Sukan Olimpik Beijing sudah berakhir dengan jayanya. Baik majlis pembukaan pada 8 Ogos mahu pun upacara penutup pada 24 Ogos, kedua-duanya cukup gemilang dan meninggalkan kesan yang mendalam kepada setiap orang yang menyaksikannya. Dalam program hari ini, marilah kita bersama-sama mendekati pengarah kedua-dua upacara tersebut. Zhang Yimou, orang yang menjadi tunggak kejayaan upacara itu.
Zhang Yimou, 57 tahun, ialah lulusan pengajian jurusan fotografi Institut Perfileman Beijing. Pada tahun 1985, filem "Tanah Kuning" yang dihasilkannya ketika bertugas sebagai jurukamera berjaya meraih Anugerah Ayam Emas untuk Fotografi Terbaik dalam sebuah pesta filem dalam negeri. Filem tersebut memperoleh tiga lagi anugerah dalam pesta filem bertaraf antarabangsa, termasuk Pesta Filem Antarabangsa Hawaii.
Setelah berjaya dengan filem "Tanah Kuning" itu, Zhang Yimou meningkat daripada jurukamera menjadi pengarah filem. Karya pertamanya "Betari Merah" pada tahun 1987 merupakan kejayaan yang besar, dan mendapat Anugerah Beruang Emas dalam Pesta Filem Berlin. Tiga tahun kemudian, filem "Judou" hasil tangannya mendapat pencalonan anugerah Oscar "Filem Berbahasa Asing Terbaik". Ini merupakan julung-julung kalinya filem China dicalonkan untuk anugerah Oscar. Sejak itulah, banyak filem yang diarahkannya terus meraih penghargaan dalam pesta-pesta filem antarabangsa. Dilihat dari sudut tertentu, Zhang Yimou sering dianggap sebagai artis yang unggul pada tahun 1990-an. Karya-karyanya memperlihatkan unsur-unsur budaya tradisional China dan penuh dengan ketrampilan.
Setelah memasuki abad ke-21, Zhang Yimou menghasilkan sejumlah filem bertemakan zaman purba China, seperti "Wira" atau dikenali dengan "Hero", "House of Flying Daggers" dan "Curse of The Golden Flower". Sebagai pengarah filem yang ada kemahiran sebagai jurukamera, semua karyanya penuh dengan seni estetika. Beliau berkata:"Dalam mengekspresikan sebuah filem, khususnya dari segi kesan visual, saya sentiasa sedapat mungkin meluahkan emosi saya dengan penuh ghairah."
Selain filem, Zhang Yimou juga melangkahkan kakinya ke bidang seni yang lain. Beliau pernah mengarahkan opera "Turandot", opera balet secara besar-besaran. Kesemua karya seni yang memenuhi unsur-unsur budaya tradisional China tersebut memikat hati para penonton.
Sejak tahun 2001, Zhang Yimou melibatkan diri dalam kerja penganjuran dan persiapan Sukan Olimpik Beijing. Pada tahun 2006, beliau terpilih daripada ramai seniman tersohor menjadi pengarah majlis pembukaan dan penutup temasya sukan terbesar di dunia itu.
Berdepan dengan tugas berkenaan, Zhang Yimou mengakui bahawa pada waktu itu beliau menanggung tekanan yang amat besar. Menurutnya: "Ketika menerima tugas itu, saya menyedari betapa besarnya tanggungjawab saya. Boleh dikatakan, saya seorang yang veteran dalam usaha Beijing memohon menjadi tuan rumah Sukan Olimpik. Semasa permohonan dibuat tujuh tahun yang lalu, saya ditugaskan untuk menghasilkan filem singkat untuk dimajukan bersama permohonan menjadi tuan rumah temasya sukan itu. Kemudian, saya mengarahkan pertunjukan bercirikan China selama 8 minit pada majlis penutup Sukan Olimpik Athens. Namun, beratnya tekanan yang saya hadapi kini setelah saya diberi tanggungjawab memikul tugas besar sebagai pengarah upacara pembukaan dan penutup Sukan Olimpik Beijing. Banyak kesulitan yang terjadi memang di luar jangkaan. Berkat usaha bersama kumpulan saya, detik-detik yang cukup susah itu dapat dilalui dengan baik."
Untuk menjamin majlis pembukaan dilaksanakan dengan lancar, sejumlah besar pakar dan profesor dari pelbagai wilayah dipelawa untuk membincangkan perkara itu. Dalam proses itu, Zhang Yimou bertindak sebagai pengarah dan penyelaras yang bijaksana.
Pereka muzik upacara penutup, Chen Qigang menyatakan:"Kumpulan untuk majlis pembukaan dan penutup terdiri daripada tokoh-tokoh yang unggul dari seluruh dunia. Memang susah sekali melakukan penyelarasan. Saya rasa, kami amat bernasib baik kerana Zhang Yimou pintar menguruskannya. Beliau seorang yang tegas dalam melakukan tugas menurut kriteria kesenian, dan memegang teguh pendiriannya."
Zhang Yimou menyatakan, beliau memberi markah 100 peratus kepada kumpulannya. Ketika memperkatakan tentang gulungan panjang yang dibuka pada majlis pembukaan, beliau menyebutnya sebagai hasil yang paling memuaskan. Di atas lembaran gulungan itu terlihat kira-kira 10 ribu tapak kaki dari 204 anggota keluarga besar Olimpik. Katanya:"Ini merupakan seni pergerakan yang berskala paling besar di dunia. Konsep 'Satu Dunia, Satu Impian' telah ditonjolkan. Saya rasa, inilah warisan yang amat berharga. Jika diminta saya menamakan hasil lukisan itu, saya mahu memanggilnya 'Kampung Halaman Kita Bersama', kerana lukisan tersebut dibuat oleh atlet seluruh dunia."
Pada saat dunia masih kagum akan upacara pembukaan yang gemilang, Zhang Yimou dan kumpulannya turut menghidangkan upacara penutup yang mempesonakan.
Baik persembahan pada upacara perasmian mahu pun pada upacara penutup, semuanya memperlihatkan genre seni yang dipertahankan oleh Zhang Yimou.
Kerana komitmen untuk Sukan Olimpik Beijing, dua tahun beliau tidak menyentuh dunia perfileman. Zhang Yimou memberitahu kami bahawa beliau akan terus "bermain" filem pada masa depan. Sudah tentulah, kami akan menanti-nantikan karya baru yang dihidangkan oleh pengarah filem veteran itu. ----Selina
|