Dalam ruangan kali ini, saya akan terus memperkenalkan komposer wanita terkenal China, Gu Jianfen dan lagu-lagu ciptaannya. Sebagai hidangan pertama, silalah nikmati lagu yang bertajuk "Ibu dalam Sinar Lilin" yang dinyanyikan oleh Mao Amin. Lagu ini menyampaikan rasa sayang anak terhadap ibunya.
Dalam ruangan sebelum ini, saya telah perkenalkan Gu Jianfen, seorang komposer wanita terkenal China. Bermula pada tahun 1980-an, beliau telah menggubah banyak lagu merdu yang menjadi siulan ramai pada masa itu. Sejak masa itu, karya ciptaan Gu Jianfen berulang kali memperoleh anugerah di dalam dan luar negara. Antaranya, lagu ciptaannya yang bertajuk "Perasaan Daun terhadap Akar" yang dinyanyikan oleh Mao Amin telah memperoleh tempat ketiga Anugerah Popular Pesta Muzik Antarabangsa Belgrade pada tahun 1987. Perolehan anugerah popular dalam arena muzik antarabangsa adalah pertama kali bagi Gu Jianfen dan juga bagi arena lagu China. Berikutnya, marilah kita nikmati lagu "Perasaan Daun terhadap Akar" yang dinyanyikan oleh Mao Amin. Lagu ini mengutarakan perasaan seseorang terhadap kampung halaman dan tanah airnya.
Gu Jianfen bukan sahaja menggubah lagu, beliau juga turut menubuhkan "Pusat Latihan Seni Vokal Gu Jianfen" pada tahun 1984 dengan tujuan untuk melatih seseorang menjadi penyanyi yang baik dan mengumpul pengalaman latihan penyanyi popular. Antara lebih 50 orang penyanyi yang dilatihnya, Mao Amin, Xie Xiaodong, Na Ying dan lain-lain berturut-turut menjadi penyanyi yang diminati ramai dalam arena lagu China.
Pada tahun 1990-an, Gu Jianfen telah menggubah lagu bagi drama bersiri TV yang bertajuk "Roman Kerajaan Tiga Negeri". Ciptaan itu dapat dianggap kemuncak kariernya sebagai seorang komposer. Kesemua 20 lagu yang diciptanya mencapai kejayaan. Sebagai hidangan terakhir, silalah nikmati lagu tema drama bersiri TV itu yang bertajuk "Sungai Yangtze Mengalir ke Timur".
|