"Hanya tinggal 12 hari sahaja lagi, saya akan menyaksikan Sukan Olimpik di Beijing", kata Ma Xiaogang, seorang budak dari kawasan barat laut China.
Beberapa bulan yang lalu, budak ini tidak pernah menjangka bahawa dia berkesempatan untuk menyaksikan temasya sukan terbesar di dunia itu.
Ini hanya berlaku disebabkan adanya program "tiket Sukan Olimpik untuk sektor pendidikan" di seluruh China.
Program yang dilaksanakan mengikut kelaziman Sukan Olimpik yang dulu-dulu itu menawarkan 1 juta tiket pertandingan kepada pelajar-pelajar dari 556 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara dengan harga yang rendah, iaitu 5 yuan dan 10 yuan RMB.

Pegawai dari Kementerian Pendidikan China, Gao Hong menyatakan bahawa tujuan pelaksanaan program itu adalah untuk memudahkan murid-murid menyaksikan pertandingan supaya mereka dapat menghayati semangat Olimpik.
Ma Xiaogang berasal dari keluarga petani yang miskin di Wilayah Autonomi Etnik Hui Ningxia. "Situasi kewangan keluarga saya tidak mampu untuk membiayai pelajaran saya, apatah lagi tiket Sukan Olimpik", katanya.
Disebabkan dia seorang pelajar yang cemerlang, maka dia dan 4 orang lagi kawan sekolahnya diberi kesempatan untuk menyaksikan Sukan Olimpik di Beijing. "Saya amat menghargai peluang ini, dan akan memperkenalkan Beijing dan semangat Olimpik kepada kawan-kawan saya yang lain nanti."

Selain Beijing, Tianjin, Shanghai, Shenyang dan Qinhuangdao yang mengurus pelajar-pelajar tempatan untuk menyaksikan pertandingan ini, ada 27 buah bandar lagi yang juga terlibat dalam melaksanakan program "tiket Sukan Olimpik untuk sektor pendidikan" ini.
Gao Hong menyatakan bahawa program ini merupakan sebahagian penting daripada rancangan pendidikan Olimpik China. Pada hakikatnya, ini juga merupakan satu langkah bagi China untuk menunaikan janjinya ketika memohon untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Ke-29, iaitu menyebarkan semangat Olimpik dalam kalangan remaja dan belia China yang mencecah angka 400 juta orang sekarang ini.
|