Penyanyi tersohor dari Tanah Besar China, Han Xue telah memikat hati ramai peminat dengan gayanya yang lemah lembut, senyumannya yang mempesonakan, suara nyanyiannya yang merdu serta teknik nyanyiannya yang mantap. Pada musim sejuk tahun 2004, Han Xue telah melancarkan album pertamanya yang bertajuk "Salji Melayang-layang di Udara". Pada musim panas tahun 2006, beliau telah melancarkan album keduanya yang bertajuk "Cinta pada Musim Panas". Dengan suara nyanyiannya yang penuh dengan kepiluan, kelembutan dan romantis, kedua-dua album tersebut amat dialu-alukan oleh peminatnya.
Lagu "Angin Dari Hutan Buluh" merupakan lagu utama album kedua Han Xue. Irama lagu ini yang segar dan suara nyanyian Han Xue yang sederhana bagaikan angin sepoi-sepoi yang bertiup di hutan buluh, dan boleh menenangkan dan menggembirakan hati para pendengar.
Lagu-lagu dalam album "Cinta pada Musim Panas" melibatkan pelbagai unsur yang termasuk lagu dengan gaya penyampaian yang penuh perasaan, lagu tarian, senandung berirama rock, jaz, Bosanova dan lain-lain. Seterusnya, silalah nikmati sebuah senandung berirama rock yang bertajuk "Waktu Petang pada Musim Panas". Dengan irama yang menggembirakan dan romantis, lagu ini telah mencerminkan keselesaan dan kesenangan semasa waktu petang pada musim panas.
Setelah menikmati dua buah lagu yang dinyanyikan oleh Han Xie, seterusnya kami akan perkenalkan seorang penyanyi rock yang bernama Gu Su dan dua buah lagu ciptaannya yang masing-masing bertajuk "Siapakah Ku" dan "Menyerah Kalah".
Penyanyi Gu Su merupakan seorang pemalu sejak kecil. Terpengaruh oleh abang kandungnya yang mahir mencipta muzik rock, Gu Su telah melahirkan minat yang mendalam terhadap muzik rock dan mula mempelajari dram jaz dan gitar dengan abangnya sejak berumur belasan tahun. Semasa menuntut di universiti, Gu Su telah menubuhkan sebuah kumpulan pancaragam yang bertajuk "Pokok Kritikal" yang khusus untuk mempersembahkan muzik rock dan Blues. Dalam tempoh itu, beliau telah mempelajari teknik penciptaan muzik dengan komputer, dan mula mencuba untuk mencipta muzik untuk filem bebas. Setelah tamat pengajian di universiti, beliau telah mencipta lebih 50 buah lagu yang amat digemari oleh para pendengar.
Lagu yang saudara nikmati sekarang bertajuk "Siapakah Ku". Lagu ini telah menggambarkan kemurungan golongan moden pada zaman digital yang perkembangan internet berlaku amat pesat serta pemikiran mereka terhadap kehidupan semasa. Melalui penggunaan pelbagai unsur muzik secara bersepadu, lagu ini telah memperlihatkan bakat Gu Su dalam bidang penciptaan muzik.
Pada tahun 2003, Gu Su telah datang ke Beijing dengan membawa karya muzik ciptaannya sendiri untuk mencari peluang bagi mengembangkan kerjayanya dalam bidang seni muzik di bandar ini. Setelah salah satu sampel karya muziknya ditemui oleh Guo Chuanlin, seorang pemuzik terkenal di Tanah Besar China, beliau secara rasminya mula menceburi arena seni suara Beijing.
Karya Gu Su yang dipanggilnya sebagai muzik gabungan itu melibatkan pelbagai unsur yang termasuk muzik rock bergaya Britain, Blues, muzik kampung, Reggae dan etnik dan lain-lain. Sebagai hidangan terakhir, marilah kita sama-sama menikmati sebuah lagu bergaya kampung yang bertajuk "Menyerah Kalah".
Senarai Lagu dalam Ruangan "Rentak Suka Ramai" Kali Ini
I "Angin Dari Hutan Buluh"
II "Waktu Petang pada Musim Panas"
III "Siapakah Ku"
IV "Menyerah Kalah"
|