Hari ini, saya akan membawa saudara saudari mengenali beberapa pelajar dari Afrika yang mempelajari teknik akrobatik di Sekolah Kesenian Akrobatik Wuqiao Provinsi Hebei. Antaranya, yang paling muda hanya berusia 11 tahun dan yang paling besar berumur 23 tahun. Mengapa mereka ingin mempelajari selok-belok akrobatik di China? Bagaimana kehidupan mereka di China? Jadi, dalam ruangan ini, marilah kita berkongsi pengalaman dengan mereka.
Wuqiao, Provinsi Hebei di bahagian utara China dianggap sebagai "kampung halaman akrobatik" China. Di sanalah terletaknya Sekolah Kesenian Akrobatik Wuqiao. Pada tahun 2002, sekolah itu diberikan tugas khas untuk memupuk kumpulan akrobat Afrika oleh Kementerian Kebudayaan China. Sehingga ini, sekolah itu telah mendidik ramai akrobat yang profesional untuk negara-negara Afrika. Naib ketua sekolah itu, Encik Qi Zhiyi menceritakannya,
"Kami diminta untuk mendidik akrobat luar negara, kerana Wuqiao ialah 'kampung halaman akrobatik' yang masyhur di dunia. Kanak-kanak dari Afrika memaklumkan kepada saya bahawa mereka bersedia mempelajari teknik akrobatik yang asli di sini."
Menurut Encik Qi, pelajar-pelajar asing tersebut perlu mengikuti latihan yang ketat. Hanya hari Ahad, mereka berpeluang berehat.
Di pusat latihan, pemberita kami mendapati, ada yang berlatih bermain topi jerami, ada yang menaiki monocycle, dan sebahagian yang lain membuat balik kuang. Kira-kira 30 orang pelajar asing sedang berlatih dengan bersungguh-sungguh. Seorang budak perempuan antara mereka menarik perhatian kami. Budak yang tingginya hanya 1.4 meter itu sedang berlatih membuat balik kuang. Encik Liang Wenjiang, jurulatih budak tersebut memberitahu kami, budak itu bernama Aileen, 11 tahun, dari Kenya, merupakan pelajar asing yang paling muda. Kami terpegun dengan kelincahannya. Kami ingin tahu mengapa dia sanggup meninggalkan kampung halamannya untuk mempelajari seni akrobatik di China. Aileen memberikan jawapan yang ringkas kepada kami: "Saya amat suka akrobatik, jadi, saya datang ke China."
Disebabkan Aileen masih terlalu muda, maka dia tidak dapat menyampaikan pandangannya dengan lancar. Walau bagaimanapun, komunikasi antara Aileen dengan jurulatihnya tidak terganggu oleh halangan bahasa. Beberapa jurulatih menyatakan bahawa Aileen merupakan seorang pelajar yang terbaik di sekolah itu. Kata Encik Liang Wenjiang: "Walaupun Aileen terlalu muda, tetapi dia tahu bagaimana menjaga diri dengan baik. Dia juga amat cerdik dan gigih mengikuti latihan. Aileen ingin sekali mempelajari pelbagai gerakan badan yang baru. Kami amat menyayanginya kerana patuh kepada segala tunjuk ajar."
Budak lelaki, Ronand, 14 tahun, juga berasal dari Kenya. Ketika ditanya tentang pembelajaran akrobatik di China, dia memberikan jawapan yang lebih matang: "Orang China pandai mempersembahkan akrobatik. Saya datang ke China kerana mahu mengubah cara hidup saya dan mencipta masa depan sendiri."
Menurut Ronand, dia diberi kesempatan untuk mempelajari selok-belok akrobatik di China, maka dia mahu menggunakan sepenuhnya peluang ini. Latihan Ronand merangkumi beberapa acara seperti membuat balik kuang dan menaiki monocycle. Dia memberitahu kami bahawa dia berkeyakinan penuh terhadap kesemua latihan tersebut. Budak lelaki yang kelihatan sedikit malu-malu itu juga menyatakan, bila berjauhkan begini adakalanya dia terkenangkan keluarga.
"Saya merindui keluarga saya. Setiap bulan saya menghubungi ibu bapa melalui telefon atau Internet."
Ronand menambah kata ada ketika berlakunya peristiwa antara jurulatih dengannya yang tidak dapat dilupakan, iaitu semua guru dan jurulatih di sekolah akrobatik itu memperlakukannya seperti anak sendiri. Encik Machao, jurulatih Ronand menceritakan kisah tersebut kepada kami: "Ronand peramah dengan kawan sekelasnya. Ketika merindui keluarganya, dia selalu meminta saya mendakapnya. Ada satu perkara yang masih berbekas dalam ingatan saya. Ronand tidak dapat menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di China, jadi saya memberikan beberapa helai baju panas kepadanya. Dia amat terharu dan memanggil saya 'bapa'. Ketika itu saya masih 23 tahun, dan terasa malu dengan panggilan itu. Perkara ini paling mengharukan saya."
Naib ketua sekolah akrobatik itu, Encik Qi Zhiyi juga menceritakan satu kisah menarik kepada kami, iaitu mengenai Hibreate, seorang pelajar dari Ethiopia. Hibreate, 23 tahun, merupakan pelajar yang paling besar daripada semua pelajar Afrika di sekolah tersebut. Berlainan daripada pelajar asing yang dihantar oleh kerajaan, dia membiayai kos persekolahannya sendiri. Semasa ditanya tentang pembelajaran akrobatik di China, dia menjawab: "Di Ethiopia, saya memahami sedikit sebanyak kebudayaan China menerusi program TV dan majalah. Adik perempuan saya amat menyukai China. Terdapat 4 orang kanak-kanak dalam keluarga saya yang terlibat dalam bidang akrobatik. China terkenal dengan seni akrobatiknya. Oleh itu, adik perempuan saya memutuskan untuk mempelajari seni akrobatik di Sekolah Akrobatik Wuqiao. Dia merasa teknik akrobatik di sekolah ini bertaraf tinggi. Jadi, saya pun tertarik untuk ke sekolah ini."
Hibreate mempelajari akrobatik ketika berusia 11 tahun. Dia muncul dalam persembahan pentas dua tahun kemudian. Sehingga kini, dia mempunyai pengalaman mempersembahkan seni itu selama 10 tahun.
Sebelum berakhirnya wawancara ini, Hibreate meluahkan harapannya agar dia dapat terus mencapai kemajuan dalam bidang akrobatik pada tahun ini.
Di sini, kami juga berharap semua pelajar Afrika yang mempelajari akrobatik di Wuqiao dapat menghayati kehidupan yang bererti dan bahagia di China dan berjaya tamat sebagai ahli akrobatik profesional. ----Selina
|