Masyarakat Harmoni dan Dunia Harmoni
Konsep "masyarakat harmoni" bermaksud membangunkan masyarakat yang demokratik, adil, jujur, penyayang, dinamik, tenteram, teratur, mesra alam dan berasaskan kepada pentadbiran undang-undang di China.
Konsep yang dikemukakan dalam Sidang Pleno ke-4 Jawatankuasa Pusat ke-16 Parti Komunis China pada tahun 2004 tersebut telah memperlihatkan kepentingan asas dan hasrat bersama majoriti rakyat China.
Konsep "dunia harmoni" bererti bahawa China akan berpegang teguh pada prinsip multilateralisme dalam mengendalikan hubungan antarabangsa bagi mewujudkan keselamatan bersama, kerjasama yang saling menguntungkan untuk kemakmuran bersama serta memupuk semangat toleransi untuk membangunkan dan mewujudkan dunia yang harmoni. Konsep yang buat pertama kalinya dikemukakan oleh Presiden China Hu Jintao dalam sidang kemuncak memperingati ulang tahun ke-60 penubuhan PBB pada tahun 2005 itu telah menggambarkan cita-cita China dalam bidang diplomatik serta inti strategi sejagat negara ini.
Pada tahun-tahun kebelakangan ini, pembangunan "masyarakat harmoni" dan "dunia harmoni" telah menjadi dua konsep nilai utama yang digunakan dalam pembangunan negara secara damai. Pembangunan dan kemakmuran dunia memerlukan pembangunan China yang harmoni, sementara itu pembangunan dan kemakmuran China juga memerlukan satu dunia yang harmoni. Usaha kerajaan China dalam pembangunan masyarakat harmoni pasti akan dapat menyuntik daya pemangkin baru kepada pembangunan dunia yang harmoni. Sehubungan dengan itu, usaha China yang mendorong pembangunan dunia harmoni itu juga pasti akan menyediakan persekitaran antarabangsa yang bermanfaat bagi menjayakan pembangunan masyarakat harmoni dalam negeri.
|