v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Dedbilig, Warga Mongolia dan Urus Niaganya di Utara China
2008-03-05 14:52:01 CRI

Dedbilig, 36 tahun, yang berasal dari Mongolia dikenali ramai di bandar Erlianhaote, Wilayah Autonomi Mongolia Dalam di utara China. Sebagai seorang ahli perniagaan, dia telah mencurahkan sepenuh tenaganya dalam usaha mengeratkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Mongolia dengan China, di samping membantu kerajaan Erlianhaote dalam memajukan pembangunan perdagangan sempadan. Dalam ruangan hari ini, marilah kita berkongsi kisah ahli perniagaan wanita yang gigih ini.

Ketika berusia 17 tahun, Dedbilig mengikuti pengajian kejuruteraan elektrik di Universiti Sains dan Teknologi Shanghai China. Bagaimanapun, dua tahun kemudian, dia mengalami masalah kewangan dan tidak mampu membiayai pelajarannya. Untuk mendapatkan sumber kewangan bagi meneruskan pengajian di China, Dedbilig bekerja secara sambilan.

"Saya membuat papan suis di sebuah bengkel di Shanghai dan mendapat gaji sebanyak 50 yuan RMB sehari."

Dengan bekerja secara sambilan, Dedbilig berjaya menamatkan pengajian daripada Universiti Sains dan Teknologi Shanghai pada tahun 1992. Ketika itu, sosioekonomi China berada pada fasa perkembangan yang baru. Jadi, Dedbilig mengambil kesempatan itu untuk terus tinggal menetap di China. Pada peringkat awal, dia mencari rezeki sebagai pembuat papan suis di sebuah kilang di bandar Wenzhou, Provinsi Zhejiang, timur China dengan gaji sebanyak 1,000 yuan RMB sehari. Walaupun beliau mendapat bayaran tetap yang memuaskan, tetapi dia masih merasa belum terlepas daripada kesempitan hidup.

"Ketika itu, saya mendiami sebuah tempat yang agak kecil dan kehidupan saya masih kurang baik. Saya perlu membuat papan suis di rumah pada setiap hari dan keadaan ini berterusan selama dua tahun."

Akibat kerja kerasnya dalam tempoh tersebut, kehidupan Dedbilig semakin hari semakin makmur di China. Walaupun hati Dedbilig terpikat dengan kebudayaan tradisional China yang cemerlang, adat istiadat yang istimewa, pemandangan yang indah dan peluang pembangunan yang berpotensi, akan tetapi, kampung halaman masih lekat dihatinya. Setelah mengambil kira kesemua perkara tersebut, beliau mengambil keputusan untuk mengembangkan perniagaannya ke bandar Erlianhaote, di utara China. Bandar itu sangat berpotensi dan berdekatan pula dengan kampung halamannya.

Bandar Erlianhaote yang terletak di bahagian tengah Wilayah Autonomi Mongolia Dalam merupakan pusat pengedaran komoditi antarabangsa yang agak penting di utara China. Dedbilig berpendapat, bandar yang menyambungkan China dan Mongolia itu amat sesuai untuknya meneruskan perniagaan.

"Kalau kerajaan Mongolia tidak menawarkan pengajian khusus kepada saya di China, mungkin sekarang saya masih lagi seorang penternak yang miskin. Saya memilih Erlianhaote untuk mengembangkan kerjaya saya kerana bandar itu agak dekat dengan tanah air saya."

Pada mulanya, Dedbilig menjadi penterjemah bagi peniaga China dan Mongolia. Kemudiannya, dia melibatkan diri dalam perdagangan sempadan. Dedbilig membuka syarikat sendiri dan mengusahakan import dan eksport bahan gali-galian. Kerjayanya kian hari kian berkembang pesat. Sementara itu dia menemui cinta sejatinya di bandar Erlianhaote. Perkahwinan dengan pemuda tempatan mengesahkan lagi beliau menjadikan China sebagai kampung halamannya.

Dengan bantuan Dedbilig, banyak perusahaan China berurus niaga di Mongolia, termasuk dalam projek pembinaan lebuh raya, hartanah dan pengeluaran bahan pembinaan. Ketika pesat berkembang kerjasama antara China dengan Mongolia, Dedbilig mendapati, terdapat masalah yang menggugat pembangunan bandar Erlianhaote.

"Pada masa dulu, ramai pedagang Mongolia suka membeli pelbagai produk di Erlianhaote. Namun, bermula tahun lalu, 80% pedagang tersebut memilih kawasan-kawasan yang agak maju di China."

Dedbilig selalu bertanya kepada para pedagang Mongolia itu mengenai iklim ekonomi dan keadaan pasaran Erlianhaote. Pada bulan April tahun 2007, dia telah memaklumkan keadaan pasaran bandar itu yang kurang menarik di kalangan pedagang Mongolia dan cadangan penyelesaian masalah itu dalam sepucuk surat kepada kerajaan bandar Erlianhaote.

Jarang berlaku, warga asing memaklumkan masalah-masalah yang wujud dalam pasaran ekonomi China kepada pegawai kerajaan China. Dedbilig sendiri berasa bimbang terhadap perbuatannya itu. Di luar jangkaan, kerajaan Erlianhaote mengambil berat terhadap cadangannya.

"Dedbilig tinggal menetap di Erlianhaote agak lama dan memahami keadaan bandar itu dengan lebih baik. Kami boleh mengenalpasti keadaan yang sebenar melalui surat tersebut. Masalah-masalah yang disebut oleh Dedbilig mewakili pendapat para pedagang Mongolia di Erlianhaote.

Pihak berkuasa Erlianhaote telah mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah yang disebutkan. Dedbilig telah mendapat kepercayaan dan sokongan pedagang asing. Pihak berkuasa bandar itu juga mempelawa Dedbilig menyandang jawatan sebagai pegawai pemantau kualiti produk Erlianhaote.

"Dedbilig seorang yang serius dan bertanggungjawab. Dia selalu membuat sumbangan bagi mendorong perdagangan Mongolia-China dan mempererat hubungan persahabatan kedua-dua negara."

Beliau juga berasa gembira kerana kerajaan Erlianhaote prihatin terhadap cadangannya.

"Setelah menerima surat saya, pihak berkuasa tempatan segera membincangkan masalah-masalah yang saya sebut dan memberi jawapannya kepada saya. Saya amat gembira kerana mereka menaruh perhatian terhadap perkara tersebut."

Kini, urus niaga Dedbilig telah diperluas ke Rusia. Ini menjadikan beliau selalu sibuk sepanjang setahun. Anaknya yang berusia 11 tahun amat memahami keadaan itu dan menyokong kerjanya.

"Walaupun ibu saya sangat sibuk dan kurang menjaga saya, tetapi, saya boleh memahaminya. Saya rasa, kerjanya amat bererti bagi meningkatkan persahabatan Mongolia-China. Apabila saya dewasa, saya akan meneruskan kerjaya ibu saya."

Dengan sokongan keluarganya, Dedbilig berusaha dengan lebih gigih dalam kerjayanya. Dia berpuas hati terhadap semua usahanya di China.----Selina

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |