v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Joseph Barbarise Aktif Membuat Kerja-Kerja Amal di China
2008-03-19 11:32:45 CRI

Joseph Barbarise, 55, seorang jurugambar profesional, melepaskan kerjayanya di A.S. dan datang ke Universiti Pertanian Henan di Provinsi Henan di bahagian tengah China sebagai pensyarah bahasa Inggeris. Jadi, dalam program hari ini, saya akan membawa saudara saudari mengenalinya lebih lanjut.

Joseph dari Florida A.S. gembira dengan kerjayanya sebagai seorang jurugambar profesional. Beliau menggemari pelancongan, dan untuk itu, beliau banyak mengembara dan melancong. Antara banyak negara dan kawasan yang dikunjunginya, beliau amat menyukai negara-negara Asia. Suatu hari, secara kebetulan Joseph melayari blog seorang China dalam internet. Ini menimbulkan keinginannya untuk melawat China.

"Melalui komunikasi dengan penulis blog itu selama setahun, saya rasa warga China bersikap ramah dan ikhlas. Pembangunan China yang pesat menarik perhatian saya. Jadi, saya memutuskan untuk datang ke China. Saya menjual rumah, kereta dan melepaskan kerja di A.S. kerana saya mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di China dan mengambil gambar."

Pada musim panas tahun 2006, Joseph tiba di China. Di luar jangkaannya, kedatangannya ini membuatkan beliau tertarik dan memutuskan untuk tinggal menetap di China. Beliau mendapat kerja sebagai pensyarah bahasa Inggeris di institusi pengajian tinggi. Pertumbuhan ekonomi China yang pesat menyediakan banyak peluang untuk berkembang maju kepada ramai warga asing, ditambah pula dengan sikap orang China yang peramah menjadikan mereka berasa seperti berada di tempat sendiri. Jadi, kecintaan Joseph terhadap China semakin meningkat. Menjelang Hari Krismas tahun 2006, beliau mahu membuat satu perkara yang bermakna untuk mengucapkan terima kasih atas bantuan kawan-kawannya dari China.

"Setelah tiba di China, semua kawan sekerja saya dari China melayan saya dengan amat baik dan memberi banyak bantuan dan perhatian kepada saya. Maka, sempena sambutan Krismas saya ingin membantu sebuah keluarga China sebagai balasan. Dengan itu, mereka juga boleh memahami hari raya yang agak penting yang disambut di Barat. Bantuan saya mustahil merangkumi semua orang, tetapi saya akan berusaha dengan sedaya upaya."

Dengan bantuan kawan sekerjanya, Joseph diperkenalkan kepada sebuah keluarga yang bernama Feng di kawasan pergunungan di bandar Xinmi, Henan. Menurutnya, beliau menghayati Hari Krismas yang tidak dapat dilupakan pada tahun 2006, kerana hatinya terpikat dengan kehidupan keluarga di kawasan pedalaman itu. Keluarga Feng terdiri dariapda seorang datuk menjaga dua orang anak yatim piatu, yang bernama Xiaoyan dan Xiaolei. Datuk yang berusia agak lanjut itu memikul beban keluarga yang berat. Sejak kematian siayah akibat penyakit dan emak meninggalkan kampung halaman dua tahun yang lalu, senyuman tidak lagi terukir di wajah adik Xiaolei. Joseph mengenang kembali suasana tersebut: "Sekali pandang anak lelaki itu kelihatan sedih dan kurang bercakap. Saya diberitahu oleh kakaknya, dia dahulunya seorang cergas dan bersemangat. Tragedi yang menimpa keluarga telah mendatangkan kesan negatif kepadanya. Jadi, saya mahu menolongnya."

Sempena Hari Krismas, Joseph menghadiahkan sejumlah besar pakaian baru, barangan kegunaan harian, makanan dan wang tunai kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut. Sejak itulah, setiap bulan Joseph menziarahi keluarga itu dengan membawa pelbagai buku dan mainan. Perhatian dan bantuannya membuatkan kedua-dua budak itu menjadi ceria, lebih terbuka dan yakin terhadap diri sendiri. Xiaolei juga berjanji kepada Joseph bahawa dia akan belajar bersungguh-sungguh bagi membalas kasih sayangnya yang dicurahkan terhadap keluarganya.

Joseph telah menjalinkan hubungan erat dengan keluarga itu dan menjadikan penjagaan kedua-dua budak tersebut sebagai suatu tanggungjawab.

Selepas diberitahu keperluan yang paling mendesak bagi sekolah kedua-dua anak tersebut ialah peralatan pengajaran dan buku-buku bacaan, Joseph telah mengadakan jualan amal di kampus Universiti Pertanian Henan dan mengumpulkan sejumlah besar wang. Ketika kesemua barangan tersebut tiba di sekolah, ketua sekolah itu, Liu Guanjun merasa amat terharu.

"Saya mengucapkan terima kasih atas bantuan Joseph kepada sekolah kami. Sebagai seorang asing, hasil usahanya memang memilukan hati saya."

Dalam tempoh setahun berikutnya, derma yang disumbangkan oleh Joseph kepada keluarga Feng mencecah 10,000 yuan RMB, di samping beliau juga menderma pelbagai buku bacaan dan peralatan pengajaran kepada sekolah.

Sumbangan Joseph itu bukan sahaja dipandang tinggi oleh para pelajar, bahkan juga mengharu rasa rakan sekerjanya, Lu Xinying. Kawan sekerja Joseph itu berkata, dia telah banyak belajar daripada apa yang dilakukan oleh Joseph.

"Joseph sudah menetap di China hampir dua tahun. Selain bekerja bersungguh-sungguh, dia juga aktif membuat kerja-kerja amal, seperti memberi bantuan kepada pelajar miskin dan menderma darah. Sumbangan baktinya memang menggalakkan kami untuk turut membuat sumbangan sediki sebanyak kepada masyarakat."

Joseph diberi Anugerah Persahabatan Huanghe oleh kerajaan Provinsi Henan pada tahun 2007. Ini merupakan anugerah kehormat tertinggi untuk sahabat antarabangsa, pakar asing dan orang Cina di seberang laut yang memberikan sumbangan bagi pembangunan sosioekonomi Henan.

Kini, melancong tetap menjadi sebahagian penting dalam kehidupan Joseph. Dalam tempoh hampir dua tahun, beliau telah menjelajah ke seluruh China. Menurutnya, pemandangan yang indah permai meninggalkan banyak kenangan manis kepadanya.

"Saya telah melawat ke Tembok Besar China dan kagum terhadap kebudayaan dan sejarah China yang cemerlang. Selain itu, saya teruja dengan pemandangan yang mengasyikkan di Jiuzhaigou dan Guilin."

Menurut Joseph, antara semua negara yang dikunjunginya, beliau amat menyukai China.

"Di sini, saya semacam berada di rumah sendiri. Saya menyayangi negara dan rakyat China. Dalam perjalanan melancong ke sini, mereka memperlakukan saya dengan baik dan memberi banyak bantuan kepada saya. Saya tidak berasa kesepian."----Selina

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |