v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Festival Chong Yang

2008-10-07 16:02:39 CRI

Menurut tradisi China, Festival Chong Yang  yang juga dikenali sebagai Hari Warga Emas disambut pada hari ke-9 bagi bulan ke-9 mengikut kalendar China.

Menurut catatan sejarah, "Chong Yang" telah disambut oleh orang China sejak 2500 tahun dahulu. Pada zaman purba, orang China percaya bahawa pergaulan tanpa berhenti antara Yin dan Yang memberikan bentuk kepada segala makhluk. Yin dan Yang adalah dua kuasa asas utama di dalam alam ini yang sentiasa berlawan dan bersahabat. Yin bersifat gelap dan sejuk, manakala Yang bersifat terang dan bertenaga. Dalam nombor pula, nombor ganjil tergolong kepada Yang dan nombor genap tergolong kepada Yin. Dalam bahasa Mandarin, Chong bermaksud dua atau dua kali ganda. Oleh sebab hari ke-9 bagi bulan ke-9 dalam kalendar China ada dua nombor ganjil, maka hari ini disebut "Chong Yang".

Dalam bahasa Mandarin, sembilan berbunyi "jiu". Sebutannya sama dengan perkataan yang bermaksud masa yang panjang. Jadi "jiu jiu" juga diberi maksud umur yang panjang.

Pada abad ke-3 Masihi, Raja Negeri Wei, Cao Pi pernah menyebut dalam sebuah karangannya bahawa "jiu" ialah nombor ganjil yang bersifat Yang, dan sebutan "jiu jiu" amat baik maksudnya iaitu masa yang panjang atau umur yang panjang. Oleh itu, baginda bertitah supaya rakyatnya menyambut bersama ketibaan hari ini pada setiap tahun.

Pada zaman Dinasti Han yang wujud sekitar 100 tahun Sebelum Masihi, orang China sudah mula mengamalkan tradisi mendaki gunung yang tinggi pada hari ke-9 bagi bulan ke-9 untuk mendapatkan restu dari dewa-dewi di langit supaya menjauhkan mereka daripada diganggu hantu atau kemalangan.

Kononnya, pada zaman Dinasti Han, wabak besar akan berlaku jika hantu yang membawa penyakit muncul di sesebuah tempat. Heng Jing ialah seorang pemuda yang hidup pada zaman itu. Ibu bapanya mati dalam wabak besar yang dibawa oleh hantu itu. Beliau sendiri pun hampir terkorban. Setelah sembuh, Heng Jing bertekad untuk menghapuskan hantu itu supaya jiran-jirannya tidak menderita akibat wabak seumpama itu.

Untuk mencari guru yang dapat mengajarnya kaedah untuk menghapuskan hantu itu, Heng Jing terpaksa menghadapi banyak kesukaran. Akhirnya, beliau berjaya sampai ke gunung yang paling tua di Timur dengan panduan seekor bangau, dan diterima sebagai murid oleh seorang dewa yang tinggal di sana.

Setelah sekian lama belajar dengan tekun, Heng Jing telah menguasai kaedah untuk menewaskan hantu. Suatu hari, gurunya mengatakan kepada Heng Jing bahawa "esoknya ialah hari ke-9 bagi bulan ke-9, dan hantu itu akan muncul lagi. Kamu sudah menguasai kaedah untuk menghapuskannya. Jadi, sudah tiba masanya kamu balik ke kampung halaman untuk berdepan dengan hantu itu." Ketika berpisah, dewa itu telah memberikan beberapa alat yang mungkin diperlukan oleh Heng Jing nanti ketika berdepan dengan hantu tersebut.

Pada pagi hari yang dijangkakan hantu itu akan muncul, Heng Jing telah membawa semua penduduk kampungnya ke puncak sebuah gunung. Pada tengah harinya, hantu itu telah muncul seperti yang dijangkakan. Dengan menggunakan alat yang dibekalkan dan kaedah yang dipelajarinya, Heng Jing telah berjaya membunuh hantu itu dalam masa yang pendek.

Sejak itulah, mendaki gunung yang tinggi pada hari ke-9 bagi bulan ke-9 menurut kalendar China untuk menjauhkan diri daripada wabak menjadi adat resam orang China yang diwarisi secara turun-temurun. Sehingga ke zaman Dinasti Tang pada abad ke-7 Masihi, Festival Chong Yang yang jatuh pada hari tersebut dijadikan hari raya di China. Pada hari tersebut, orang China akan pulang ke rumah untuk berkumpul dengan keluarga, dan mereka akan bersama-sama melancong ke luar dan mendaki gunung yang tinggi.

Seperti perayaan tradisional China yang lain, terdapat juga beberapa makanan yang mesti disediakan untuk menyambut Festival Chong Yang ini. Antaranya termasuklah wain bunga kekwa dan kuih Chong Yang. Dalam bahasa Mandarin, kuih berbunyi "gao". Sebutannya sama dengan perkataan yang bermaksud tinggi. Jadi, memakan kuih ini ibarat mendaki tempat yang tinggi juga. "Kuih" Chong Yang biasanya ada sembilan lapis. Ketika memotong kuih ini, potongan pertama mesti diberikan kepada warga emas dalam keluarga untuk memberikan penghormatan kepada mereka dan juga untuk menunjukkan harapan semoga mereka panjang umur.

Meminum wain bunga kekwa pula amat bermanfaat bagi kesihatan, kerana ketika Festival Chong Yang tiba, musim luruh pun tiba dan cuaca semakin hari semakin sejuk. Wain ini mempunyai fungsi yang dapat melancarkan aliran darah dan memanaskan badan kita.

Sejak tahun 1989, kerajaan Republik Rakyat China mengumumkan Festival Chong Yang sebagai Hari Warga Emas. Meskipun orang muda sentiasa sibuk dengan kerja pada zaman ini, tapi pada hari Festival Chong Yang, mereka akan menemani orang tua dalam keluarga mereka bersama-sama melancong ke luar bandar dan mendaki gunung sambil menikmati keselesaan dan kemesraan bersama dengan anggota keluarga.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |