v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Imam Wang Shuotian, Pengerusi Persatuan Islam Bandar Lanzhou China

2007-04-18 10:44:50 CRI

Imam Wang Shuotian merupakan tokoh Islam yang amat terkenal di bandar Lanzhou China. Beliau mencintai negara dan taat akan agama Islam, berusaha menanam pokok di tanah tandus, giat mengembangkan pendidikan agama Islam serta kebajikan masyarakat, menyediakan bantuan kepada penduduk yang miskin dan lain-lain. Jasa beliau telah disanjung tinggi oleh kerajaan dan pelbagai lapisan masyarakat di porvinsi Gansu dan bandar Lanzhou.

Jawatankuasa Pentadbiran Masjid Gongbei yang dipimpin oleh Imam Wang Shuotian telah beberapa kali menerima anugerah sebagai kumpulan yang cemerlang dalam kalangan umat Islam di bandar Lanzhou sejak ditubuhkan pada tahun 1986. Masjid itu juga telah dianugerahkan sebagai masjid yang cemerlang oleh Persatuan Islam Gansu pada bulan Mei tahun 2006. Imam Wang Shuotian juga telah memperoleh pelbagai anugerah termasuk tokoh yang giat mengembangkan pendidikan di Linxia, imam yang cemerlang di provinsi Gansu pada tahun 1997 dan lain-lain.

Masjid Gongbei yang terletak di kawasan bandar Lanzhou telah dimusnahkan dan dijadikan sebagai sebuah kilang semasa Revolusi Kebudayaan yang berlaku pada tahun 1966. Setelah Revolusi Kebudayaan berakhir pada tahun 1976, kerajaan bandar Lanzhou telah memutuskan untuk membina masjid tersebut semula di lokasi asalnya. Namun, imam Wang Shuotian berpendapat bahawa pemindahan kilang tersebut akan menggunakan dana kerajaan sejumlah lebih 2 juta yuan RMB dan kehidupan seramai beberapa ratus orang pekerja di kilang tersebut akan terjejas. Natijah daripada perkara tersebut, imam Wang Shuotian telah menasihatkan umat Islam tempatan supaya membina masjid tersebut semula di Woniuling yang terletak di kawasan desa bandar Lanzhou.

Projek pembinaan semula masjid Gongbei di kawasan Woniuling telah dimulakan pada tahun 1985. Imam Wang Shuotian telah berusaha menjalankan perniagaan untuk membiayai projek tersebut supaya meringankan beban umat Islam tempatan. Beliau telah membeli 5 ekor lembu tenusu dan 6 ekor kambing dari Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang dan menubuhkan sebuah ladang ternakan. Selain itu, beliau telah menubuhkan sebuah kilang pengeluar batu bata yang kecil. Batu bata yang dihasilkan oleh kilang itu telah digunakan dalam projek pembinaan masjid tersebut. Tindakan itu telah mengurangkan kos pembinaan masjid Gongbei.

Kegigihan imam Wang Shuotian dan umat Islam dikawasan itu untuk membina sebuah masjid di Gongbei telah menarik perhatian kerajaan. Lantas Jabatan Perhutanan Qilihe telah menghantar pakar dan pokok bermutu untuk mengadakan projek penghijauan di kawasan Gongbei.

Pada tahun 1992, umat Islam di kawasan Gongbei telah mengumpulkan dana sejumlah 50 ribu yuan RMB dan kerajaan telah menyediakan peruntukan sejumlah 260 ribu yuan RMB untuk menggali sebuah telaga bagi menyelesaikan masalah bekalan air minuman di kawasan tersebut.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, umat Islam di Gongbei telah menanam sejumlah lebih 600 ribu batang pokok di kawasan tersebut. Sayur-sayuran yang dihasilkan dari kebun di kawasan itu telah dijual ke bandar-bandar selain memenuhi keperluan penduduk tempatan. Pada masa sekarang, ladang ternakan di kawasan Gongbei telah memiliki lebih 120 ekor lembu tenusu dan lebih 700 ekor kambing. Jumlah penjualan susu segar di ladang itu mencapai 1500 yuan RMB pada setiap hari. Pada 2002, ladang itu telah menjual sebahagian anak lembunya dan memperoleh keuntungan sejumlah lebih 800 ribu yuan RMB.

Pada Jun tahun 1999, umat Islam di Gongbei telah mengumpulkan dana sejumlah 420 ribu yuan RMB dan kerajaan telah menyediakan peruntukan sejumlah 600 ribu yuan RMB untuk membina lebuh raya di kawasan tersebut.

Seiring dengan kemajuan ekonomi di kawasan Gongbei, umat Islam tempatan telah berusaha membina bangunan-bangunan berciri Islam di kawasan itu. Imam Wang Shuotian telah mereka bentuk bangunan-bangunan tersebut termasuk masjid besar, pintu gerbang, tugu peringatan, taman bunga dan lain-lain. Jumlah keluasan kompleks bangunan di Gongbei mencapai 19 ribu meter persegi dan merupakan kompleks bangunan Islam yang terbesar di bahagian barat laut China. Hingga masa sekarang, kawasan Gongbei telah menerima kunjungan seramai lebih 10 ribu orang pelancong. Pada Mac tahun 2006, Jabatan Pentadbiran Pelancongan Lanzhou telah menetapkan Gongbei sebagai salah satu daripada 10 destinasi pelancongan yang paling terkenal di bandar itu.

Walaupun imam Wang Shuotian telah berjaya mengembangkan ekonomi tempatan dan membina masjid yang tersergam megah, namun beliau masih berjimat cermat dalam kehidupannya. Walaupun beliau telah mengelolakan dana sejumlah kira-kira 200 juta yuan RMB di kawasan komuniti Islam itu, namun beliau masih memakai baju dan makan makanan yang sederhana. Pada masa sekarang, beliau masih belum memiliki kereta sendiri. Namun, beliau amat bermurah hati untuk memberi bantuan kepada pihak lain sekiranya mereka mengalami kesusahan.

Pada awal tahun 1991, Sekolah Menengah Pertama Kaunti Dongxiang telah menghadapi masalah kekurangan dana bagi projek pembinaan dewan kuliah yang baru. Maka, imam Wang Shuotian telah menyediakan dana sejumlah 30 ribu yuan RMB untuk projek tersebut. selain itu, imam Wang Shuotian telah menubuhkan Tabung Pendidikan Sekolah Menengah Kedua Kaunti Dongxiang dan menyandang jawatan sebagai pengerusi tabung tersebut. Pada masa sekarang, tabung itu telah mengumpulkan dana sejumlah lebih 2 juta yuan RMB untuk mengembangkan pendidikan di kawasan tersebut.

Bermula pada tahun 1996, umat Islam di kawasan Gongbei yang dipimpin oleh imam Wang Shuotian telah menyumbangkan derma sebanyak 48 ribu yuan RMB, lebih 10 ribu helai pakaian, lebih 350 kilogram tepung gandum serta barang-barang keperluan hidup yang lain kepada umat Islam yang susah di kawasan lain. Selain itu mereka telah menyumbangkan derma sejumlah 10 ribu yuan RMB kepada Institut Al-Quran Lanzhou dan Sekolah Menengah Barat Laut China.

Pada April tahun 2003, Persatuan Islam Gansu mengadakan aktiviti untuk membantu pelajar daripada keluarga yang miskin. Imam Wang Shuotian telah menyumbangkan derma sebanyak seribu yuan RMB untuk membantu 3 orang pelajar daripada keluarga yang miskin. Pada bulan Mei tahun itu, imam Wang Shuotian telah menyumbangkan derma sebanyak 1500 yuan RMB kepada pusat pemulihan orang kurang upaya.

Semasa Asia Tenggara dilanda tsunami, imam Wang Shuotian telah menyumbangkan derma sebanyak 4000 yuan RMB kepada mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana tersebut.

Imam Wang Shuotian menyatakan bahawa masa depan umat Islam di Gongbei Gansu amat cerah. Kawasan itu akan memainkan peranan yang penting dalam perkembangan sektor pelancongan di bahagian barat China.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |