Kalau menyebut nama William N. Brown di Xiamen, sebuah bandar pesisir di tenggara China, mungkin ramai orang tidak tahu siapa warga asing itu? Tetapi cuba menyebut nama Mandarinnya "Pan Weilian" atau "Lao Pan", setiap penduduk tempatan pasti mengetahuinya. Lao Pan merupakan warga asing yang pertama tinggal menetap di Xiamen dan salah seorang pensyarah asing yang mengajarkan kuliah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di institusi pengajian tinggi China. Jadi, dalam rancangan hari ini, marilah kita berkongsi kisah mengenai Lao Pan yang berasal dari A.S. itu.
Rumah Lao Pan yang terletak di Universiti Xiamen menghadapi laut dan dikelilingi dengan bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan. Katanya, beliau tinggal menetap di sana sejak tahun 1988. Apabila kedatangan tetamu, Lao Pan selalu berasa bangga kerana mempunyai sebuah rumah yang paling cantik di dunia.
"Saya sering memberitahu kawan-kawan saya bahawa saya memiliki sebuah rumah yang terbaik di dunia. China ialah sebuah negara yang paling menarik. Xiamen merupakan bandar yang paling cantik di China, manakala yang paling indah di Xiamen ialah Universiti Xiamen. Di lereng bukitlah terletaknya rumah saya. Saya bernasib baik kerana mendiami rumah yang terbaik di dunia."
Pada 20 tahun yang lalu, Lao Pan yang berumur 32 tahun telah melepaskan kerjayanya di A.S. lalu datang ke bandar Xiamen dengan membawa isteri dan anaknya. Beliau berkata, perasaan tertariknya kepada negara China telah menggalakkan beliau membuat keputusan yang berani tersebut.
"Saya datang ke China kerana ingin belajar bahasa Mandarin. Pada tahun 1988, seorang dari Thailand telah menelefon saya dan menyebut perkara pembelajaran bahasa Mandarin di Universiti Xiamen. Seminggu kemudian, seorang lagi menelefon saya dan menyatakan perkara yang sama. Jadi, saya digalakkan untuk menghubungi universiti tersebut. Akhirnya saya telah datang ke bandar Xiamen."
Setelah belajar bahasa Mandari di Xiamen selama beberapa bulan di Xiamen, Lao Pan telah diberi satu peluang yang baik di luar jangkaan. Ketika itu, Universit Xiamen memerlukan pensyarah MBA. Jadi, beliau telah mengambil peluang itu dan memulakan kerjayanya sebagai pensyarah di universiti tersebut. Dalam tempoh selama 20 tahun di Xiamen, beliau bukan sahaja menyaksikan pembangunan bandar itu, bahkan juga telah menimbulkan perasaan kasih sayang terhadap tempat tersebut.
"Ekonomi China telah bertumbuh dengan pesat dalam tempoh 20 tahun yang lalu. Perubahan itu berasaskan kepada perdagangan. Adalah sangat mustahak bagi China untuk belajar perdagangan antarabangsa demi mencapai kejayaan yang lebih besar dan mewujudkan perkembangan yang berterusan. China merupakan harapan negara-negara membangun. Saya berasa senang hati kerana mampu memberi sedikit sebanyak sumbangan bagi usaha tersebut. "
Yang membuat Lao Pan termasyhur di bandar Xiamen ialah selaku jurucakap Xiamen, beliau memang berjasa kepada bandar itu kerana Xiamen dipilih sebagai Bandar Taman Antarabangsa pada tahun 2002. Pada beberapa tahun kebelakangan ini, beliau juga telah membantu Quanzhou, Fujian dan Kawasan Songjiang, Shanghai dipilih sebagai Bandar Taman Antarabangsa.
"Saya telah membantu tiga bandar China menyertai pemilihan tersebut dan telah meraih Anugerah Emas. Setiap bandar mempunyai keunggulan sendiri dan rancangan pembangunan yang menyeluruh. Kesemua bandar tersebut tidak boleh ditandingi oleh bandar-bandar yang lain di dunia."
Bagi Lao Pan, membantu bandar-bandar China untuk memperoleh hadiah di dunia ialah salah satu caranya perkenalan China kepada dunia. Beliau juga telah menerbitkan buku untuk memperkenalkan Xiamen dan Provinsi Fujian kepada orang asing. "Pesona Xiamen" dan "Pesona Fujian" telah menjadi buku rujukan bagi para pelancong asing. Sementara itu, Lao Pan juga telah membuka laman sesawang yang menjadi platform untuk memperkenalkan Xiamen dan China kepada orang asing.
Lao Pan menyatakan bahawa beliau bernasib baik kerana memutuskan untuk bekerja di Xiamen.
"Bandar itu sedang diantarabangsakan. Saya fikir, kerajaan tempatan telah mengambil banyak tindakan untuk menarik kedatangan ramai orang asing ke Xiamen. Sejak tahun 1996, saya telah menyedari berlakunya perubahan di bandar itu. Xiamen amat sesuai untuk bekerja dan hidup."
Selain alam sekitar di Xiamen telah dicantikkan, Lao Pan juga beranggapan bahawa iklim ekonomi dan pelaburan di bandar itu juga telah disempurnakan dari semasa ke semasa.
"Ketika saya memutuskan untuk tinggl menetap di sini, saya berharap agar Xiamen dapat berkembang dengan lebih baik pada masa depan. Tetapi, saya tidak pernah menjangka bahawa perubahan di sini sebegitu besar. Saya amat suka tinggal dan bekerja di sini."
Pada hakikatnya, Lao Pan pernah melahirkan kebimbangannya terhadap ekonomi China yang bertumbuh dengan pesat pada beberapa tahun kebelakangan ini. Beliau merisaukan bahawa China hanya mengejar pertumbuhan ekonomi yang pesat, sebaliknya mengetepikan perlindungan alam sekitar. Tetapi, siri amalan mesra alam yang dijalankan di China telah menghapuskan kebimbangannya.
"Saya berharap agar China dapat menimba pengalaman yang baik lagi sesuai daripada negara-negara maju untuk mewujudkan kemakmuran dan pemodenan negara serta membanteras pencemaran dan kemiskinan. Saya yakin bahawa China mampu mencapai matlamat tersebut."
Boleh dikatakan bahawa Lao Pan mempunyai kaitan yang tidak boleh dipisah dengan bandar Xiamen. "Saya telah memutuskan untuk tinggal menetap di sini."----Selina
|