Sebelum ketibaan perayaan tahun baru, orang ramai mula sibuk menghiasi rumah mereka untuk menambah seri suasana perayaan. Guntingan kertas merupakan sejenis kraf tangan digunakan dalam penghiasan rumah.

Guntingan kertas adalah salah satu seni tradisional yang paling popular di China. Bagaimanapun, tiada yang mengetahui asal usulnya. Ada orang berpendapat bahawa guntingan kertas pada mulanya digunakan untuk upacara keagamaan dan pemujaan pada zaman purba. Orang zaman dahulu biasanya menggunting kertas yang dijadikan dalam bentuk haiwan dan manusia. Guntingan kertas itu kemudiannya akan ditanam bersama-sama mayat atau dibakar semasa upacara pengebumian sebagai pendamping orang mati.
Tetapi pada 1000 tahun yang lalu, guntingan kertas ini lebih banyak digunakan dalam bidang penghiasan. Menurut catatan sejarah, wanita pada zaman Dinasti Tang iaitu pada abad ke-7 hingga ke-8 Masihi pernah menggunakan guntingan kertas sebagai hiasan kepala. Orang pada zaman itu juga mempunyai kebiasaan membuat rama-rama daripada guntingan kertas untuk menyambut kedatangan musim bunga. Pada zaman Dinasti Song iaitu pada abad ke-12 Masihi, guntingan kertas telah digunakan sebagai hiasan buah tangan dan rumah. Mereka yang pandai membuat guntingan kertas ramai muncul pada zaman itu.

Guntingan kertas dibuat dengan tangan. Bagi tukang guntingan kertas, mereka memerlukan gunting dan pisau ukir dalam pelbagai ukuran untuk menghasilkan reka bentuk yang rumit. Kemahiran menggunting sangat penting. Semasa menggunting kertas, tukang harus memberi tumpuan pada kerjanya. Tidak boleh tersalah sedikit, ia akan mencacatkan hasilnya.
Terdapat pelbagai reka bentuk guntingan kertas, ada yang berbentuk haiwan, watak dalam cerita rakyat, citra dalam karya sastera klasik, topeng muka Opera Peking. Guntingan kertas buatan pelbagai tempat di China adalah berbeza antara satu sama lain.

Pada masa lalu, selepas musim menuai, wanita di kawasan desa sering duduk berkumpul untuk membuat guntingan kertas bersama-sama. Kraf tangan ini merupakan kemahiran yang perlu dikuasai oleh setiap gadis dan juga merupakan piawaian untuk menilai kepandaian pengantin wanita.
Zaman sudah berubah, tidak ramai lagi yang berminat kepada kemahiran membuat guntingan kertas. Sedikit sahaja yang berminat kepada seni itu dan menjadikannya sebagai kerjaya. Sekarang, di China masih terdapat kilang guntingan kertas dan persatuan kesenian guntingan kertas peringkat negara. Mereka akan mengadakan pameran dan aktiviti pertukaran teknikal pada setiap tahun.
----Puspa 1 2
|