v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Shen Lihui dan Syarikat Modern Skynya

2008-11-05 16:52:53 CRI

Syarikat Modern Sky, yang mempunyai jumlah urus niaga lebih 10 juta yuan RMB setahun, bukan sahaja merupakan satu jenama yang terkenal dalam industri rakaman China, bahkan juga dianggap mewakili budaya pop zaman ini.

Sepuluh tahun yang lalu, syarikat yang ditubuhkan oleh Shen Lihui itu masih belum diketahui ramai. Daripada hasil usahanya, beliau telah dapat membawa syarikat itu ke mercu kejayaan. Bagaimana beliau dapat mencapai kejayaan yang begitu besar itu? Mari kita ikuti temu ramah pemberita kami mengenai perkara tersebut.

Lagu yang saudara nikmati tadi adalah dari album "Awesome" yang dilancarkan oleh Modern Sky. Muzik yang bergaya rock-and-roll seperti ini mendapat sambutan yang hangat di kalangan golongan muda China.

Shen Lihui, pengasas Modern Sky itu, amat meminati muzik rock-and-roll sejak masih di bangku sekolah. Pada penghujung tahun 1980-an, dia bersama beberapa sahabatnya di kampus membentuk sebuah kumpulan rock-and-roll yang bergelar "Sober". Dalam masa yang singkat, kumpulan tersebut menjadi terkenal. Lihui bertindak sebagai penyanyi utama.

Selepas tamat pengajian daripada Institut Percetakan Beijing pada tahun 1991, Lihui menceburkan diri dalam bidang percetakan. Setelah beberapa tahun bekerja, dia telah mengumpul sejumlah wang untuk membentuk kumpulan muziknya. Pada 27 Disember 1997, Modern Sky dilancarkan dengan jumlah pelaburannya sebanyak 4 juta. Lihui memaklumkan: "Modern Sky ditubuhkan pada tahun 1997. Disebabkan masih muda, saya tidak menghiraukan masalah yang mungkin berlaku, hanya teruskan dan berani menghadapi risiko."

Shen Lihui (tengah) dan kumpulan muziknya "Sober"

Segala-galanya berjalan sebagaimana yang dirancangkan. Selepas Kumpulan Sober berjaya melancarkan album pertamanya, Modern Sky ditubuhkan. Beberapa kumpulan muzik yang lain telah menandatangani kontrak dengan syarikatnya. Antaranya, Kumpulan New Pants dan Kumpulan Supermarket. Disebabkan kesemua kumpulan tersebut mempunyai gaya yang unik, mereka menjadi pelopor pada persada muzik rock-and-roll Tanah Besar China ketika itu. Reputasi mereka bukan sahaja membuatkan Modern Sky berkembang ke arah yang lebih maju dan berdaya saing, bahkan juga menarik perhatian kumpulan muzik lain menyertai kegiatan mereka. Dalam tempoh 8 tahun, syarikat tersebut melancarkan hampir seratus album untuk puluhan kumpulan muzik, dan melahirkan ramai bintang rock-and-roll. Kini, ia sudah menjadi sebuah syarikat rakaman yang paling besar di China. Semua pencapaian ini membanggakan Lihui. Beliau berkata: "Setiap zaman mempunyai sejenis seni atau muzik yang membayangkan ciri-ciri tersendiri zaman itu. Saya rasa, muzik pop ialah satu contoh seni yang mewakili zaman kita."

Modern Sky pernah mengalami saat-saat yang getir ketika wabak SARS menular begitu cepat di seluruh negara pada tahun 2003. Disebabkan merebaknya wabak itu dengan meluas, syarikat tersebut terpaksa membatalkan semua persembahan dan menggantung semua program promosi. Ia menanggung kerugian yang agak besar. Pada penghujung tahun itu, kebanyakan pekerja berhenti daripada syarikat. Oleh itu, syarikat tersebut berada pada saat-saat yang susah.

Lihui memikirkan semua masalah yang menimpanya dan mencari penyelesaian. Beliau mengatur rancangannya. Perbelanjaan berhubung kegiatan kumpulan muzik dikurangkan kepada jumlah yang agak kecil, iaitu kadar 25%, dan jumlah yang tinggal 75% lagi diperuntukkan kepada industri kreatif berhubung muzik, seperti penerbitan majalah muzik dan pelancaran pesta muzik Modern Sky setiap tahun.

Pada bulan Januari 2007, Modern Sky melangkah kaki ke pasaran A.S., dan berjaya menubuhkan cawangannya di New York. Cawangan tersebut mengutamakan urusan melancarkan album dan mempromosikan kumpulan muzik China ke luar negara. Walaupun beberapa budaya moden Barat melanda masyarakat China, tetapi Lihui masih optimis dan yakin terhadap budaya China yang tersendiri. Menurutnya: "Muzik rock-and-roll China memang mencontohi muzik A.S., namun ia dibentuk sehingga mempunyai gaya tersendiri. Muzik tanpa batasan. Saya berharap agar semakin ramai orang bersedia untuk memahami muzik rock-and-roll bercirikan China."

Lihui memberitahu pemberita kami bahawa dia menjadi lebih tua berbanding dengan muda-mudi pada zaman ini. Namun, dia akan sentiasa bersikap toleran untuk menerima fikiran baru. Menurutnya: "Agak susah untuk mengukur suatu zaman hanya dengan sejenis konsep yang tertentu sahaja. Kepelbagaian ialah satu keistimewaan yang penting pada zaman ini, bukan sahaja dalam bidang muzik, malah dilihat dalam apa bidang pun."

Inilah Shen Lihui, seorang ahli muzik yang berjiwa usahawan, mengabdikan hidupnya pada muzik rock-and-roll. Semoga dia terus maju dalam bidang yang diceburinya, dan terus memperkenalkan bintang muzik pop yang baru kepada kami.----Selina

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |