v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Tenis China Menetapkan Sasaran Baru dalam Saingan Musim Baru
2007-01-25 11:00:05 CRI

Tahun 2006 yang baru berlalu merupakan tahun yang istimewa bagi sukan tenis China. Pada tahun itu, pasukan tenis kebangsaan China telah mencapai pelbagai kejayaan yang membanggakan. Dalam pada itu, pasangan beregu wanita China, Zheng Jie dan Yan Zi telah meraih juara dalam dua pertandingan tenis yang terkemuka di dunia, iaitu Kejohanan Tenis Terbuka Australia dan Kejohanan Tenis Terbuka Wimbledon. Pemain veteran China Li Na pula telah berjaya melayakkan diri ke peringkat pertandingan suku akhir perseorangan wanita dalam Kejohanan Tenis Terbuka Wimbledon. Beliau juga banyak kali mencipta rekod tertinggi bagi pemain China dalam senarai Persatuan Tenis Wanita Dunia (WTA).

Pemain veteran China Li Na

Pada tahun 2007, memandangkan cabaran daripada Sukan Olimpik Beijing 2008, pemain-pemain tenis China telah menetapkan sasaran yang baru bagi pertandingan musim baru yang akan datang.

Salah satu tugas yang penting bagi pasukan tenis wanita kebangsaan China pada tahun 2007 adalah untuk mengatur semula pemain beregu dan membentuk satu pasangan beregu baru yang bertaraf dunia.

Pemenang pingat emas Sukan Olimpik Athens menerusi acara tenis beregu wanita, Sun Tiantian dan Li Ting tidak mencapai kemajuan dalam tempoh dua tahun yang lalu. Memandangkan keadaan itu, pasukan tenis kebangsaan China memutuskan untuk memisahkan pasangan tersebut. Ketika menyebut keputusan itu, Ketua jurulatih pasukan tenis wanita kebangsaan China, Jiang Hongwei berpendapat bahawa: "Hasil pelbagai pertandingan dalam tempoh dua tahun yang lalu telah menunjukkan bahawa pasangan beregu Sun Tiantian dan Li Ting tidak boleh diteruskan. Keupayaan mereka tidak setara. Keadaan ini disebabkan oleh kemampuan Li Ting yang semakin menurun sehingga mengganggu pasangan beregu tersebut untuk mencapai kemajuan. Walaupun mereka pemenang pingat emas Sukan Olimpik, tetapi keadaan mereka sekarang kurang memuaskan, maka pasangan beregu ini mesti dipisahkan. Ini merupakan hal yang biasa."

Pemenang pingat emas Sukan Olimpik Athens dalam acara tenis beregu wanita, Sun Tiantian

Menurut perancangan pasukan tenis kebangsaan China, Sun Tiantian akan berpasangan dengan pemain yang lain untuk menyertai acara beregu dalam pelbagai kejohanan serta pertandingan WTA. Pemain-pemain tersebut bukan sahaja termasuk pemain veteran seperti Li Na dan Zheng Jie, tetapi juga termasuk pemain unggul yang baru, seperti Sun Shengnan yang pernah menjadi juara beregu wanita kumpulan belia dalam Kejohanan Tenis Terbuka Australia tahun 2004.

Jiang Hongwei berkata bahawa tindakan tersebut bertujuan untuk mencari satu pasangan beregu wanita yang mantap dalam tempoh yang terdekat. Pasangan beregu yang baru itu akan bersama-sama dengan pasangan beregu Zheng Jie dan Yan Zi untuk merebut pingat emas dalam Sukan Olimpik Beijing 2008.

Satu lagi tugas yang penting bagi pasukan tenis wanita kebangsaan China pada tahun ini adalah untuk mencapai keseimbangan keupayaan pemain dalam acara perseorangan dan beregu.

Zheng Jie, pemenang dua pingat emas Sukan Asia Doha dalam acara tenis perseorangan wanita dan beregu wanita

Memandangkan keadaan sekarang ini, dalam pasukan tenis wanita China hanya seorang pemain sahaja yang berkeupayaan untuk mencapai hasil yang baik dalam acara perseorangan dan juga beregu, iaitu Zheng Jie, pemenang dua pingat emas Sukan Asia Doha dalam acara tenis perseorangan wanita dan beregu wanita. Namun, pemain yang lain tidak menjadi. Misalnya, Yan Zi yang berpasangan dengan Zheng Jie, menduduki tangga kelima di dunia dalam acara beregu, namun beliau tidak dapat dimasukkan dalam senarai 200 teratas di dunia dalam acara individu. Manakala, Li Na yang kini menduduki tempat ke-16 di dunia dalam acara perseorangan, hanya berada pada tangga ke-70 hingga ke-80 di dunia dalam acara beregu.

Ketua Jurulatih Jiang Hongwei melahirkan kebimbangannya terhadap situasi tersebut.

"Saya berharap agar pemain-pemain China mempunyai kedudukan yang lebih kurang sama dalam acara perseorangan dan beregu di dunia. Ini kerana jika keupayaan seseorang pemain menurun dalam acara perseorangan, maka ini pasti akan menjejaskan persembahannya dalam acara beregu," katanya.

Untuk mencapai keseimbangan tersebut, keupayaan seseorang pemain dalam acara perseorangan harus ditingkatkan. Dalam pada itu, pasukan tenis wanita kebangsaan China juga meletakkan satu sasaran penting pada tahun ini, iaitu pemain perseorangan wanita nombor satu China, Li Na mengekalkan kedudukannya dalam lingkungan 15 teratas di dunia.

Li Na memang berkemampuan untuk mencapai sasaran tersebut. Dalam pertandingan sebelum Kejohanan Tenis Terbuka Australia tahun 2007, beliau telah menewaskan pemain Rusia yang berada dalam lingkungan 10 teratas di dunia, Elena Dementieva. Kini, media pelbagai negara amat optimis terhadap prospek Li Na.

Ketua jurulatih pasukan tenis wanita kebangsaan China, Jiang Hongwei (kiri) memberi bimbingan kepada Zheng Jie

Namun, tekanan psikologi sentiasa merupakan unsur yang menghalang Li Na daripada mencapai kemajuan. Dalam Sukan Asia 2006, Li Na sebagai pemain pilihan pertama telah ditewaskan oleh pencabar yang tidak setanding dengannya dan tersingkir dalam separuh akhir. Sebulan selepas itu, Li Na mengenang kembali persembahannya dalam Sukan Asia dan mengakui tindakan beliau yang kurang tepat sewaktu itu.

"Saya terlalu pentingkan kemenangan dan bimbang nanti akan dikalahkan. Kesemuanya ini telah memberi tekanan kepada saya," katanya.

Pasukan tenis wanita kebangsaan China telah mencari pelbagai pendekatan untuk meningkatkan kekuatan psikologi Li Na, antara lain termasuk melantik suami Li Na yang juga jurulatih tenis, Encik Jiang Shan sebagai jurulatih pasukan kebangsaan China.

"Kami tetap akan melantik jurulatih dari luar negara. Namun, kami juga memerlukan jurulatih China untuk membantu jurulatih asing itu. Suami Li Na juga seorang jurulatih tenis. Diharapkan dengan usaha para jurulatih, Li Na akan mencapai kemajuan yang baru," kata ketua jurulatih pasukan tenis wanita kebangsaan China, Jiang Hongwei.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |