v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Ekspo China-ASEAN Capai Hasil Memberangsangkan
2007-11-01 17:43:21 CRI

Ekspo China-ASEAN Keempat telah ditutup di Nanning, Guangxi China semalam. China telah berjaya menganjurkan Ekspo China-ASEAN sebanyak tiga kali sebelum ini. Dengan adanya pengalaman tersebut dan hubungan kerjasama yang semakin erat antara China dengan negara-negara ASEAN, Ekspo kali ini telah menarik lebih banyak perusahaan dan pengunjung dan mendapat sanjungan tinggi daripada peserta pelbagai lapisan masyarakat.

Difahamkan bahawa sebanyak 1908 buah perusahaan telah menyertai ekspo kali ini, antaranya 677 buah perusahaan daripada negara-negara ASEAN. Ekspo kali ini telah menyediakan 3400 ruang pameran, antaranya 1128 buah ruang pameran disewa oleh negara-negara ASEAN dan jumlah tersebut telah meningkat 35% berbanding tahun lalu. Antaranya, Malaysia, Indonesia, Myanmar, Thailand dan Vietnam telah membuka dewan pameran tersendiri bagi mempamerkan produk masing-masing. Sebagai "Negara yang Diberi Fokus Utama" dalam ekspo kali ini, Brunei Darussalam telah menghantar delegasi yang terdiri daripada pegawai-pegawai Kementerian Perhubungan, Kementerian Industri dan Sumber Utama, Jabatan Pelancongan serta Suruhanjaya Pembangunan Ekonomi, petugas-petugas pertubuhan perdagangan dan usahawan ke Nanning. Selain itu, Brunei juga telah mengadakan sidang promosi perniagaan dan pelaburan khas untuk mempromosi sektor pelancongan, makanan halal, teknologi maklumat dan telekomunikasi di negara itu. Menteri Perhubungan Brunei Darussalam, Pehin Abu Bakar Apong semasa menghadiri sidang tersebut memberitahu wartawan bahawa Ekspo China-ASEAN telah menyediakan platform penting bagi pertukaran dan pameran untuk negara-negara yang berkaitan.

"Ini kali pertama saya menghadiri ekspo kali ini. Bagi saya, ekspo ini suatu yang sangat menarik kerana ia dapat mempertemukan antara ASEAN dengan China. Dan bagi Brunei, ini adalah satu kesempatan bagi peniaga-peniaga dan pengusaha-pengusaha dari Brunei untuk datang memperkenalkan barangan mereka dan juga membuat hubungan kerjasama dengan rakan-rakan mereka daripda China,"  kata beliau.

Malaysia telah menghantar delegasi yang diketuai oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ng Lip Yong untuk menyertai Ekspo China-ASEAN kali ini. Dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) merupakan penyelenggara bagi pameran Malaysia dalam ekspo ini.

Ketika diwawancara, Ng Lip Yong berkata: "Saya rasa ini adalah satu pameran yang sangat baik. Malaysia telah menjemput banyak peniaga-peniaga datang supaya mereka boleh mempamerkan produk-produk mereka. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang banyak membantu kita supaya kita boleh dapat hasil yang sangat baik."

Selain daripada pameran produk dan "Bandar Menarik (City of Charm)", Malaysia juga telah mengadakan sidang promosi perniagaan, perdagangan dan pelaburan Malaysia-China. Dalam sidang itu, tokoh-tokoh dalam bidang politik dan perniagaan Malaysia telah menyampaikan ucapan dan memperkenalkan keadaan negara dan kelebihan pasaran pelaburan di Malaysia. Kerajaan Malaysia telah menumpukan perhatian yang cukup tinggi terhadap ekspo kali ini.

Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China, Datuk Yong Ah Pwi menyatakan: "Kerajaan Malaysia selalu menghantar pegawai ke China untuk mengadakan aktiviti promosi dan juga komunikasi dengan pihak China. Satu hal yang penting ialah kami mempunyai pejabat di Beijing, Shanghai dan Guangzhou. Tambahan pula, Malaysia amat mementingkan pasaran China dan hubungan dengan China. Kerajaan Malaysia juga giat mendorong pembinaan Zon Perdagangan Bebas China-ASEAN."

Tambah beliau, industri pembuatan merupakan fokus utama bagi pameran Malaysia dalam ekspo kali ini. Di samping itu, produk-produk Malaysia yang dipamerkan juga termasuk makanan, produk kesihatan, perabot, alat ganti mesin, kraftangan dan lain-lain. Pameran Malaysia kali ini telah mendapat sambutan yang baik dan menarik ramai pengunjung.

"Ekspo China-ASEAN dianjurkan dengan berjaya dan kian hari kian baik. Jumlah peserta dan ruang pameran semakin bertambah. Kami berjaya membuka dewan pameran yang terbesar yang terdiri daripada 137 buah ruang pameran. Seramai lebih 300 orang usahawan daripada 123 buah perusahaan dan lebih kurang 100 orang kakitangan kerajaan telah menyertai ekspo kali ini. Keadaan ini amat menggalakkan,"  kata beliau.

Semasa menyebut prospek kerjasama antara Malaysia dengan China dan ASEAN dengan China, Datuk Yong Ah Pwi berkata: "Kami (Malaysia) mempunyai pelbagai kelebihan dari segi jenis produk, mekanisme, lokasi geografi, sumber tenaga dan pengurusan. Selain itu, Malaysia mempunyai hubungan yang rapat dan persahabatan yang bersejarah dengan China. Saya percaya bahawa pembangunan China yang pesat dapat memangkin pembangunan ekonomi negara-negara ASEAN. Saya juga yakin bahawa kerjasama perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dengan China dan ASEAN dengan China pasti akan meningkat lagi dan mempunyai prospek yang cerah."

Dalam tempoh ekspo kali ini, pelbagai forum khas mengenai perkhidmatan perdagangan, kerjasama kewangan dan pembangunan sosial telah diadakan. Pakar-pakar berkenaan dari China dan negara-negara ASEAN telah menghadiri forum-forum tersebut dan mengadakan perbincangan tentang cara untuk meningkatkan kerjasama dua hala, mendorong pembinaan zon perdagangan bebas China-ASEAN dan menyelesaikan masalah-masalah dalam kerjasama ekonomi dan perdagangan dua hala.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Asia Tenggara Institut Hubungan Antaragangsa Kontemporari China, Encik Zhai Kun berkata: "Ekspo China-ASEAN telah berjaya diadakan sebanyak empat kali dan telah memberi keuntungan bersama kepada kedua-dua pihak. Ekspo kali ini lebih profesional berbanding dengan tahun lalu. Forum-forum tentang pelabuhan, kewangan, pelaburan dan perdagangan telah dianjurkan dalam ekspo kali ini. Ini bersesuaian dengan arah aliran perkembangan hubungan China-ASEAN dan dapat memenuhi kepentingan kedua-dua pihak."

Selain itu, ekspo itu juga menarik perhatian daripada media pelbagai negara. Seramai 1106 orang wartawan telah membuat liputan terhadap ekspo kali ini, antaranya 67 orang wartawan daripada media negara-negara ASEAN seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Akhbar Sin Chew Jit Poh, "The Brunei Times" dan lain-lain.

Pengarah Jabatan Berita Bahasa Mandarin BERNAMA, Vincent Low memberitahu wartawan kami bahawa: "Kami (BERNAMA) memfokuskan berita-berita tentang kerjasama antara China dengan negara-negara ASEAN, terutamanya China dengan Malaysia. Oleh sebab kerjasama antara China dengan negara-negara ASEAN dalam bidang perdagangan dan pelaburan semakin meningkat, maka, rakyat Malaysia juga menumpukan perhatian terhapap berita yang berkaitan."

Wartawan dari "Vientiane Times" Laos, Manichanh memberitahu pemberita kami bahawa: "Ekspo China-ASEAN bukan sahaja merupakan platform untuk mempamerkan produk-produk pelbagai negara, tetapi juga merupakan saluran penting bagi kerajaan pelbagai negara untuk mempromosi dasar pelaburan masing-masing untuk menarik pelaburan asing. Saya berpendapat bahawa ekspo kali ini amat bermanfaat bagi lebih ramai orang mengetahui negara saya, meningkatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Laos dengan China, malah ASEAN dengan China, dan menggalakkan pembinaan zon perdagangan bebas China-ASEAN. "

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |