkenalkan pemain seruling terkenal China, Wang Tiechui dan irama lagu yang dimainkannya. Sebagai hidangan pertama, silalah nikmati irama lagu seruling yang bertajuk "Berjalan". Irama lagu ini berunsurkan lagu rakyat Shanxi di bahagian utara China dan menggambarkan kaum tani yang menaiki pedati yang penuh dengan hasil tanaman dan berjalan jauh dengan perasaan gembira.
Irama lagu yang saudara nikmati sekarang ialah irama lagu seruling "Yi Jia Feng" yang dimainkan oleh Wang Tiechui. Irama lagu ini merupakan irama lagu rakyat yang popular di provinsi Shandong di bahagian timur China dan sering digunakan dalam drama tempatan Shandong.
Selain menurunkan muzik rakyat tradisional China, Wang Tiechui juga mengumpulkan kemahiran pelbagai aliran dan mengembangkan kesenian permainan seruling. Melalui persembahan dalam masa yang panjang, Wang Tiechui telah membentuk gaya yang tersendiri. Wang Tiechui amat mementingkan pengumpulan dan peraturan irama lagu rakyat di pelbagai tempat China serta menyadurkannya menjadi karya yang bercirikan zaman yang berbeza. Berikutnya silalah nikmati irama lagu "Malam Musim Gugur" yang disadurkan daripada irama lagu rakyat Hebei. Irama lagu ini menggambarkan malam pada musim gugur, rasa kegembiraan gadis desa yang duduk di bawah lampu dan menjahit pakaian kahwinnya dan harapan gadis itu terhadap kehidupan yang bahagia.
Wang Tiechui telah berulang kali menyertai persembahan Pesta Belia Dunia dan telah memperoleh anugerah dalam Pesta Belia Dunia Ke-4 dan Ke-5. Selepas itu, beliau bukan sahaja mengadakan persembahan di bandar-bandar besar di China, tetapi juga mengunjungi lebih 20 buah negara di Asia, Afrika, Eropah dan Amerika. Seterusnya, marilah kita nikmati irama lagu seruling yang bertajuk "Pujian terhadap Bunga Teratai".
Sebagai hidangan terakhir, silalah nikmati irama lagu ciptaan Wang Tiechui yang bertajuk "Pagi Medan Minyak". Irama lagu ini menggambarkan pekerja lombong petroleum memasuki medan minyak pada suatu pagi untuk memulakan pekerjaan harian yang tegang tetapi gembira.
|