Stephan Mueller, seorang warga Jerman yang berumur 37 tahun sudah menetap di Lanzhou, Provinsi Gansu China selama setahun. Beliau suka akan kehidupannya di bandar yang terletak di bahagian barat laut China itu dan berhasrat untuk terus tinggal di sana.
Kumpulan Netzsch yang ibu pejabatnya terletak di Bavaria, Jerman merupakan pengilang mesin yang termasyhur di dunia. Pada tahun 1993, Netzsch telah memilih Lanzhou, Gansu China sebagai pusat pamnya. Pada tahun 2006, Stephan Mueller selaku pengurus Syarikat Pam Netzsch-Lanzhou Berhad telah memulakan kerjayanya di Lanzhou. Sebelum itu, dia selalu datang ke China kerana Netzsch memiliki banyak cawangan di beberapa buah tempat di China. Menurut Stephan, dia mempunyai tanggapan yang amat baik terhadap China.
"Pada umumnya, yang paling menarik bagi saya ialah China mempunyai banyak kawasan yang berlainan, seperti bandar pesisir dan kawasan pedalaman, kawasan dingin dan kawasan tropika. Saya benar-benar menyukai China."
Menurut Stephan, beliau telah diberitahu tentang satu pandangan yang diutarakan dalam majalah Times A.S. baru-baru ini, iaitu bagi orang asing, kebudayaan China, India dan Rusia agak susah difahami. Namun, beliau sudah sesuai dengan keadaan Lanzhou.
"Sejarah Gansu dan cara perhubungan antara penduduk tempatan dianggap unik. Tabiat setiap orang memperlihatkan ciri-ciri kebudayaan bangsa China. Sebagai orang asing yang tinggal menetap di China, saya perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran di sini."
Stephan memberitahu pemberita kami bahawa dia pernah bersama-sama dengan kawannya memandu kereta untuk mengesan pelbagai tapak peninggalan sejarah sepanjang Laluan Sutera Kuno dengan, seperti Groto Mogao Dunhuang Gansu yang terkenal dengan lukisan dinding dan pahatan batu. Sekarang, Stephan amat suka menunjuk-nunjukkan pengetahuannya tentang Groto Mogao kepada sahabatnya dan selalu membawa klien syarikatnya untuk mengunjungi tapak peninggalan sejarah tersebut. Untuk memahami kebudayaan China dengan lebih baik, Stephan juga selalu menonton pelbagai filem China. Dalam masa setahun sahaja, Stephan telah menyesuaikan diri dengan kehidupan di Lanzhou.
Puan Zheng Yingjie, pengarah pemasaran Syarikat Pam Netzsch-Lanzhou yang juga penterjemah bagi Stephan merupakan seorang yang amat memahami Stephan di syarikat tersebut. Puan Zheng memaklumkan wartawan kami bahawa dia pernah bekerjasama dengan Stephan selama setahun dan telah banyak belajar daripada Stephan, antaranya sikap kerja yang serius dan teliti.
"Saya rasa Stephan amat menghormati kebudayaan China dan adat istiadat kami. Sementara itu, sikap kerja dan cara berfikirnya pula telah mempengaruhi kami. Kami sentiasa bekerjasama dengannya."
Teman sekerjanya, Encik Chai Shaojie juga telah memberikan penilaian yang tinggi terhadap Stephan.
"Stephan bersikap teliti dan serius terhadap kerjanya dan tidak pernah lewat datang kerja. "
Pada masa lapang, Stephan dan rakan sekerjanya sentiasa sama-sama bermain. Katanya: "Kami selalu sama-sama makan di luar, bermain badminton dan bola golek, berenang dan menyanyi di karaoke."
Selain itu, Stephan juga pernah ke restoran teh untuk menikmati Opera Qinqiang, sejenis opera yang istimewa di barat laut China dan memakan ramen daging lembu yang amat terkenal di Lanzhou. Pada mulanya, Stephan tidak dapat menikmati rasa sedap makanan tersebut. Namun, kini beliau amat menyukainya.
Stephan memberitahu pemberita kami bahawa beliau amat sesuai dengan kehidupan dan suasana kerja di Lanzhou China kerana beliau bersifat terbuka dan suka bergaul dengan penduduk tempatan. Tambahan lagi dia suka berfikir dan belajar. Menurutnya, apabila berkawan dengan orang China, anda harus memberikan perhatian kepada sikap dan cara anda bercakap.
"Saya rasa, saya mesti berusaha untuk memahami akan rakan sekerja saya dari China dengan lebih baik. Sekiranya hanya terhad pada hubungan kerja, kami tidak boleh menjalinkan persahabatan yang agak erat. Secara umumnya, kerjasama antara kami memang menyenangkan hati."
Stephan sudah tinggal menetap di Lanzhou selama lebih setahun. Kadang kala dia juga merindui kampung halamannya. Semasa memperkatakan tentang kampung halamannya, senyuman terukir di wajahnya.
"Saya berasal dari bahagian selatan Jerman. Di sana terdapat banyak hutan, gunung dan tasik. Pemandangan kampung saya amat indah."
Kini, hati Stephan telah terpikat pada Lanzhou China kerana dia sudah mempunyai teman wanita yang mempelajari bahasa Jerman di sebuah universiti di Lanzhou. Stephan berkata, tarikh kontrak dengan Kumpulan Netzsch akan tamat, namun beliau telah memutuskan untuk meneruskan kerjanya di syarikat tersebut selama 5 tahun atau lebih lama lagi.----Selina
|