Muzium Seni Tembikar Kuno Lu Dongzhi dibuka di Beijing 11 tahun yang lalu. Sebagai salah sebuah muzium swasta yang paling awal beroperasi di Tanah Besar China, muzium ini menarik perhatian segenap lapisan peminat seni dan budaya China. Dalam program hari ini, saya akan membawa saudara saudari mengenali kurator muzium tersebut, Encik Lu Dongzhi, yang banyak mencurahkan tenaga memajukan muzium itu.
Muzium Seni Tembikar Kuno Lu Dongzhi terletak di sebuah lorong yang sempit dan sunyi di selatan bandar Beijing. Bangunan muzium itu bergaya primitif dan penuh dengan unsur-unsur sejarah. Disebabkan lokasinya terpencil, ia jarang dikunjungi orang. Keadaan ini tidak sedikit pun menggugat semangat pemiliknya, Lu Dongzhi. Beliau bersikap tenang menghadapi kenyataan ini.
"Saya mempunyai kepercayaan dan pegangan yang kuat dalam melayari kerjaya budaya saya. Ini menjadi pedoman hidup yang saya pegang dengan teguh. Pembukaan muzium semacam ini memerlukan kepercayaan dan pandangan yang tersendiri terhadap budaya."
Muzium itu merupakan muzium swasta yang dikendalikan dengan cara yang paling profesional, dengan koleksi tembikar yang paling banyak di China. Koleksi yang paling awal disimpan dalam muzium tersebut ialah tembikar berwarna dari zaman Neolitik, iaitu kira-kira 5,000 tahun lalu, manakala yang paling akhir ialah tembikar dari zaman Dinasti Tang, iaitu kira-kira abad ke-10. Kesemua simpanan terbahagi kepada 3 siri yang mengandungi 3,000 buah artifak yang mempamerkan sejarah budaya tembikar kuno China yang lengkap.
Pada tahun 1997, terdapat 4 buah muzium swasta di China. Muzium milik Lu Dongzhi itu, salah sebuah daripadanya. Beliau mengimbas kembali pengalaman pembukaan muziumnya ketika itu.
"Ketika muzium saya beroperasi, ramai pakar budaya tertarik mengunjunginya. Koleksi tembikar kuno yang saya simpan memang mengagumkan mereka. Pada pendapat mereka, kemampuan seorang pemuda mengendalikan muzium secara profesional jauh melebihi jangkaan mereka. Kejayaan saya pula bergantung pada pengalaman dan pengetahuan yang saya peroleh dalam masa jangka panjang."
Jumlah koleksi yang banyak dan kaedah menyimpannya yang profesional hanya berasaskan minat yang kuat terhadap budaya tradisional China dan juga ketekunannya.
Pada akhir tahun 1970-an, golongan muda di China kebanyakannya bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Namun, disebabkan menghidap penyakit jantung, Lu Dongzhi tidak berpeluang memasuki universiti. Ini menjadi tamparan yang hebat baginya. Jadi, beliau yang berminat pada sastera dan budaya sejak kecil memutuskan untuk mencapai cita-citanya dengan belajar sendiri. Kata beliau: "Walaupun saya kelihatan agak lemah, namun erti ketabahan, kesabaran, tidak berputus asa dan yakin terhadap diri sendiri tertanam kuat dalam hati saya. Jadi, saya perlu banyak belajar dan berguru dengan tekun."
Dalam proses belajar itu, beliau mengenali ramai guru yang terkenal, termasuk ahli kaligrafi China, Ouyang Zhongshi serta pelukis dan penyair China, Xiao Lao. Dengan bimbingan mereka, karya seni kaligrafi dan sastera Lu Dongzhi turut memperoleh anugerah. Dengan itu, beliau menganggotai Persatuan Penulis China, lalu berjaya memasuki Universiti Barat Laut China di Xi'an, Provinsi Shaanxi.
Bandar itu merupakan bandar purba yang bersejarah agak lama di China. Ia mempunyai sebilangan besar warisan budaya. Lu Dongzhi terpesona dengan kegemilangan budaya bandar tersebut, dan mencurahkan sepenuh tenaga dan masanya untuk mengumpulkan artifak. Dalam bilik asramanya tersimpan dengan banyak pecahan tembikar dan jubin.
Pada akhir tahun 1980-an, seiring dengan pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka di China, pembangunan kebudayaan diberikan keutamaan. Minat mengumpulkan koleksi lama menjadi popular kembali di seluruh negara. Dalam tempoh tidak sampai 10 tahun, rumah Lu Dongzhi yang tidak sampai 20 meter persegi luasnya telah menjadi "gudang artifak". Tembikar kuno merupakan bahan simpanannya yang paling banyak.
Di kawasan aliran Sungai Kuning, utara China telah ditemui tembikar berwarna pada 8,000 tahun yang lalu. Teknik pembuatan tembikar merupakan sebahagian penting daripada budaya tradisional China. Sejak Dinasti Tang abad ke-10, teknik tersebut berada di ambang kemelesetan, sebaliknya porselin merupakan minat baru orang ramai. Sekarang, demam mengumpulkan porselin masih dikesan di seluruh negara. Namun, tembikar kuno kurang diberi perhatian.
"Saya tahu, bidang yang sekarang saya usahakan mempunyai erti yang amat besar. Jadi, saya akan terus menjayakannya."
Pada 15 Jun tahun 1997, muzium seni tembikar kuno beroperasi. Antara kira-kira 140 buah muzium yang berdaftar di Beijing, muzium itu kurang dikenali ramai. Disebabkan berhadapan dengan masalah kekurangan modal, muzium tersebut tidak berupaya dikendalikan dengan baik. Selain adanya sumbangan derma daripada kawan-kawan, pendapatan daripada penjualan karya-karya seninya merupakan kos mengendalikan muzium itu. Walau pun demikian, beliau enggan menjual koleksi tembikarnya, dan mengusahakan kajian tentang budaya tembikar kuno China. Menurutnya, beliau tidak akan menjadikan pengurusan muzium itu sebagai pelaburan.
"Inilah kegemaran saya. Maka, saya akan berusaha sepanjang hayat bergiat cergas dalam menguruskan muzium saya."
Ketekunan akhirnya mendatangkan hasil yang diharapkan. Tahun lalu, "Pameran Seni Tembikar Kuno China" berjaya diadakan di Muzium Ibu Negara, dan menarik kunjungan seramai 100 ribu orang pelawat.
Lu Dongzhi memaklumkan bahawa beliau merancang memperkenalkan seni itu ke Makau, Taiwan dan Jepun.----Selina
|