Menurut Agensi Berita Xinhua China, Jabatan Pentadbiran Am Sukan China semalam mengumumkan bahawa Projek Riadah Petani akan dilaksanakan di seluruh negara pada tahun ini. Projek itu meliputi pembinaan pusat riadah awam yang kecil dan penubuhan pertubuhan sukan di kampung. Ini akan mempercepat perkembangan usaha sukan di kampung China.
Dalam sidang akhbar Jabatan Penerangan Dewan Negara China semalam, Naib Ketua Pengarah Jabatan Pentadbiran Am Sukan China Feng Jianzhong menyatakan bahawa Projek Riadah Petani merupakan satu projek awam yang dapat memberikan manfaat kepada para petani. Standard asas kemudahan olahraga awam di kampung ialah sebuah gelanggang bola keranjang dan dua buah meja bola ping pong.
Di China, hampir 80% penduduk tinggal di desa. Berdasarkan banci lapangan sukan seluruh negara ke-5, pada masa ini, terdapat lebih 850 ribu buah lapangan sukan di China, hanya 8.18% daripada jumlah itu berada di desa. Pembinaan kemudahan riadah awam di desa jauh ketinggalan.
Feng Jianzhong menambah, pembaikan kemudahan riadah dan penyempurnaan perkhidmatan awam sukan di desa China bukan sahaja akan menyemarakkan kebudayaan dan kehidupan para petani, tetapi juga akan mendorong pembinaan desa baru yang beradab dan harmoni. Berdasarkan penyiasatan yang dijalankan oleh Jabatan Pentadbiran Am Sukan China, para petani berhasrat untuk beriadah.
Baru-baru ini, Jabatan Pentadbiran Am Sukan China dan Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan China telah memperuntukkan dana untuk membina projek kemudahan riadah para petani di kampung-kampung di China.
Kerajaan China akan berusaha menyelesaikan pembinaan kemudahan tersebut di 1/6 kampung di China dalam tempoh Rancangan 5 Tahun Ke-11 dan sebanyak 150 juta orang petani akan dapat menggunakan kemudahan tersebut.
|