v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Angkasawan Kapal Angkasa Lepas "Shenzhou VII"

2008-11-04 10:24:22 CRI

Pada pukul 9.10 malam 25 September waktu Beijing yang lalu, kapal angkasa lepas "Shenzhou VII" telah dilancarkan dan memulakan penerbangannya yang membawa angkasawan ke angkasa lepas buat kali ketiga bagi China. Misi utama penerbangan kapal angkasa lepas ini adalah untuk menjalankan tugas di luar kapsul di angkasa lepas buat kali pertama bagi projek penerbangan angkasa lepas pembawa angkasawan. Teknologi yang menjamin kejayaan penerbangan kali ini amat rumit dan disebabkan unsur-unsur sering berubah dalam penerbangan, tuntutan terhadap angkasawan menjadi lebih tinggi berbanding dengan masa-masa dahulu. Ketiga-tiga angkasawan yang dibawa oleh "Shenzhou VII" ini segera menjadi fokus orang ramai.

Ketiga-tiga angkasawan ini dilahirkan pada tahun 1966. Mereka Berjaya dipilih sebagai anggota kumpulan misi penerbangan ini pada bulan Jun 2008. Mereka ialah kumpulan ketiga yang berpeluang terbang di angkasa lepas. Antara mereka ada yang pernah dipilih sebagai calon angkasawan "Shenzhou V" dan "Shenzhou VI", tetapi gagal pada peringkat akhir pemilihan. Sejak pasukan penerbangan angkasa lepas China ditubuhkan pada tahun 1998, mereka terus berjuang untuk menyertai misi penerbangan angkasa lepas ini hampir 10 tahun lamanya. Akhirnya, pada tahun 2008, impian mereka tercapai. Dalam proses pemilihan untuk penerbangan dengan "Shenzhou VII", mereka telah berdepan cabaran dan ujian yang baru.

Pemilihan angkasawan kali ini lebih mengambil kira keupayaan menyeluruh termasuk kesihatan tubuh badan, psikologi dan keketabahan dalam menghadapi situasi yang berlainan dan mencabar. Pengarah dan Pereka Utama Sistem Angkasawan dalam Projek Penerbangan Angkasa Lepas Pembawa Angkasawan China ini, Encik Chen Shanguang berkata:

"Kami telah mengubah suai rancangan pemilihan dan latihan angkasawan kali ini berdasarkan pemilihan angkasawan bagi 'Shenzhou V' dan 'Shenzhou VI'. Oleh sebab angkasawan 'Shenzhou VII' akan menjalankan tugas di luar kapsul di angkasa lepas buat kali pertama, mereka akan menjalankan tugas yang lebih rumit. Ini bermakna tuntutan bagi angkasawan juga amat tinggi."

Dalam proses pemilihan angkasawan "Shenzhou VII", ketiga-tiga angkasawan tersebut telah menjalani latihan, ujian dan melalui peperiksaan yang tidak boleh dihadapi oleh orang biasa. Menurut prosedur, selepas "Shenzhou VII" dilancarkan, banyak tugas perlu dijalankan bersama-sama oleh ketiga-tiga angkasawan ini. Oleh itu, rasa percaya antara ketiga-tiga mereka amat penting. Sebenarnya sebelum memutuskan ketiga-tiga mereka sebagai angkasawan "Shenzhou VII", Pusat Penerbangan Angkasa Lepas China telah mengadakan ujian psikologi terhadap mereka terlebih dahulu. Kerjasama antara ketiga-tiga angkasawan ini dikenal pasti sebagai yang paling baik oleh semua pegawai. Sekarang, mari kita berkenalan dengan ketiga-tiga mereka.

Encik Zhai Zhigang dilahirkan di Longjiang kota Qiqihaer, provinsi Heilongjiang pada bulan Oktober tahun 1966. Pada tahun 2003, beliau terpilih sebagai salah seorang calon untuk menjalankan tugas penerbangan bagi "Shenzhou V", dan kemudian, sekali lagi dipilih sebagai calon untuk menjalankan tugas penerbangan bagi "Shenzhou VI" pada tahun 2005. Namun, pada tahun 2008, beliau berjaya menjalankan tugas penerbangan kapal angkasa "Shenzhou VII" dan tugas di luar kapsul di ruang angkasa lepas. Dengan itu, beliau menjadi orang China yang pertama menjalankan tugas di luar kapsul. Ketika itu, beliau menyampaikan ucap selamat kepada rakyat seluruh dunia:

"Saya telah berada di luar kapsul. Keadaan tubuh badan baik. Kami melambai-lambai kepada rakyat China dan dunia. "

Selepas berjaya menyelesaikan tugasnya di luar kapsul dan kembali ke dalam kapal angkasa lepas, Zhai Zhigang menghubungi pusat kawalan penerbangan angkasa lepas Beijing. Beliau berkata:

"Kami amat sihat, ujian sains angkasa sedang dijalankan menurut jadual, dan tugas di luar kapsul telah diselesaikan dengan lancar. Pakaian yang direka bentuk khusus untuk angkasawan menjalankan tugas di luar kapsul amat selesa. Kami berasa bangga untuk tanah air ketika bertugas di ruang angkasa lepas."

Zhai Zhigang orang yang kacak dan pembawaannya riang. Beliau mudah mendatangkan kegembiraan kepada orang lain. Beliau juga pandai menari, suka membaca buku cerita Wushu dan selalu mencontohi lakonan artis terkenal di China. Selain daya tarikan yang dimiliki oleh beliau, Zhai Zhigang amat rajin berlatih dalam latihan yang ditetapkan. Naib Ketua Pusat latihan Penyelidikan Sains Angkasawan China, Yang Liwei menyanjung tinggi sikap Zhai Zhaigang:

"Zhai Zhigang cerdik dan pengetahuan teknologinya amat baik. Melalui kejayaan pelancaran 'Shenzhou IV' dan 'Shenzhou VI', saya penuh yakin beliau akan berjaya menyelesaikan tugasnya dalam 'Shenzhou VII'."

Encik Liu Boming pula, berumur 42 tahun, dan berasal dari kaunti Yian, provinsi Heilongjiang. Ketika tugas di luar kapsul kapal angkasa 'Shenzhou VII' dijalankan oleh Zhai Zhigang, beliau bertugas membantunya untuk mengendalikan alat-alat yang berkenaan. Liu Boming seorang yang pendiam, tetapi diam-diam ubi berisi. Beliau menganggap angkasawan merupakan kerjaya yang disediakan bagi orang yang berani. Beliau berkata:

"Bagi saya, daya tarikan angkasa lepas lebih besar daripada bumi. Saya tidak pernah putus asa dan akhirnya berpeluang juga menjalankan tugas dalam penerbangan kali ini."

Encik Jing Haipeng dilahirkan pada bulan Oktober tahun 1966 di kota Yuncheng, provinsi Shanxi. Dalam penerbangan kapal angkasa "Shenzhou VII" kali ini, beliau bertanggungjawab mengawasi penerbangan kapal angkasa tersebut melalui skrin yang dipasang dalam kapsul kembali serta menghubungi pusat kawalan di bumi. Jing Haipeng menyifatkan peranannya seperti ini:

"Tugas saya terutamanya adalah untuk memberikan sokongan yang kukuh kepada kedua-dua orang rakan saya ketika mereka menjalankan tugas. "

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |