Dalam ruangan hari ini, saya akan perkenalkan komposer wanita terkenal China, Gu Jianfen dan lagu-lagu ciptaannya.
Sebagai hidangan pertama, silalah nikmati lagu yang bertajuk "Itulah Saya" yang dinyanyikan oleh Zhu Fengbo. Lagu ini mengutarakan rasa sayang terhadap ibu.
Gu Jianfen merupakan komposer wanita terkenal China. Beliau dilahirkan di Osaka, Jepun pada tahun 1935 dan kembali ke tanah air bersama-sama ayah dan ibunya semasa berusia 7 tahun. Beliau ialah lulusan jurusan penggubahan Kolej Muzik Timur Laut China pada tahun 1955. Bermula pada tahun 1980-an, Gu Jianfen telah menggubah banyak karya muzik yang diminati ramai. Irama lagunya yang merdu itu telah memperlihatkan semangat dan harapan penduduk China pada masa itu.
Berikutnya marilah kita nikmati lagu yang bertajuk "Berjumpalah Kaum Muda". Lagu ini merupakan karya Gu Jianfen yang paling terkenal. Semasa lagu ini dinyanyikan untuk pertama kalinya di sebuah pentas terbuka, hujan lebat telah turun secara tiba-tiba. Akan tetapi, pemuda yang berdiri di sekeliling pentas itu tetap tidak berganjak bahkan memberi tepukan yang lebih gemuruh hingga ke depan pentas itu untuk melahirkan kegembiraan dalam hati mereka. Lagu itu menjadi popular dalam masa yang singkat dan telah menjadi siulan ramai pada masa itu.
Selepas lagu yang bertajuk "Berjumpalah Kaum Muda" mencapai kejayaan, Gu Jianfen turut menggubah banyak lagu merdu yang menjadi lagu paling popular pada masa itu dan diminati oleh ramai pemuda. Seterusnya, marilah kita nikmati lagu yang bertajuk "Rasa Rindu" yang dinyanyikan oleh Mao Amin.
Sebagai hidangan terakhir, silalah nikmati lagu ciptaan Gu Jianfen untuk kanak-kanak yang bertajuk "Nyanyian dan Senyuman".
|