v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

"Catatan Sejarah"

2008-10-22 11:10:17 CRI

"Catatan Sejarah" merupakan buku sejarah pertama di China yang menceritakan sejarah China melalui catatan tentang tokoh-tokoh terkenal pada masa itu. Buku ini selesai disusun pada tahun 104 hingga tahun 91 sebelum Masihi. Kandungannya meliputi sejarah selama 3000 tahun, iaitu sejak zaman Xuanyuan Huangdi (Empayar Kuning) pada lebih 2500 tahun sebelum Masihi hinggalah ke zaman maharaja Wudi Dinasti Han pada tahun 91 sebelum Masihi. Catatan dalam buku ini disusun mengikut kronologi. Di samping itu, buku ini juga mencatat sejarah pelbagai keluarga bangsawan yang sangat berwibawa, tokoh-tokoh berbakat besar dan yang memberi kesan penting kepada masyarakat serta ekonomi, ketenteraan, tali air, upacara adat, etiket dan pelbagai keadaan yang lain pada pelbagai dinasti.

"Catatan Sejarah" bukan sahaja merupakan sebuah karya sejarah dan sastera yang cemerlang, malah juga mengandungi catatan tentang pelbagai aspek lain seperti falsafah, politik, ekonomi, ketenteraan, undang-undang, ilmu falak dan geografi. Oleh itu, "Catatan Sejarah" boleh dikatakan merupakan sebuah ensiklopedia.

Penulis "Catatan Sejarah" ialah Sima Qian yang hidup pada kira-kira tahun 145 hingga tahun 90 sebelum Masihi. Untuk menyelesaikan buku sejarah ini, beliau telah mengatasi banyak masalah dan gangguan. Menurut sejarahnya, anggota keluarga Sima Qian sering memegang jawatan pegawai sejarah. Oleh itu, Sima Qian mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman tentang keadaan mencatat peristiwa bersejarah. Semasa beliau berumur 34 tahun, bapanya, Sima Tan meninggal dunia. Namun, sebelum itu, beliau meminta Sima Qian menulis sebuah buku sejarah yang cemerlang. Hidup Sima Qian berubah pada masa itu. Beliau mula mengumpulkan pelbagai bahan yang berkaitan untuk menulis "Catatan Sejarah". Namun, dua tahun kemudian, kerana membuat pembelaan terhadap Jeneral Li Ling yang ditangkap oleh musuh, Sima Qian telah menimbulkan kemarahan maharaja Wudi Dinasti Han dan beliau dijatuhkan hukuman pengembirian. Ini merupakan penghinaan yang luar biasa terhadap rohani dan jasmai Sima Qian. Walau bagaimanapun, beliau berjaya mengatasi semua masalah dan menumpukan perhatian kepada penulisan "Catatan Sejarah". Usaha ini bukan sahaja dilakukannya untuk memenuhi tuntutan bapanya sebelum meninggal dunia dahulu, malah menjadi sokongan rohaniah bagi beliau untuk terus hidup. Dalam sepucuk surat kepada seorang rakannya, Sima Qian telah memaklumkan tujuannya menulis "Catatan Sejarah" itu. Menurut surat tersebut, dengan mencatat sejarah selama 3000 tahun bermula pada zaman Xuanyuan Huangdi hingga ke zaman maharaja Wudi Dinasti Han, beliau terpaksa melaksanakan penyelidikan tentang hubungan antara alam sekitar dengan masyarakat, mengumpulkan pengalaman kejayaan dan kegagalan, membincangkan peraturan pembangunan sejarah dan mengeluarkan pandangan politik sendiri untuk memperbaiki keadaan masa itu.

"Catatan Sejarah" juga merupakan buku biografi pertama di China. Buku ini mencatatkan tentang beberapa ramai tokoh dalam sejarah. Imej tokoh dalam sejarah yang digambarkan dalam buku tersebut telah memberi kesan yang sangat mendalam kepada generasi kemudian.

Ketika mencatat peristiwa sejarah, Sima Qian sangat mementingkan penyelidikan tentang asal usul dan hubungan antara pelbagai kejadian dan beliau cekap membuat rumusan yang betul.

Semasa menceritakan tentang seseorang tokoh dalam sejarah, beliau juga memberikan perhatian kepada latar belakang keluarga tokoh tersebut, pendidikannya, pengalamannya dalam masyarakat dan pelbagai unsur lain sehingga pembaca dapat memahami bagaimana sifat dan watak tokoh tersebut terbentuk. Dengan yang demikian, tokoh-tokoh yang dicatat dalam "Catatan Sejarah" ini mempunyai sifat dan watak yang beraneka ragam dan setiap satunya memberikan kesan yang mendalam kepada para pembaca.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |