Masyarakat Cina di seluruh dunia telah menyambut dengan penuh meriah perayaan tradisi turun temurun iaitu perayaan Tahun Baru Cina pada 7 Februari yang lalu. Setiap tahun, kami memberikan penghormatan kepada sejenis binatang yang menjadi simbol tahun yang berkenaan. Terdapat 12 jenis binatang terpilih sebagai simbol kepada tahun-tahun Cina. Binatang-binatang tersebut ialah tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan babi. Antara binatang tersebut, hanya naga sahaja binatang khayalan daripada cerita dongeng. Binatang yang lain boleh dikatakan semuanya mempunyai kaitan yang rapat dengan kehidupan manusia pada zaman purba. Naga turut dijadikan simbol bagi tahun Cina kerana ia merupakan sejenis totem orang Cina pada zaman purba.
Pada tahun 2008 ini, sang tikus mendapat penghormatan. Lebih tepat lagi, tahun ini adalah tahun tikus.
Antara 12 jenis binatang tersebut, tikuslah binatang yang paling kecil saiznya. Saudara tentunya merasa harian mengapa tikus mendapat giliran pertama sebagai ikon tahun Cina? Satu kisah yang diceritakan turun temurun dalam masyarakat Cina mungkin dapat menjelaskan perkara tersebut.
Kononnya, satu dewa yang menjaga segala makhluk di dunia ini pernah membuat tawaran kepada semua binatang yang berminat untuk dijadikan ikon setiap tahun. Tawaran dewa tersebut disambut oleh pelbagai haiwan daripada pelbagai kategori.
Oleh sebab terlalu banyak spesies haiwan yang berminat menjadi ikon dan simbol bagi setiap tahun, maka dewa itu mengehadkan untuk memilih 12 jenis binatang sahaja. Ini bermakna, bagi setiap tahun hanya sejenis binatang dipilih. Apabila sampai ke tahun ke-13, maka binatang yang dipilih untuk tahun pertama tadi akan terpilih semula. Begitulah tahun-tahun seterusnya.
Syarat untuk menjadi ikon tahun baru amatlah mudah. Mana-mana spesies binatang yang berlari dan sampai dahulu di tempat dan pada masa yang ditetapkan akan terpilih sebagai ikon tahun baru.
Pada tarikh yang dijanjikan, pelbagai spesies haiwan berlumba-lumba untuk menjadi haiwan paling awal melapor diri di destinasi yang diberikan oleh dewa itu. Berbagai-bagai cara, teknik dan strategi digunakan untuk sampai ke destinasi tersebut dengan segera.
Ada yang sudah berkampung sejak sekian lama di kawasan yang berhampiran dengan destinasi yang ditetapkan, ada juga yang membuat spekulasi bahawa bukan tarikh ini, tapi tarikh yang lain. Mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk mencapai cita-cita masing-masing, iaitu menjadi model sepanjang tahun.
Daripada kesemuanya, lembu dan tikuslah antara binatang yang paling awal berlepas. Tikus berfikir bahawa ia tidak sama sekali ada harapan untuk mendahului lembu, tidak kira, mengikut saiz ataupun kelajuan. Jadi, tikus telah melakukan tipu helah dalam perlumbaan tersebut. Ia meminta izin lembu untuk menunggangnya dengan alasan badannya terlalu kecil dan tidak tahan perlumbaan yang begitu jauh. Lembu yang peramah dan baik hati itu terus bersetuju dengan permintaan itu. Seperti yang dijangkakan, apabila lembu dan tikus hampir sampai garis penamat, sang tikus mengambil kesempatan melompat dari belakang lembu yang ditunggang. Akhirnya, tikus menjadi haiwan yang pertama samapai dan tahun tersebut terus diisytiharkan sebagai tahun tikus.
Sebenarnya, sebabnya memilih tikus sebagai haiwan yang pertama mewakili tahun baru juga bersangkut rapat dengan cara mengira masa orang Cina pada zaman purba. Ahli falak zaman purba China membahagikan masa sehari kepada 12 tempoh. Setiap tempoh sepanjang dua jam dan dimulakan dari pukul 11 malam. Untuk lebih mudah diingatkan, ahli falak China telah memilih 12 jenis haiwan untuk menamakan 12 tempoh tersebut. Oleh sebab tikus mempunyai kebiasaan bergerak pada waktu jauh malam, ia telah dipilih sebagai haiwan untuk mewakili tempoh dari pukul 11 malam hingga 1 pagi.
Dalam kebudayaan masyarkat Cina terdapat banyak cerita mengenai sang tikus. Antaranya, yang paling popular ialah cerita "tikus mengahwini isteri". Kononnya, hari ketujuh bulan pertama selepas Tahun Baru Cina ialah tarikh sang tikus mengahwini isterinya. Pada hari itu, orang ramai akan tidur lebih awal daripada biasa dan memastikan rumah gelap tanpa lampu dan sunyi seperti tidak ada orang. Selain itu, orang Cina juga akan meletakkan makanan di sudut-sudut rumah untuk dimakan oleh tikus. Jika sesiapa mengganggu majlis perkahwinan sang tikus, rumahnya akan dibanjiri oleh beratus-ratus tikus tidak lama lagi.
Di sesetengah kawasan luar bandar bahagian barat China, penduduk di sana akan membuat 12 ketul kek yang berupa tikus yang tidak ada mata daripada tepung gandum, dan menghidangkannya di atas meja untuk mendoakan agar tikus hanya memakan akar rumput, dan tidak memakan tanaman mereka dan hasil tuaian yang lumayan pada tahun itu. Dari sejarah China yang lama, cerita dan tradisi yang diwarisi sehingga hari ini memperlihatkan hasrat masyarakat Cina yang kehidupannya banyak bergantung kepada pertanian, memang sentiasa menginginkan kesejahteraan dan kebahagiaan.
Kini, imej tikus semakin hari semakin banyak muncul dalam karya seni. Baru-baru ini, seniman guntingan kertas China, Chen Zihao telah menghasilkan karya yang bertema "sang tikus mengahwini isteri". Guntingan kertas selebar 20 meter itu menempatkan 82 ekor tikus di atasnya. Karya yang "hidup" itu menggambarkan sebuah majlis perkahwinan tikus yang meriah.
Pada awal tahun ini, Kanada telah mengeluarkan setem kenang-kenangan bertema "sang tikus mengahwini isteri". Amerika Syarikat pula telah mengeluarkan duit syiling kenang-kenangan Tahun Tikus China baru-baru ini.
Dalam beberapa karya kartun, tikus juga dijadikan watak utama yang comel, cerdik dan lucu, seperti dalam kartun "Tom and Jerry" dan "Stuart Little".
----Puspa
|