Dalam ruangan hari ini, saya akan perkenalkan penyanyi wanita etnik Tibet, Han Hong dan lagu-lagu yang digubah dan dinyanyikannya.
Sebagai hidangan pertama, marilah kita nikmati lagu yang berjodol "Himalaya". Lagu ini mengutarakan rasa cinta penduduk Tibet terhadap kampung halaman.
Han Hong dilahirkan di Changdu, Wilayah Autonomi Tibet China. Ibunya merupakan penyanyi etnik Tibet yang terkenal. Bak kata pepatah, di manakan tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Terpengaruh dengan ibunya, Han Hong berminat pada muzik sejak kecil. Semasa berusia 14 tahun, beliau telah memperoleh anugerah dalam sebuah pertandingan seni suara peringkat negara. Selepas itu, Han Hong memasuki institusi profesional untuk mempelajari seni suara dan seni muzik. Pada tahun 1995, ketika masih menuntut, beliau telah memperoleh anugerah ketiga dalam Pertandingan Muzik Stesen Televisyen Pusat China (CCTV) dengan lagu yang bertajuk "Himalaya". Kemahirannya menggubah lagu tidak disiasiakan, banyak lagu yang digubah dan dinyanyikannya dilancarkan. Lagu-lagu tersebut mendapat sambutan dan diminati ramai.
Berikutnya, marilah kita nikmati lagu yang bertajuk "Sinar Matahari di Atas Salji".
Ternyata Han Hong seorang penyanyi yang berkebolehan menggubah lagu. Seni kata yang ditulisnya sederhana dan tulus. Beliau juga menggabungkan unsur muzik rakyat yang popular dalam irama yang digubahnya. Pada tahun 1997, Han Hong melancarkan album pertama. Antara lagu-lagu dalam album itu, enam buah yang digubahnya sendiri. Lagu yang saudara nikmati tadi "Sinar Matahari di Atas Salji" merupakan lagu utama dalam album tersebut. Banyak lagu dalam album itu popular di seluruh negara.
Berikutnya, marilah kita nikmati lagu yang bertajuk "Jalan Kuno Chama". Jalan kuno "Chama" merupakan laluan perdagangan antarabangsa dalam cerita rakyat. Kumpulan berkuda menjadi alat pengangkutan utama di jalan itu. Jalan tersebut menyambung kawasan barat daya China dengan Myanmar, Nepal dan India. Urus niaga di jalan tersebut bermula pada kira-kira abad ke-7 dan berlangsung hingga Perang Dunia II. Penduduk di tempat lain mengangkut teh, gula dan garam ke Tibet melalui jalan kuno itu dan menukar kepada kuda, lembu, kambing dan kulit di tempat itu. Jalan ini juga menjadi salah satu jalan kuno yang paling utama bagi menyebarkan unsur-unsur kebudayaan. Pada tahun 2002, Han Hong berada di situ memandang sendiri jalan kuno yang penuh misteri itu, lalu menggubah lagu ini.
Han Hong tidak tergolong sebagai wanita yang jelita, bahkan gagal memperoleh anugerah dalam pertandingan kerana citranya. Akan tetapi, Han Hong tidak pernah terjauh daripada kegemarannya terhadap muzik. Kebolehannya dalam menggubah lagu dan nyanyian akhirnya mendapat perakuan pemuzik profesional dan pendengar. Sebagai hidangan terakhir, marilah kita nikmati lagu yang bertajuk "Marilah Kita Menari".
|