v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Keberanian Para guru Ternyata dalam Bencana Gempa di Sichuan

2008-10-27 10:52:24 CRI

Ketika berlaku bencana gempa bumi yang dahsyat yang melanda provinsi Sichuan China pada 12 Mei yang lalu, beberapa orang guru didapati tidak mempedulikan keselamatan diri mereka untuk menyelamatkan murid-murid mereka, bahkan ada yang berkorban nyawa. Kerajaan China telah memberikan penghargaan kerana jasa mereka pada 10 September yang lalu sempena Hari Guru di China.

Puan Zhou Rulan ialah guru sastera Sekolah Rendah Hongyan Kota Pengzhou Sichuan. Selepas bencana gempa berlaku, beliau bersama-sama dengan pengetua sekolah itu telah menyelamatkan semua murid dalam kelasnya, iaitu 52 orang. Pada 12 Mei yang lalu, Puan Zhou Rulan yang sebenarnya bertugas sebagai guru sementara waktu mengajar di taman kanak-kanak. Pada hari tersebut, selepas sahaja melihat kanak-kanak tidur pada waktu tengah hari, gempa bumi telah berlaku. Katanya:

"Saya dengar bunyi yang berdentum-dentum seperti kapal terbang di langit. Saya lihat pecahan genting rumah jatuh dari atas, dan saya merasa amat cemas lalu berteriak 'Kanak-kanak, lari cepat, gempa bumi berlaku!'"

Menurut puan Zhou Rulan, ketika gempa bumi berlaku, langit menjadi gelap macam "dunia akan kiamat". Pada saat itu, beliau segera sedar dari rasa terkejut dan bingung lalu memekik meminta kanak-kanak menyelamatkan diri dengan secepat mungkin. Kanak-kanak dalam kelasnya yang paling besar berumur enam tahun dan yang paling kecil hanya empat tahun sahaja. Mereka semua terkejut oleh gejala yang begitu menakutkan dan ada juga yang terus tidur. Zhou Rulan segera membuka pintu kelas dan menarik kanak-kanak ke luar dari bangunan. Beliau bimbang bahawa tempat di luar kelas juga kurang selamat lalu memindahkan kanak-kanak ke padang sekolah.

Dengan itu, beliau terpaksa memasuki bilik darjah itu empat kali dan bersama-sama dengan pengetua sekolah itu berjaya menyelamatkan semua kanak-kanak dari kelasnya dan tiada seorang kanak-kanak pun yang cedera parah. Ketika mengingati keadaan pada masa itu, beliau menyatakan bahawa beliau berasa ada tenaga yang tidak dapat dijelaskan yang sentiasa menyokongnya. Kata beliau:

"Pada saat yang begitu bahaya, semua keberanian saya terangsang. Lebih-lebih lagi ketika berdepan dengan bencana yang dahsyat itu, saya hanya hendak menerpa ke dalam bilik untuk menyelamatkan kanak-kanak. Selepas murid-murid dipastikan berada dalam situasi yang selamat, baru saya terfikir saya juga tidak tahu dari mana datangnya keberanian saya itu."

Kami menganggap keberanian beliau berpunca daripada rasa tanggungjawab sebagai seorang guru. Zhou Rulan menyatakan bahawa selain keselamatan kanak-kanak, beliau tidak pernah bimbang akan keselamatan dirnyai sendiri pada masa itu. Katanya:

"Mula-mulanya, saya bimbang runtuhan rumah akan menyakiti kanak-kanak. Jika itu berlaku, tanggungjawab sebagai guru tidak saya pikul dengan baik. Ibu bapa, sekolah dan masyarakat telah menyerahkan kanak-kanak itu kepada saya, jadi saya mesti memastikan keselamatan mereka."

Zhou Rulan berjaya menyelamatkan murid-muridnya dan dirinya, manakala ada guru pula sanggup mengorbankan nyawa dalam tindakan menyelamatkan murid-muridnya. Xiang Qian yang berumur 21 tahun ialah guru bahasa Inggeris Sekolah Rendah Longju Kota Shifang. Ketika gempa bumi berlaku, beliau sedang mengajar di tingkat tiga bangunan sekolahnya. Selepas menyelamatkan 37 orang pelajar, bangunan itu runtuh. Ketika penyelamat menemui mayatnya, tubuh beliau didapati melindungi tiga orang pelajar.

Bapa Xiang Qian, Encik Xiang Zhonghai memberitahu wartawan bahawa bilik darjah Xiang Qian amat dekat dengan tangga dan dia berpeluang menyelamatkan diri bersama-sama dengan muridnya dari bangunan itu. Beliau berkata:

"Jika Xiang Qian hendak menyelamatkan diri, dia hanya perlu mengambil masa dua atau tiga saat sahaja. Dia pernah menjadi johan acara lari jarak dekat ketika belajar di universiti. Tetapi dia hanya mahu menyelamatkan muridnya."

Xiang Qian tamat dari universiti pada tahun 2007 dan dipilih menjadi guru bahasa Inggeris di Sekolah Rendah Longju setelah berjaya dalam peperiksaan kelayakan yang pertama di kota Shifang. Xiang Zhonghai menyatakan bahawa untuk menguasai kaedah mengajar yang lebih berkesan, Xiang Qian telah membeli seunit keset pengajaran untuk belajar sendiri. Namun, dia hanya sempat belajar melalui sekeping keset sahaja, dan kini jiwanya hilang. Bapanya berkata:

"Impiannya memang untuk menjadi seorang guru, tetapi dia pergi sebelum menyambut Hari Guru yang pertama baginya. Saya sedih, tetapi juga amat bangga kerana dia mengorbankan nyawa untuk menyelamatkan muridnya."

Sekolah Menengah Beichuan merupakan sebuah sekolah yang musnah teruk dalam gempa bumi Wenchuan Sichuan yang lalu. Ketika Li Jiaping sedang mengajar murid-murid tahun kedua sekolah itu, gempa bumi telah berlaku. Beliau mengarahkan murid-muridnya menyelamatkan diri dengan cepat, sambil menyokong rangka pintu dengan badannya supaya lebih ramai murid dapat keluar dari bilik darjah yang sedang pecah dan runtuh itu. Akhirnya, bangunan sekolah itu runtuh.

Pada mulanya, Li Jiaping masih hidup dalam runtuhan itu. Di sekitarnya masih ada enam orang murid yang hidup. Salah seorang murid daripada enam orang murid itu memberitahu suami Li Jiaping bahawa guru mereka cedera parah di kepala dan darah tidak berhenti keluar, tetapi beliau terus menggalakkan muridnya supaya bertahan dan juga menceritakan cerita yang menggalakkan kepada mereka. Selepas bertahan selama dua hari, murid-murid tersebut telah diselamatkan. Namun, Li Jiaping mengalah kepada takdir.

Pada 1 September yang lalu, Sekolah Menengah Beichuan beroperasi seperti biasa. Perdana Menteri China, Wen Jiabao menggalakkan sekolah itu membangunkan semula semangat pendidikan dengan perkataan "berusaha terus menerus untuk memajukan diri". Pengetua Sekolah Beichuan, Liu Yachun juga kehilangan isteri dan anak dalam bencana gempa itu. Beliau enggan menyatakan rasa sedihnya lagi. Beliau selalu menegaskan bahawa lebih baik "memandang masa depan". Katanya:

"Semua usaha kami sekarang hanya dengan satu sasaran, iaitu membantu setiap murid supaya menumpukan perhatian kepada pelajarannya dan mencapai kemajuan tahap demi tahap."

Liu Yachun mengatakan bahawa guru-guru di kawasan bencana sedang membantu murid-murid untuk mengatasi kesukaran dalam pelbagai bidang dengan kasih sayang dan tindakan yang bersungguh-sungguh.

Pelajaran pertama yang diberikan oleh Liu Yachun kepada muridnya adalah "membalas budi", supaya murid-murid memperingati keberanian guru mereka dan bantuan masyarakat.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |