v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Encik Gopalkrishna dari India yang Hayati Kehidupan Bahagia di Nanchang
2008-04-09 14:43:31 CRI

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, bandar Nanchang, Provinsi Jiangxi di daerah pedalaman China giat memperbaiki keadaan iklim pelaburan dan daya saing untuk menarik lebih banyak pelaburan asing. Selepas bandar itu disenaraikan dalam "10 Bandar yang Paling Menarik di Dunia" oleh Newsweek A.S. tahun 2006, semakin ramai warga asing tertarik ke Nanchang untuk belajar, berurus niaga atau bekerja. Jadi, dalam program hari ini, saya akan memperkenalkan keluarga Encik Gopalkrishna H. Kulkarni dari India yang menghayati kehidupan bahagia di bandar itu kepada saudara saudari.

Baru-baru ini, pemberita kami mengunjungi sebuah kawasan perumahan berskala besar di bandar Nanchang. Antara banyak bangunan kediaman, ada sebuah bangunan agak istimewa, kerana di dalamnya tinggal 8 orang India dari Syarikat Traktor Mahindra China Berhad. Bangunan itu dipanggil "Bangunan Persahabatan China-India." Di sanalah Encik Gopalkrishna sekeluarga tinggal.

Encik Gopalkrishna, 38, dari Bombay India, datang ke Nanchang pada tahun 2005. Menurut beliau, walaupun bandar itu kurang moden berbanding Beijing dan Shanghai, tetapi Nanchang mempunyai ciri-ciri tersendiri yang unik.

"Walaupun Nanchang bukan bandar raya, tetapi ia amat sesuai untuk membina kehidupan, kerana di sini saya boleh mengambil lebih banyak masa untuk bersama keluarga saya. Ketika menghadapi kesulitan, penduduk-penduduk di kawasan perumahan ini selalu membantu kami."

Pada awalnya, Encik Gopalkrishna datang ke China bersendirian. Beliau memberitahu pemberita bahawa pengalaman semasa berada dalam kapal terbang membuatkannya mempunyai tanggapan yang baik terhadap China.

"Saya rasa orang China amat peramah dan suka tolong-menolong. Saya dilayan dengan ramah di Lapangan Terbang Nanchang ketika memohon bantuan. Walaupun mereka kurang fasih berbahasa Inggeris, tetapi mereka melayan saya dengan baik. Sejak itulah, saya suka berkawan dengan orang China."

Setahun berikutnya, isteri Encik Gopalkrishna datang bersama anak-anak ke Nanchang. Keluarga itu merasai hidup baru di China.

Isteri Encik Gopalkrishna, Puan Neha Kulkarni bekerja di sebuah perusahaan milik Britain di Nanchang sekarang. Setiap minggu, Neha mempelajari bahasa Mandarin bersama suaminya di Universiti Nanchang. Pada masa lapang, membeli-belah merupakan kegemaran rutin mereka. Beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat banyak perusahaan jualan runcit luar negara diperkenalkan di Nanchang, seperti Wal-mart, KFC dan Mcdonalds. Menurut Neha, hidup di bandar tersebut menjadi semakin senang.

"Nanchang agak sesuai untuk tinggal menetap. Alam sekitar di sini sangat baik. Saya boleh bercakap sedikit sebanyak bahasa Mandarin, jadi tiada halangan komunikasi."

Katanya, selain membeli-belah di pasar raya, Neha juga berminat ke pusat jualan borong kerana boleh tawar-menawar dengan gerai penjaja menggunakan bahasa Mandarin.

Penduduk Jiangxi menyukai makanan yang pedas. Kebanyakan pengunjung dari dalam dan luar negara tidak boleh menerima rasa pedas itu. Namun, Encik Gopalkrishna sekeluarga sangat gemar dengan makanan Jiangxi.

"Makanan Nanchang pedas-pedas. Tetapi bagi orang India, ini bukanlah masalah. Sekarang, saya sudah menyesuaikan diri dengan makanan dan cara memasak China. Adakalanya kami juga merasai pelbagai makanan tempatan di restoran."

Encik Gopalkrishna bukan sahaja berperanan sebagai ayah dan suami yang baik, bahkan juga seorang pemimpin yang cekap dalam syarikatnya. Encik Xue Yunkun, bekas kawan sekerja Gopalkrishna memaklumkan pemberita bahawa pengalaman bekerja dengan Gopalkrishna merupakan kenangan yang tidak dapat dilupakan.

"Pada masa itu, Encik Gopalkrishna merupakan pemimpin saya. Selain banyak membantu saya dalam pekerjaan, malah dari segi kehidupan, beliau juga seorang sahabat yang rapat dengan saya."

Semasa menyebut Syarikat Traktor Mahindra China Berhad, perasaan kebanggaan terukir pada wajah Gopalkrishna.

"India dan China memiliki banyak persamaan, seperti penduduk dalam jumlah yang besar, sejarah yang panjang dan tamadun yang cemerlang. China sebagai sebuah negara besar, tidak disangsikan, syarikat kami pasti mempunyai masa depan yang cerah di China."

Anak lelaki Gopalkrishna yang berusia 11 tahun mempunyai nama yang sama dengan bintang filem kungfu China, Bruce Lee, yang juga dikenali dengan Lee Siu Lung. Sebelum datang ke China, Siu Lung sudah mempelajari seni pertahanan diri, wushu selama 5 tahun di India. Nama itu diberikan oleh gurunya, kerana guru itu berharap Siu Lung dapat mencapai hasil yang besar dalam bidang wushu.

Kini, Siu Lung belajar di sebuah sekolah dwibahasa di Nanchang. Dia suka bermain bola keranjang dan bola sepak dengan kawan sekelasnya. Dalam tempoh setahun di China, dia bukan sahaja boleh bercakap bahasa Mandarin, tetapi juga menjalinkan hubungan persahabatan yang erat dengan sahabat sedarjahnya.

"Semua kawan sekelas saya memperlakukan saya dengan baik. Mereka selalu mengajar bahasa Mandarin menerusi pelbagai cara, seperti gerak isyarat dan gambar-gambar. Dengan bantuan mereka, saya banyak menguasai perkataan untuk percakapan harian."

Encik Gopalkrishna sekeluarga sedang menikmati kehidupan yang bahagia dalam Bangunan Persahabatan China-India itu. Walaupun kontraknya dengan Syarikat Mahindra akan tamat tidak lama lagi, akan tetapi, pengalaman di China selama 3 tahun itu pasti akan berbekas dalam ingatannya untuk selama-lamanya.----Selina

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |