v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Pelakon Opera Kun, Yu Jiulin

2008-10-29 16:39:38 CRI

Opera Kun, yang digelar sebagai "ibu opera" di China, sejarahnya lebih tua daripada Opera Peking dan ia sudah wujud kira-kira 600 tahun. Opera itu amat popular di bandar Shanghai dan kawasan Kunshan, Jiangsu dengan ciri-ciri tempatannya yang istimewa. Pada tahun 2001, opera tersebut diisytiharkan sebagai "Warisan Budaya Manusia Bukan Benda" oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Namun, dengan perkembangan dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat, kedudukan Opera Kun mula goyah dalam kalangan rakyat dan hampir dilupakan. Untunglah, ramai seniman dan peminat opera tersebut menyedari ancaman kepupusannya. Mereka terus berusaha gigih untuk mengembangkannya. Mereka mahu seni warisan itu diperturunkan daripada satu generasi ke satu generasi.

Salah seorang daripadanya, Yu Jiulin, pelakon muda dari Panggung Opera Kun Suzhou Provinsi Jiangsu, yang kerap kali mementaskan "Astaka Bunga Peony", iaitu program klasik Opera Kun di seberang laut. Beliau telah memperoleh Anugerah Bunga Plum, anugerah tertinggi dalam bidang opera di China. Menurut beliau, hasrat besarnya adalah untuk menyemarakkan budaya tradisi tersebut.

Yang saudara nikmati tadi ialah "Astaka Bunga Peony" edisi baru yang dipersembahkan oleh Yu Jiulin. Program itu diadaptasi daripada "Astaka Bunga Peony", sebuah karya terkenal yang dihasilkan oleh penulis opera Dinasti Ming China, Tang Xianzu, kira-kira 500 tahun yang lalu, yang menceritakan satu episode cinta antara dua remaja. Cik Du Liniang yang berasal dari satu keluarga mewah bertemu dan bercinta dengan Liu Mengmei, seorang pemuda dari keluarga biasa. Namun, ekoran halangan keluarga dan kedudukan mereka dalam masyarakat, cinta murni itu tergugat dan mereka akhirnya terpaksa berpisah. Yu Jiulin memainkan peranan watak lelaki utama "Liu Mengmei" dalam opera itu.

Beberapa tahun yang lalu, Panggung Opera Kun Suzhou melalui masa suram. Ia tidak dikendalikan dengan baik sehingga persembahannya kurang diminati ramai. Oleh itu, pengurus panggung tersebut terpaksa menentaskan opera itu di destinasi-destinasi pelancongan. Yu Jiulin merasa pesimis terhadap masa depan seni tradisional tersebut.

Sarjana dan penggubah muzik dari Taiwan, Encik Bai Xianyong menyumbangkan usaha yang besar bagi menyebar dan mempopularkan Opera Kun. Berdasarkan cadangannya, program opera "Astaka Bunga Peony" edisi baru yang lebih sesuai dengan selera golongan muda telah berjaya dilancarkan. Jiulin terpilih memegang watak utama "Liu Mengmei" tersebut.

Untuk menghidupkan watak itu, Jiulin mendapatkan tunjuk ajar Wang Shiyu, seorang pelakon Opera Kun yang amat unggul di China. Menurut beliau: "Encik Wang dianggap sebagai pelopor dalam bidang Opera Kun di China. Saya merasa sangat gembira dan bernasib baik kerana berpeluang berguru kepada beliau."

Jiulin patuh kepada nasihat dan tunjuk ajar Encik Wang, dan bersungguh-sungguh menjalani pelbagai latihan, seperti menari, menyanyi, senaman akrobatik dan cara bernafas. Bagi beliau yang berumur lebih 20 tahun, kesemua latihan tersebut bukanlah perkara yang mudah dilalui. Namun, beliau tetap mengikut segala tunjuk ajar Encik Bai dan Encik Wang. Kata beliau: "Saya kena menjalani program latihan yang keras. Walaupun saya pernah menjalani latihan asas di sekolah pada masa dahulu, tetapi tahap saya perlu dipertingkat secara menyeluruh dalam jangka masa pendek. Disebabkan gerak badan saya di pentas kurang fleksibel berbanding dengan pelakon muda, saya perlu banyak berlatih lagi."

Menurut beliau, latihan yang keras itu amat berfaedah baginya. Kata pepatah Inggeris, penat lelahnya berbaloi. Ketekunan akhirnya mendatangkan hasil yang memuaskan. Program opera "Astaka Bunga Peony" edisi baru itu telah mendapat sambutan yang hangat daripada penonton.

Pada bulan April tahun 2004, opera "Astaka Bunga Peony" buat julung-julung kalinya dipentaskan di Taiwan. Pada masa itu, di merata-rata tempat di Taiwan terpampang poster opera tersebut. Kostum dan solekan pelakon yang cantik menarik perhatian penduduk tempatan. Panggung opera dibanjiri ramai orang. Jiulin menyatakan bahawa beliau terkejut dengan sambutan hangat daripada penonton tersebut. Di pentas antarabangsa, persembahan yang bergaya klasik itu pula disukai oleh penonton Barat. Menurut beliau, persembahan yang diadakan di A.S. pada tahun 2006 telah mempesonakan penonton negara itu.

"Walaupun persembahan kami telah berakhir dan melabuhkan tirainya, tetapi penonton enggan meninggalkan panggung. Mereka tidak berhenti-henti memberikan tepukan gemuruh. Pada masa dulu, opera dengan pertunjukan silat selalu dipentaskan di luar negara. Opera dengan babak-babak yang romantik seperti program 'Astaka Bunga Peony' jarang dilihat di negara-negara Barat. Saya rasa, persembahan tersebut membuatkan mereka dapat menghayati budaya tradisi China yang elegan."

Menurut Jiulin, beliau tidak pernah menjangka bahawa Opera Kun akan dijadikan sebagai kerjaya seumur hidupnya. Ekoran kesungguhan yang kuat gurunya dan sambutan yang hangat penonton, beliau giat menanam seni tradisional itu ke dalam jiwanya.

Yu Jiulin (kanan) memainkan peranan watak lelaki utama "Liu Mengmei".

Kini, buku-buku, karya audio dan video tentang opera itu telah banyak diterbitkan di China. Opera tersebut pula dipersembahkan oleh pelakon-pelakon yang tersohor dari Jepun. Jiulin merasa ia perkembangan yang baik dan menganggap bahawa opera itu telah membangkitkan demam budaya tradisi dalam kalangan rakyat China.

"Kejayaan opera 'Astaka Bunga Peony' edisi baru sungguh memberangsangkan. Ia akan menggalakkan seluruh masyarakat supaya menyemarakkan budaya tradisi China yang hampir mengalami kepupusan. Bagi saya, sambutan yang hangat daripada penonton sebagai mangkin bagi terus melancarkan opera yang baru."----selina

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |