v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Pelukis Cat Minyak Wan Jiyuan Giat Perkenalkan Seni Lukis Afrika ke China

2008-11-12 17:28:31 CRI

Dalam aktiviti interaksi budaya yang berjudul "Tumpuan pada Budaya Afrika 2008" yang berakhir di bandar Shenzhen, selatan China baru-baru ini, pelukis cat minyak Wan Jiyuan telah menganjurkan satu pameran lukisan mengenai seni China dan Afrika. Para pengunjung terpesona dengan keindahan pemandangan di Afrika, serta keunikan budaya dan cara hidup rakyat benua ini yang digambarkan dalam karya-karya catan minyaknya. Bagi pelukis tersebut, pengalaman kerap kali menghasilkan lukisan di Afrika dan menganjurkan pameran hasil karyanya berkenaan merupakan nostalgia yang tetap dikenang hingga ke hari ini. Jadi, dalam program hari ini, mari kita berkongsi cerita mengenai pengalaman pahit manis yang dilaluinya.

Wan Jiyuan, 55 tahun, dari Provinsi Jiangxi di bahagian tengah China, amat meminati seni lukis sejak kecil. Sebagai pelukis cat minyak profesional, beliau sudah melawat banyak negara untuk menghasilkan karyanya. Sekarang, Encik Wan bertugas di Pusat Pameran Seni Asing China sebagai naib pengarah yang bertanggungjawab terhadap urusan penganjuran pameran.

Pameran yang diadakan di Shenzhen itu, telah memikat hati pengunjung. Ia memaparkan seni budaya rakyat Gabon, koleksi simpanan dari muzium Senegal, barang-barang replika zaman purba Mesir, karya-karya catan minyak yang dihasilkan oleh 9 orang pelukis China, dan bahan terbitan yang berkait rapat dengan Afrika.

Seorang pengunjung dari Shenzhen, Encik Li, 70 tahun, menyatakan bahawa beliau berasa sangat gembira kerana berpeluang untuk menghayati budaya Afrika yang mempunyai keunikan tersendiri. Kata beliau: "Saya tahu, Afrika terkenal dengan seni ukiran kayu dan ukiran batunya, dan Mesir sebagai negara warisan tamadun kuno, terkenal dengan piramid dan arca Sfinks, tetapi saya tidak pernah melihat. Jadi, pameran ini telah memperluaskan lagi pandangan saya."

Sebagai penganjur pameran tersebut, Wan Jiyuan berharap agar ia dapat memberikan pengunjung satu perspektif yang berlainan sekali tentang budaya dan seni Afrika. Menurut beliau: "Afrika merupakan sebuah benua yang penuh misteri bagi orang China. Seni lukisan di benua ini merupakan sebahagian penting daripada seni lukis moden dunia. Pameran ini menjadi ruang bagi orang ramai untuk mengetahui imej Afrika daripada pelbagai aspek, di samping merasai perbezaan seni antara pelbagai tempat di benua tersebut."

Encik Wan sudah beberapa kali berkunjung ke Afrika kerana urusan menyelenggarakan pameran. Walau ke mana pun beliau pergi, beliau tidak pernah lupa untuk membawa peralatan bagi melakarkan lukisan catan minyak. Melakar lukisan sudah menjadi semacam satu keperluan baginya.

"Budaya Afrika yang primitif memang mengagumkan saya. Ia telah menjadi sumber ilham bagi penciptaan lukisan."

Dalam pameran kali ini, sebuah karya catan minyak yang dicipta oleh Encik Wan turut dipamerkan. Lukisan yang berjudul "Perayaan Afrika" ini menggambarkan suasana meraikan perayaan tradisional di Afrika Selatan oleh golongan wanita, kanak-kanak dan lelaki dewasa etnik Zulu dengan pakaian tradisional. Menurut beliau, karya yang ukurannya 7.2 meter x 1.8 meter tersebut dihasilkan ketika beliau sedang menganjurkan satu pameran tentang China di Afrika Selatan pada tahun 2002. Beliau mengimbas kembali peristiwa tersebut: "Saya telah mencurahkan banyak tenaga dan masa dalam menghasilkan lukisan tersebut. Selain itu, saya sendiri membuat bingkai lukisannya. Pada pendapat saya, hiasan pun sejenis seni. Karya catan minyak yang dihias dengan bingkai tersebut secara menyeluruh dapat memaparkan ciri-ciri seni Afrika yang semula jadi dan tersendiri."

Sebelum pameran ini, karya catan minyak tersebut pernah dipamerkan di Balai Seni China di Beijing dan Galeri Seni Kebangsaan Filipina. Pakar dari Muzium Kenya, Encik Martin Tindi berpendapat bahawa lukisan itu secara optimis berjaya menggambarkan sifat orang Afrika.

"Karyanya telah meninggalkan kesan yang mendalam bagi saya. Perincian yang berkait rapat dengan kehidupan harian orang Afrika telah dapat dibayangkan dalam lukisannya. "

Seni lukis dan seni ukiran Afrika sememangnya bidang yang diceburi oleh Encik Wan. Sejenis topeng primitif yang diperbuat daripada kayu yang dipakai oleh beberapa suku kuno di Afrika untuk upacara adat resam merupakan sasaran penyelidikannya. Kata beliau: "Seni ukiran ini asal tamadun kehidupan mereka, dan merupakan lambang yang mewakili budaya suku kaum purba di Afrika. Saya memang terpesona dengan seni ini."

Encik Wan berkata, pengalaman merakamkan jejak perjalanannya ke Afrika semasa menjalankan penyelidikan dengan menggunakan cara lukisan cat minyak telah memperkaya pengalaman hidupnya dan memperluas lagi pandangannya. Beliau berharap agar semakin ramai orang dapat mengenali benua yang penuh misteri itu melalui karya catan minyak dan pamerannya.----Selina

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |