Muzium Seni Tembikar Kuno Lu Dongzhi dibuka di Beijing 11 tahun yang lalu. Sebagai salah sebuah muzium swasta yang dibuka di Tanah Besar China dalam kumpulan pertama, muzium Lu Dongzhi menarik perhatian segenap lapisan peminat seni dan budaya China.
Muzium Seni Tembikar Kuno yang terletak di sebuah lorong di bahagian selatan bandar Beijing. Ini merupakan muzium swasta yang dikendalikan dengan cara paling profesional, dengan koleksi tembikar yang paling banyak. Kkoleksi paling awal dalam muzium ini merupakan tembikar berwarna dari zaman Neolitik, iaitu kira-kira 5000 tahun yang lalu, manakala yang paling akhir merupakan tembikar dari zaman dinasti Tang, iaitu kira-kira abad ke-10. Tiga siri artifak di muzium ini mengandungi 3000 bahan yang mempamerkan sejarah budaya tembikar kuno China yang lengkap.
Jumlah koleksinya yang banyak dan kaedah menyimpannya yang profesional hanya berasaskan minatnya yang kuat terhadap budaya tradisional China dan juga ketekunannya.
Pada akhir tahun 1970-an, golongan muda di China kebanyakannya bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Naum, disebabkan oleh penyakit jantung, Lu Dongzhi tidak berpeluang memasuki universiti. Ini menjadi tamparan yang hebat baginya. Jadi, beliau yang berminat pada sastera dan budaya sejak kecil itu memutuskan untuk mencapai cita-citanya dengan belajar sendiri.
Beliau telah belajar dan berguru dengan tekun. Dalam proses belajar itu, beliau mengenali ramai guru yang terkenal, termasuk ahli kaligrafi China, Ouyang Zhongshi serta pelukis dan penyair China, Xiao Lao. Dengan bimbingan mereka, karya seni kaligrafi dan sastera Lu Dongzhi turut memperoleh anugerah. Dengan itu, beliau telah menjadi anggota Persatuan Penulis China, lalu memasuki Universiti Barat Laut China.
Pada akhir tahun 1980-an, seiring dengan pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka di China, pembangunan kebudayaan diberikan keutamaan. Minat mengumpul koleksi lama telah menjadi popular kembali di seluruh negara. Dalam tempoh tidak sampai 10 tahun, rumahnya yang tidak sampai 20 meter persegi luasnya itu telah menjadi "gudang artifak". Tembikar kuno merupakan bahan simpanannya yang paling banyak.
Lu Dongzhi memaklumkan bahawa beliau merancang untuk mengadakan Pameran Seni Tembikar Kuno China di Makau, Taiwan dan Jepun selepas berakhirnya Sukan Olimpik Beijing.
|