v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Taktik Ke-22 daripada "36 Taktik Peperangan" --- Tutup Pintu untuk Menangkap Pencuri

2008-01-23 09:55:17 CRI

36 Taktik Peperangan merupakan sebuah buku yang di dalamnya terkandung 36 taktik peperangan yang digunakan pada zaman purba di China dan diwarisi sehingga hari ini. Taktik-taktik peperangan yang terkandung di dalam buku itu telah digunakan di China dalam jangka masa yang panjang dan telah menjadi inti pati kebudayaan tradisi China. Pada masa ini, "36 Taktik Peperangan" telah disesuaikan untuk strategi dalam pelbagai bidang, antaranya termasuklah politik, diplomasi, ilmu pengurusan, perdagangan dan lain-lain.

Dalam "36 Taktik Peperangan" tidak banyak bahagian yang menjelaskan tentang teori peperangan, sebaliknya lebih tertumpu kepada penggunaan praktikal strategi peperangan.

"36 Taktik Peperangan" merupakan rumusan buah fikiran ahli ketenteraan yang terunggul pada zaman purba China. Setiap taktik mempunyai tujuan yang jelas dan bersifat praktikal. Kebanyakan taktik tersebut lebih mementingkan perubahan yang tidak dijangka ketika bertempur dengan musuh. 36 Taktik Peperangan diketahui oleh umum melalui pelbagai cara. Ada taktik yang diberi nama dengan judul opera, peribahasa atau peristiwa yang pernah berlaku dalam sejarah China. Dengan demikian, orang ramai lebih mudah untuk memahami teori dan ilmu ketenteraan yang terkandung di dalam buku itu.

"Tutup Pintu untuk Menangkap Pencuri" ialah satu pepatah lama yang telah dipakai sejak turun-temurun. Daripada judul taktik tersebut sudah dapat kita menangkap maksud yang hendak disampaikan, iaitu menarik pencuri masuk ke lingkungan yang dapat kita kawal, kemudian menutup pintu untuk menangkapnya. Penggunaan taktik itu terbukti berkesan dalam peperangan zaman purba China.

Dalam bidang ketenteraan, taktik "Tutup Pintu untuk Menangkap Pencuri" sama maksudnya dengan taktik "Mengepung dan Memusnahhabiskan" yang sering digunakan dalam peperangan.

Dalam buku "36 Taktik Peperangan", penjelasan mengenai taktik tersebut berbunyi, tujuan "tutup pintu" adalah untuk mencegah musuh daripada melepaskan diri, kerana jika dibiarkan musuh melepaskan diri, ini akan menanam bibit konflik baru. Tetapi, jika musuh berjaya melarikan diri, kita harus berhati-hati jika mengejar mereka supaya tidak terperangkap dalam tipu muslihat mereka. Seterusnya, satu pertempuran yang berlaku pada zaman purba China supaya saudara lebih memahami maksud taktik "Tutup Pintu untuk Menangkap Pencuri".

Pada tahun 880 Masihi, pasukan pemberontak petani yang diketuai oleh Huang Chao telah menawan Chang'an, ibu kota kerajaan Dinasti Tang. Tetapi, raja Dinasti Tang sempat melarikan diri sebelum pasukan pemberontak memasuki kota itu. Baginda telah mengarahkan pasukan tentera kerajaan di tempat yang lain supaya berkumpul di luar kota itu untuk merebut kembali kota Chang'an. Setelah kedua-dua pihak berkonfrontasi selama setahun, pasukan tentera kerajaan telah pulih semangat dan bersiap sedia untuk bertempur dengan pasukan pemberontak di dalam kota itu.

Memandangkan jumlah tentera kerajaan amat besar dan kota Chang'an tidak tahan lagi kerana terlalu lama dikepung, Huang Chao telah memutuskan untuk mengundurkan pasukannya daripada kota Chang'an setelah menilai situasi keseluruhan.

Sebelum tentera kerajaan melancarkan serangan terhadap kota Chang'an, mereka sama sekali tidak tahu pasukan pemberontak sudah berundur daripada kota itu. Di luar dugaan mereka, serbuan mereka tidak menghadapi sebarang tangkisan. Kemenangan yang terlalu mudah didapat itu telah membuatkan para anggota tentera kerajaan sungguh gembira sehingga tidak lagi berwaspada terhadap gerakan pasukan pemberontak yang sudah lari.

Sementara itu, Huang Chao telah menghantar orang untuk mendapatkan maklumat risikan dalam kota Chang'an. Ketika diberikan taklimat mengenai keadaan dalam kota itu, Huang Chao berkata, "musuh sudah masuk perangkap". Pada tengah malam hari itu, pasukan pemberontak yang diketuai oleh Huang Chao telah berkejar kembali ke kota Chang'an dan melancarkan serbuan secara mendadak terhadap kota itu. Boleh dibayangkan, bagaimana tentera kerajaan yang sama sekali tidak menyangka serangan itu akan berlaku, telah mengalami kematian dan kecederaan yang serius. Dengan menggunakan taktik "Tutup Pintu untuk Menangkap Pencuri", pasukan pemberontak telah berjaya menewaskan tentera kerajaan yang mempertahankan kota Chang'an dan sekali lagi menduduki kota itu.

Menghayati cerita tersebut, apa yang boleh kita pelajari ialah, jika kita memiliki kesempatan untuk menangkap seluruh musuh, maka lakukanlah bersungguh-sungguh sehingga pertempuran segera berakhir. Jika musuh berjaya melepaskan diri, keadaan akan menjadi lebih rumit. Ketika melakukan pengejaran, kita mesti berhati-hati supaya tidak terperangkap dalam tipu muslihat mereka. Jadi, yang paling penting ialah kita hendaklah mengambil kesempatan ketika boleh memusnahhabiskan musuh dan jangan memberi peluang kepada mereka untuk melepaskan diri.

----Puspa

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |