v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Seorang Pemudi, Aziguli dari Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang yang Gigih Berkhidmat Sebagai Sukarelawan untuk Sukan Olimpik Beijing

2008-09-11 14:57:30 CRI

Pada kira-kira pukul 4.00 petang 26 Ogos lalu, Aziguli dan 4 orang rakan-rakannya dari Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang menaiki kapal terbang untuk pulang ke Urumqi, kampung halaman mereka.

Ibunya telah menyediakan masakan Xinjiang yang istimewa. Aziguli makan makanan tersebut dengan sepuas-puasnya. Lebih 20 hari beliau tidak merasai makanan yang dimasak oleh ibunyal. Setelah kenyang, Aziguli tertidur kerana baru terasa kepenatan yang amat sangat. Beliau baru menyelesaikan satu tanggungjawab besar untuk negara.

Pada 30 Julai lalu, Aziguli dan rakan-rakannya dari wilayah Autonomi Uygur Xinjiang memulakan khidmat sebagai sukarelawan untuk Sukan Olimpik Beijing di Universiti Sains dan Teknologi Beijing. Universiti tersebut menyediakan asrama dan kantin yang menyediakan makanan halal yang agak selesa untuk sukarelawan Islam dari Xinjiang. Aziguli dan rakan-rakannya berkhidmat untuk pertandingan Judo dan Taekwando yang diadakan di gimnasium universiti tersebut.

Walaupun telah menerima latihan yang sewajarnya untuk tugas berkenaan di Xinjiang, tetapi mereka kurang mengetahui keadaan di Beijing. Oleh sebab itu, Universiti Sains dan Teknologi Beijing telah menyediakan 2 orang pembantu bagi setiap sukarelawan bagi membantu menyesuaikan diri dengan keadaan di gimnasium, asrama, kantin dan kemudahan yang bekaitan.

Aziguli asih berbahasa Inggeris. Beliau bertugas untuk memeriksa tiket, pas dan menunjukkan arah atau tempat duduk yang ditetapkan dalam pertandingan Judo dan Taekwando.

Beliau bangun pada pukul 5.00 pagi setiap hari dan sarapan di kantin pada pukul 5.30. Universiti tersebut telah menyediakan makanan pelbagai jenis yang lazat untuk sukarelawan.

Pada pukul 6.00 pagi, Aziguli pergi ke gimnasium. Walaupun kedudukan kedua-dua tempat tersebut berhampiran, tetapi pemeriksaan keselamatan akan mengambil masa lebih dua jam. Pada kira-kira pukul 9.00 pagi, Aziguli dan rakan-rakannya masuk gimnasium. Penonton akan masuk ke gimnasium lebih awal iaitu sejam sebelum pertandingan dimulakan. Pada masa inilah, Aziguli dan rakan-rakannya agak sibuk untuk menunjukkan arah dan tempat duduk yang ditetapkan kepada penonton. Apabila pertandingan dimulakan, Aziguli dan rakan-rakannya perlu menghadap penonton dengan membelakangi gelanggang. Menurut peraturan daripada Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Beijing, sukarelawan bertugas untuk mengawal tindak-tanduk penonton yang bersorak untuk atlet supaya tidak melampaui batas. Oleh sebab gelanggang berada di belakang, Aziguli dan rakan-rakannya hanya dapat mengetahui keadaan pertandingan melalui wajah penonton.

Dalam satu insiden, Aziguli hampir membelakangi peraturan dalam tugasnya. Ketika pertandingan Taekwando berlangsung, atlet dari Taiwan China, Su Liwen tercedera di lutut dan terjatuh sebanyak 14 kali. Bagaimanapun, beliau bangun semula dan terus gigih menyertai pertandingan. Para penonton menangis sambil berdiri dan bersorak memberi semangat kepada beliau. Aziguli tidak sampai hati untuk menghalang tindakan penonton tersebut dan hanya melihat sahaja.

Walaupun kepenatan yang amat sangat kerana hanya tidur 5 jam sahaja sedangkan beliau bertugas selama lebih 10 jam pada setiap hari, tetapi Aziguli amat bersemangat apabila mendengar lagu kebangsaan China berkumandang dalam gimnasium. Ketika atlet Judo China yang tersohor, Xi Dongmei merangkul pingat emas, semua penonton merasa gembira dan berdiri sambil bersorak kepada beliau. Aziguli juga amat gembira dan terharu. Bagaimanapun, beliau berusaha menahan diri daripada terikut-ikut dengan gelagat penonton sebaliknya menasihatkan mereka supaya duduk di tempat masing-masing.

Ketika bendera kebangsaan China dikibarkan diiringi muzik lagu kebangsaan setiap kali atlet China menang, para penonton berdiri untuk bersama-sama menyanyi lagu kebangsaan, keadaan ini membuatkan Aziguli terharu dan sentiasa menangis. Sebagai sukarelawan dari Wilayah Autonomi Xinjiang, beliau amat bangga dapat menyaksikan sendiri kemeriahan temasya sukan berprestij ini dan kejayaan tanah air dalam acara yang dipertandingkan.

Aziguli dan rakan-rakannya gigih berkhidmat untuk Sukan Olimpik dan sentiasa bersikap sabar dalam melayani penonton. Ini membuatkan penonton dari dalam dan luar negara amat kagum dengan perkhidmatan mereka. Semasa menjalankan tugas, Aziguli tidak terlepas daripada berhadapan dengan beberapa orang penonton yang kurang sopan. Pada hari pertama pertandingan Judo, terdapat seorang penonton lelaki yang teruja dan tidak sedar berlaku kurang sopan. Dia telah berdiri kerana ghairah menonton pertandingan itu dan tindakan tersebut menutup pandangan penonton yang duduk di belakang. Ini mencetuskan rasa tidak puas hati mereka. Aziguli dengan senyum menasihatinya supaya duduk. Tetapi lelaki itu marah dan menolak beliau. Menurut peraturan, sukarelawan tidak boleh bergaduh dengan penonton, Aziguli bersikap sabar dan sekali lagi dengan senyum meminta penonton itu supaya duduk.

Majoriti penonton amat bersopan dan mereka telah menjadi sahabat baik bagi sukarelawan. Seorang warga emas wanita dari Jepun telah menghadiahkan lencana kepada sukarelawan manakala seorang ibu johan dari Republik Korea telah menghadiahkan banyak rantai kunci kepada sukarelawan. Aziguli telah menerima lencana dari 8 buah negara dan wilayah. Beliau juga menghadiahkan cendermata yang istimewa dari Xinjiang kepada penonton-penonton tersebut.

Pada hari keempat untuk pertandingan Judo, Aziguli tiba-tiba berasa kurang sihat. Rakannya telah menghantar beliau ke bilik untuk berehat. Pekerja yang sedang berehat di bilik itu telah menyediakan tempat duduk yang selesa serta memberi ubat dan air panas untuk beliau. Para sukarelawan dari seluruh negara bersahabat baik dan tolong-menolong. Aziguli berasa senang hati dapat tinggal dan bekerja bersama-sama dengan mereka.

Dalam upacara penutup Sukan Olimpik Beijing, 3 orang anggota Jawatankuasa kecil Atlet Jawatankuasa Sukan Olimpik Antarabangsa yang baru dilantik telah menghadiahkan bunga kepada 12 orang wakil sukarelawan. Ini merupakan kali pertama sukarelawan dimasukkan dalam agenda upacara penutup temasya sukan tersebut. Aziguli menyatakan bahawa beliau telah lebih memahami tugas-tugas sukarelawan. Perkhidmatan yang baik dan senyuman manis daripada sukarelawan menjadi suatu pemandangan yang menarik dalam Sukan Olimpik.

------Andika

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |