v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Bandar Shenzhen yang Penduduknya Aktif Terlibat dalam Usaha Melindungi Alam Sekitar
2008-04-30 12:43:20 CRI

Salah satunya, program pencalonan dan pemilihan Hadiah Mesra Alam dilancarkan di bandar Shenzhen, selatan China baru-baru ini. Mengikut peraturan pemilihan, sesiapa sahaja yang tinggal, bekerja atau belajar di Shenzhen yang membuat sedikit sebanyak sumbangan bagi perlindungan alam sekitar layak untuk menyertai program tahunan tersebut. Penduduk bandar itu boleh menggunakan beberapa cara untuk membuat pencalonan. Umpamanya, seperti menghantar pesanan ringkas (SMS) atau melayari internet untuk mencadangkan "tokoh-tokoh mesra alam".

Tujuan pelancaran aktiviti itu adalah untuk meningkatkan kesedaran orang awam tentang betapa pentingnya menjaga alam sekitar dan menggalakkan seluruh masyarakat aktif terlibat dalam memelihara persekitaran secara sedikit demi sedikit.

Program pecalonan dan pemilihan tersebut dibuka sehingga penghujung bulan Julai ini. Melalui pengundian di kalangan penduduk dan penilaian suruhanjaya penganjur, pemenang "Hadiah Mesra Alam" Tahun 2008 akan diumumkan pada itu nanti.

Program itu telah diadakan sebanyak tiga kali di Shenzhen sejak tahun 2005, dan berjaya menarik penyertaan ramai penduduk tempatan. Bagi pihak penganjur, Naib Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Persekitaran Bandar Shenzhen, Encik Lin Hanzhang menyanjung tinggi sokongan para penduduk dalam usaha menjaga alam sekitar. Kata beliau: "Penduduk bandar ini amat prihatin terhadap persekitaran. Keghairahan mereka untuk menjaga alam sekitar sangat menggalakkan, sama ada menceburi pelbagai aktiviti perlindungan persekitaran, atau pun mengemukakan cadangan yang berkaitan."

Sejak aktiviti itu diadakan di Shenzhen, ia telah mendapat sambutan baik daripada kalangan masyarakat.

Xu Haiting, 14, seorang pelajar dari Sekolah Antarabangsa Shekou Shenzhen, terlibat dalam usaha melindungi alam sekitar selama 12 tahun. Dia memenangi "Hadiah Mesra Alam" pada tahun 2006. Pada Majlis Perlindungan Persekitaran Kanak-Kanak PBB yang diadakan di Malaysia pada bulan Ogos tahun itu, Haiting merupakan satu-satunya kanak-kanak yang dianugerahi coklat oleh Raja Permaisuri Agong Malaysia dan dipilih sebagai pengerusi suruhanjaya penganjur majlis tersebut. Dia berkata, peristiwa itu masih berbekas dalam ingatannya.

"Saya lebih banyak belajar daripada peristiwa itu. Melalui komunikasi dengan kanak-kanak dari pelbagai negara, kesedaran saya tentang perlindungan alam sekitar telah meningkat."

Haiting menjadikan aktiviti menjaga alam sekitar sebagai kegemarannya. Dia mencurahkan sepenuh hati dan tenaga dalam usaha itu. Pada bulan Ogos tahun 2006, dia menganggotai Pasukan Rela Perlindungan Persekitaran Shenzhen, dan menjadi sukarelawati yang paling muda di bandar itu. Selain itu, Haiting menjadi tunggak utama sekolahnya menubuhkan kumpulan mesra alam dan melancarkan laman sesawang berkenaan untuk menyeru semua pelajar di sekolah itu supaya terlibat dalam usaha memelihara alam sekitar. Dia juga cergas menyertai pelbagai aktiviti mesra alam di luar sekolah, seperti aktiviti penubuhan badan pemantau alam sekitar di kawasan perumahan, dan program menolak penggunaan beg plastik dan pelepasan pencemaran ke udara. Malah, Haiting dipelawa untuk mengambil bahagian dalam "Forum Persekitaran Kediaman Manusia Seluruh Dunia Ke-3" pada bulan Ogos tahun lalu. Dia menyampaikan ucapan berhubung menghadapi pemanasan global dalam forum itu dan mendapat pujian daripada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon.

Terdapat ramai penduduk di Shenzhen seperti Xu Haiting yang begitu gigih melibatkan diri dalam usaha melindungi alam sekitar. Kesedaran penduduk tempatan terhadap persekitaran yang kian meningkat memang menggalakkan. Ini berbeza dengan beberapa tahun yang lalu, tahap kesedaran itu jauh ketinggalan berbanding sekarang. Shenzhen, sebagai salah sebuah zon ekonomi khas yang paling awal melaksanakan dasar pembaharuan dan pintu terbuka di China, mencapai hasil yang besar dalam membangunkan ekonomi. Walaupun pertumbuhan ekonominya yang begitu pesat menarik perhatian seluruh dunia, tetapi, bandar itu menghadapi situasi persekitaran yang serius dengan sumber tenaga yang semakin berkurangan serta kualiti air dan udara yang semakin menurun. Pihak berkuasa bandar itu menyedari bahawa pembangunan sosioekonomi harus diselaraskan dengan persekitaran. Naib Datuk Bandar Shenzhen, Encik Lv Ruifeng memberitahu wartawan kami bahawa pihaknya akan menitikberatkan tugas-tugas membangunkan bandar mesra alam dan mengurangkan pelepasan pencemaran ke udara dalam jangka panjang.

Selain menggubal peraturan berkenaan, pihak berkuasa bandar Shenzhen juga merayu kepada semua penduduk supaya terlibat dalam usaha menjaga alam sekitar. Shenzhen mempunyai sebuah pusat pameran mesra alam yang luasnya 300 meter persegi menggunakan bahan pembinaan mesra alam. Pusat itu membolehkan para penduduk menyaksikan bahan pameran, seperti pengetahuan sains tentang perlindungan persekitaran dan hasil-hasil terkini dalam bidang pemeliharaan alam sekitar.

Ketua Pusat Perkenalan Pengetahuan Perlindungan Persekitaran Bandar Shenzhen, Encik Sun Jingfeng menyatakan bahawa pusat pameran itu memudahkan ramai penduduk memahami perlindungan alam sekitar dengan lebih mendalam.

"Pusat itu boleh dipanggil 'rumah mesra alam' atau 'bar mesra alam'. Penduduk boleh memahami situasi perlindungan alam sekitar melalui pelbagai cara di sini, seperti menonton filem dan bermain permainan." ----Selina

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |