Lusheng, sejenis alat muzik tradisional yang dibuat daripada buluh, mempunyai sejarah kira-kira 2,000 tahun. Ia sering dimainkan oleh penduduk etnik Miao dan etnik Dong di bahagian selatan China. Alat muzik itu sentiasa dimainkan untuk mengiringi nyanyian dan tarian ketika berlangsungnya perayaan atau pesta. Namun, ekoran arus pemodenan yang begitu kuat melanda dan pemasukan budaya luar, hanya sebilangan kecil orang boleh memainkannya, malah sesetengah teknik dan kemahiran bermain alat muzik itu hampir pupus.
Zhang Hai, 54 tahun, seorang pemain dan pembuat Lusheng dari Kaunti Sanjiang Wilayah Autonomi Etnik Zhuang Guangxi di selatan China, berupaya memelihara seni tradisional itu dan memperkenalkannya kepada 200 ribu orang penduduk etnik Dong di 15 buah pekan di Sanjiang.
Beliau dilahirkan di Kampung Dutong, Kaunti Sanjiang Guangxi. Bapanya seorang penyanyi lagu rakyat yang tersohor dan pandai bermain Lusheng. Bagaimanapun, ketika beliau berumur setahun, bapanya meninggal dunia. Beliau mewarisi bakat bermain Lusheng. Zhang Hai menceritakan pengalaman pertama kalinya menyentuh alat muzik tersebut kepada pemberita kami. Kata beliau: "Pada satu hari, pertandingan bermain Lusheng diadakan di kampung saya. Sayang sekali, saya tidak menyaksikannya kerana sakit. Bunyi nadanya yang dihasilkan melalui tiupan mulut memilukan hati saya. Sejak itulah, saya jatuh cinta dengan alat muzik tradisional tersebut."
Zhang Hai meninggalkan bangku sekolah ketika berumur 9 tahun untuk bekerja menjaga lembu bagi membantu keluarganya yang miskin. Beliau amat gemar bermain Lusheng, namun ibunya menentang kegemarannya itu dan berharap dia lebih tertumpu kepada bercucuk tanam dengan rajin dan tekun.
Ketika berumur 14 tahun, Zhang Hai menyertai pembinaan takungan air di atas gunung bersama-sama dengan beberapa pekerja dari kampungnya. Di sana, dia sering bermain Lusheng pada waktu rehat. Beliau mengimbas kembali pengalaman itu:
"Semua pekerja tertarik menyaksikan persembahan saya. Daripada pengalaman ini, saya berpeluang mengambil bahagian dalam satu kumpulan kesenian amatur, dan sering mengadakan persembahan ke Guizhou dan Hunan."
Dalam tempoh pembinaan takungan air selama 10 tahun itu, Zhang Hai telah memperhalusi teknik bermain Lusheng. Pada tahun 1970-an, budaya rakyat China berada di ambang kemerosotan. Muzik yang sesuai dimainkan dengan Lusheng jarang didapati. Oleh itu, Zhang Hai mencatatkan melodi muzik etnik Han yang disiarkan dalam radio dan mengadaptasikannya supaya sesuai dimainkan dengan Lusheng.
Taraf permainan Lushengnya meningkat dengan pesat dan beliau semakin terkenal di kampungnya. Pada tahun 1985, beliau menganggotai Kumpulan Kesenian Etnik Dong Sanjiang, dan menjawat jawatan pengarah merangkap pemain Lusheng dalam kumpulan kesenian itu. Sejak itulah, beliau menjadikan bermain Lusheng sebagai kerjaya seumur hidupnya.
Memandangkan muzik yang sesuai dimainkan dengan Lusheng amat terhad, malah ada sebilangannya yang sudah pun pupus, maka kerja mencipta melodi baru perlu giat dilaksanakan. Menurut beliau:"Segala-galanya di kampung saya menjadi sumber ilham, seperti kegiatan harian petani, unsur-unsur budaya etnik Dong yang tersendiri dan sebagainya. "
Sejak tahun 1980-an, Zhang Hai mulai membuat Lusheng. Sebagai pembuat Lusheng yang terkenal di Guangxi, beliau disenaraikan sebagai pewaris budaya kalangan rakyat China kumpulan pertama pada tahun 2007, kerana beliau memberi sumbangan yang luar biasa kepada warisan dan perkembangan alat muzik Lusheng.
Zhang Hai amat meminati budaya penduduk etnik Dong, dan berharap agar budaya itu dapat diwarisi secara turun-temurun. Disebabkan orang awam hari ini terperangkap dalam tamadun moden, pemuda-pemudi kurang berminat dengan alat muzik Lusheng, dan sesetengah teknik bermain alat muzik tradisional tersebut sudah tidak diketahui lagi. Memandangkan keadaan yang serius ini, Zhang Hai berusaha sedaya upaya untuk memperkenalkan cara bermain Lusheng kepada 200 ribu orang penduduk etnik Dong di 15 buah kampung dan pekan di Sanjiang.
Disebabkan kemahirannya, beliau mendapat status yang amat tinggi di kalangan penduduk etnik Dong, dan dilayan sebagai tetamu agung. Zhang Hai selalu bersama-sama dengan pelajarnya mengadakan pertunjukan di pelbagai tempat. Usaha ini menggalakkan ramai kanak-kanak belajar bermain Lusheng. Menurut beliau:"Semua pelajar yang saya didik mempunyai seni permainan yang tinggi. Saya pernah memberitahu mereka, 'kalau saya meninggal dunia pada suatu hari, anda sekalian mesti mewariskan seni tradisional itu kepada generasi selanjutnya. Kalau tidak, ia akan mengalami kepupusan'."
Anak perempuan dan anak saudaranya sendiri melibatkan diri dalam bidang bermain Lusheng sejak berumur 7 tahun. Sekarang, keluarganya selalu mengadakan persembahan di beberapa tempat. Kemahiran mereka membuatkan orang awam terpesona dapat menghayati keistimewaan budaya etnik Dong yang cemerlang.----Selina
|