v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Zhang Shuzhen Berjaya Perkenalkan Penanaman Teh ke Kawasan Utara China
2008-02-13 09:13:32 CRI

Tahukah saudara, lagu teh yang kedengaran merdu itu asalnya dari mana? Anda mungkin rasa, lagu itu dari kawasan selatan China yang terkenal dengan pengeluaran tehnya dalam jumlah yang besar. Sebenarnya, bukanlah begitu, lagu teh tersebut adalah dari Pangkalan Penanaman Teh Kaunti Shangnan yang terletak di Provinsi Shaanxi, utara China.

Seperti yang diketahui umum, penanaman teh hanya terbatas kepada kawasan selatan China. Namun, Puan Zhang Shuzhen dari Kaunti Shangnan yang membuat penyelidikan tentang teh selama puluhan tahun telah berjaya memperkenalkan teh ke kawasan utara sehingga kaum tani dari kawasan pergunungan kaunti itu hidup mewah hasil daripada penanaman teh.

Walaupun Puan Zhang sudah berusia hampir 70 tahun, tetapi beliau masih bertenaga dan sihat. Ketika pemberita kami menemuinya, beliau sedang sibuk menggunting pokok tehnya.

Pada tahun 1961, Zhang Shuzhen telah menamatkan pengajian dalam bidang perhutanan lalu menjadi seorang pegawai kerajaan tempatan. Pada ketika itu, tahap hidup penduduk Kaunti Shangnan agak rendah. Menurut Zhang Shuzhen, beliau selalu mencuba mempraktikkan apa yang dipelajarinya di institusi pengajian tinggi. Namun, percubaan penanaman beberapa jenis pokok kurang berhasil.

"Membantu penduduk tempatan hidup dalam kemewahan merupakan tanggungjawab saya. Saya pernah membuat beberapa percubaan, tapi itu tidak berhasil. Saya mahu memperkenalkan tanaman yang lain di kawasan ini."

Walaupun banyak percubaannya gagal, itu tidak membuatkan beliau putus asa. Puan Zhang mula membuat penyelidikan tentang tumbuh-tumbuhan di kawasan Shangnan untuk mencari sejenis tanaman bernilai ekonomi bagi membantu penduduk tempatan keluar daripada kepompong kemiskinan. Beliau melalui banyak kesukaran dan sudah menjelajah seluruh ceruk Kaunti Shangnan. Beliau mendapati, walaupun kaunti itu daerah pedalaman yang kurang maju, namun penduduknya amat suka minum teh.

Pada tahun 1962, Puan Zhang menemui 9 pokok teh ketika membuat banci perhutanan di sebuah desa yang jaraknya lebih 50 kilometer dari Kaunti Shangnan. Pertemuan itu amat bererti baginya. Beliau membuat kesimpulan bahawa kaunti itu amat sesuai untuk menanam pokok teh dan berpotensi membangunkan industri teh. Jadi, penduduk tempatan boleh minum teh buatan sendiri, malahan meningkatkan pendapatan daripada industri itu. Sejak itulah, kerjaya Zhang Shuzhen dalam bidang industri teh telah bermula.

Bagaimanapun, kerjayanya berjalan kurang lancar pada mulanya, kerana beliau mengalami banyak kesulitan. Menurut beliau, pada peringkat awal, beberapa kali percubaan penanaman pokok teh tidak berhasil. Beliau mendapati, pokok teh perlu dijaga dengan baik disebabkan pokok teh agak sensitif terhadap iklim, tanah dan unsur-unsur sekitar yang lain. Sehingga tahun 1970, buat pertama kalinya, Zhang Shuzhen dapat menuai teh di tamannya.

"Pada tahun itu, saya telah mengumpulkan sebanyak 1.9 kilogram daun teh di taman saya. Oleh sebab industri teh harus dikembangkan di gunung-ganang, jadi tanaman saya telah diperluas sampai 0.13 hektar. "

Masalah teknik penananam pokok teh telah berjaya diselesaikan. Tetapi, timbul lagi satu masalah, iaitu modal. Pada tahun 1970-an, mustahil bagi rakyat China membangunkan industri teh dengan kemampuan sendiri. Maka, Puan Zhang telah memohon bantuan kepada kerajaan Kaunti Shangnan. Pada tahun 1972, beliau telah mengunjungi taman teh di Provinsi Hunan, tengah China dan diberitahu bahawa penduduk di sana telah hidup dalam kemewahan kerana penanaman teh. Jadi, Zhang Shuzhen telah mengemukakan cadangan kepada kerajaannya supaya membangunkan industri teh.

"Pemimpin kerajaan Shangnan amat menyokong cadangan saya. Setelah mengadakan tinjauan, rancangan pembangunan taman teh telah dilaksanakan."

Namun, ketika itu, kebanyakan taman teh di Kaunti Shangnan diurus secara persendirian. Maka, teknologi penanaman teh yang diperkenalkan kepadas penanam sukar diterima oleh mereka. Mereka juga tidak boleh mendapat maklumat pasaran yang tepat. Memandangkan keadaan itu, dengan sokongan kerajaan, Zhang Shuzhen telah menubuhkan Syarikat Teh Kaunti Shangnan dengan menggabungkan 37 buah taman teh. Beliau menyandang jawatan naib pengurus besar syarikat itu. Jaringan industri "pasaran, syarikat, pangkalan dengan penanam" telah dibentuk dalam pembangunan sektor teh Shangnan.

Sehingga tahun 2006, keluasan taman teh di seluruh kaunti itu telah mencapai lebih 4,600 hektar dan jumlah pengeluaran tahunannya melebihi 500 ratus kilogram. Boleh dikatakan bahawa teh menjadi industri tunggak dalam ekonomi Shangnan.

Memandangkan Puan Zhang telah membuat sumbangan besar dalam pembangunan industri teh Shangnan, beliau telah dianugerahi "Pingat 1 Mei", penghormatan tertinggi kerajaan China kepada pekerja.

Semasa memperkatakan tentang masa depan sektor teh Kaunti Shangnan, Zhang Shuzhen memberitahu,

"Kami akan berusaha untuk meningkatkan kualiti daun teh di samping meningkatkan pendapatan penduduk tempatan dan memenuhi permintaan para pengguna."

Menurutnya, beliau sedang mempertimbang untuk memperkenalkan semakin banyak jenis teh ke kaunti itu, misalnya teh Oolong, teh Puer Yunnan dan sebagainya. Beliau berharap agar Shangnan dapat dijadikan sebagai pangkalan penghasilan teh yang utama di utara China. ----Selina

 

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |