Wenchuan yang musnah teruk dilanda bencana gempa pada 12 Mei lalu menarik perhatian pelbagai kalangan masyarakat China. Mereka simpati dengan kematian dan kerosakan oleh bencana. Oleh itu, pelbagai pihak membuat sumbangan untuk dihantar ke kawasan bencana. Pada malam 18 Mei, persembahan bagi mengutip derma besar-besaran yang berjodol "Sumbangan Sayang" telah diadakan di Beijing. Dalam ruangan hari ini, saya akan memperkatakan sebahagian daripada aktiviti tersebut.
Sebagai hidangan pertama, silalah dengar lagu yang berjodol "Semoga Awak Selamat".
Dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan China dan Jabatan Pentadbiran Am Radio, Filem dan Televisyen Negara China, "Sumbangan Sayang" merupakan kegiatan paling besar dibuat untuk mengumpulkan sumbangan derma sejak Republik Rakyat China ditubuhkan. Untuk itu, hampir 1000 orang seniman terkenal dihimpunkan untuk persembahan besar-besaran. Mereka terdiri daripada kalangan sastera, penerangan dan penerbitan, sukan, kebudayaan dan perusahaan. Selama 4 jam berlangsung persembahan kesenian dan video pendek. Turut ditonjolkan, tiga orang kanak-kanak dari kawasan bencana berada di pentas persembahan, menceritakan perit getir menghadapi bencana yang menjejaskan kehidupan dan memusnahkan kampung halaman mereka. Ramai yang terharu sehingga merembas air mata mendengar pahit maung mereka berjuang untuk hidup. Susah payah mereka melalui detik-detik cemas itu sangat mengharukan. Mereka bersama dengan Li Danyang, Liao Changyong dan Liu Xiaoqing menyanyikan lagu yang berjodol "Sayang Penuh di Seluruh Dunia".
Lagu yang saudara dengar sekarang berjodol "Saya Orang China" yang dinyanyikan bersama oleh ramai penyanyi opera terkenal.
Persembahan itu juga menghimpunkan ramai bintang terkenal Hong Kong, Makau dan Taiwan. Mereka menyanyikan lagu yang berjodol "Besok Akan Lebih Baik" untuk menyampaikan salam yang tulus ikhlas kepada mangsa di kawasan bencana.
Bintang terkenal dalam bidang sukan juga tidak ketinggalan untuk turut serta. Mereka menyanyikan lagu yang berjodol "Pahlawan".
Peserta dari golongan perusahaan banyak menghulur sumbangan. Sehingga berakhirnya aktiviti itu, sumbangan derma yang dihulurkan mencatat 1.514 yuan RMB.
Selesai persembahan, para peserta menyatakan, dalam menghadapi bencana alam ini, jika semuanya bersatu padu, berganding bahu, beban bencana itu pasti akan dapat diatasi dan pembangunan semula dapat dilaksanakan dengan lancar.
|