Menurut Agensi Berita Xinhua China, Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Beijing telah menandatangani memorandum persefahaman dengan syarikat penghantaran bungkusan yang paling besar di dunia, iaitu UPS (United Parcel Service of America) semalam. Dengan demikian, UPS mula mengendalikan Pusat Perkhidmatan Penghantaran Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Beijing dan mengeluarkan cadangan perkhidmatan pos laju dan pengedaran barangan untuk Sukan Olimpik 2008.
Untuk menjamin kerja-kerja pengedaran barangan Sukan Olimpik Beijing dijalankan dengan lancar, Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Beijing akan menubuhkan pusat perkhidmatan penghantaran yang bertanggungjawab atas urusan penyimpanan dan penghantaran barangan. Pusat itu dikendalikan oleh UPS. Selain itu, UPS akan bersama-sama dengan Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Beijing menggubal rancangan tentang pelaksanaan dan pengendalian pusat tersebut serta menyediakan perkhidmatan pos laju dan pengangkutan kepada kampung Sukan Olimpik dan kampung media massa.
Berdasarkan persetujuan, UPS akan menyediakan perkhidmatan bagi Sukan Olimpik 2008, Sukan Paralimpik Beijing 2008, Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik China dan kontinjen China yang menyertai Sukan Olimpik 2008.
Menurut memorandum persefahaman tersebut, perkhidmatan UPS merangkumi penghantaran filem dan alat-alat fotografi ke pusat penerangan, penghantaran tiket menerusi pos laju dan lain-lain.
"Kami berharap Sukan Olimpik Beijing akan menjadi temasya sukan yang paling berjaya. Maka, setiap orang harus memberi sumbangan." kata Presiden Kawasan Asia-Pasifik UPS, Ken Torok. "Dengan pengalaman banyak kali memberi tajaan kepada Sukan Olimpik, kami telah membuat persediaan untuk menjamin kerja-kerja pengedaran barangan dijalankan dengan lancar bersama-sama dengan Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Beijing."
|