Yang saudara dengar tadi ialah seorang pelajar dari sebuah sekolah menengah di Mukim Fenjin, pinggir bandar Chuangchun, Provinsi Jilin di timur laut China, sedang tekun membaca buku. Setahun yang lalu, ramai kanak-kanak di mukim itu tercicir ekoran kemiskinan. Sejak tahun 2007, pihak berkuasa Provinsi Jilin mengecualikan yuran sekolah dan bayaran buku teks pada peringkat pendidikan wajib selama 9 tahun di kawasan desa agar kanak-kanak tersebut dapat kembali semula ke sekolah. Dalam program hari ini, marilah kita berkongsi kisah dan pengalaman kanak-kanak tersebut.
Yang membaca buku tadi namanya Zhang Yue, 15 tahun, seorang pelajar dari Sekolah Menengah Ke-27 Mukim Feijing. Beliau dengan lancar memperkatakan tentang kesulitan kehidupan, nampak lebih matang daripada rakan seusianya.
"Ketika saya baru berumur 5 atau 6 tahun, ibu bapa saya bercerai. Saya dibesarkan oleh ibu. Ketika itu, ibu kurang sihat, saya merasakan yang diri ini merupakan beban keluarga."
Kemudian, ibu Zhang Yue berkahwin dengan seorang petani tempatan. Bapa tirinya mencari rezeki di luar untuk menyara keluarga. Tetapi, kehidupan mereka masih tidak berubah. Zhang Yue memahami kesulitan yang ditanggung oleh ibunya, maka dia secara senyap meninggalkan sekolah dan mencari rezeki di luar.
Yang Shaoxing, guru Zhang Yue mengetahui keadaan tersebut dan pernah tiga kali datang ke rumahnya. Beliau menyatakan: "Setelah berkunjung ke rumah Zhang Yue, dan mendapat tahu keinginannya yang kuat untuk meneruskan pelajaran di sekolah, ia amat mengharukan saya. Dalam catatan hariannya, dia berharap dirinya cepat dewasa supaya dapat menyelesaikan kesulitan keluarganya."
Tahun 2007 merupakan masa penting dalam pembaharuan terhadap kos dan cukai pendidikan di kawasan desa China. Sejak tahun itu, yuran sekolah pada peringkat pendidikan wajib selama 9 tahun di seluruh kawasan desa China dibatalkan dan kanak-kanak miskin boleh mendapat buku teks secara percuma. Seramai 150 juta orang pelajar dari sekolah rendah dan menengah mendapat manfaat daripada dasar keutamaan tersebut. Ketika berita itu diketahui oleh Zhang Yue, keluarganya sangat gembira. Ibunya menyatakan: "Saya tidak pernah menjangka keluarga saya boleh menikmati dasar keutamaan itu. Saya sekeluarga mengucapkan ribuan terima kasih atas perhatian dan bantuan kerajaan kepada anak saya. Dengan itu, anak saya boleh kembali semula ke sekolah."
Zhang Yue akhirnya kembali ke sekolah. Kawan sekolahnya, Yang Wan juga mengalami nasib sepertinya. Dia dari keluarga yang miskin. Ibu bapanya cacat anggota, abangnya sedang mengikuti pelajaran di luar, manakala datuk yang berusia agak lanjut juga tinggal bersama. Hidup mereka bergantung kepada bantuan kerajaan tempatan, iaitu subsidi yang diterima sebanyak 700 yuan sebulan. Sejak kecil, Yang Wan menjadi tonggak keluarganya. Dia berkata: "Selepas balik dari sekolah, apa sahaja yang saya dapat bantu, saya pasti melakukannya, seperti mengambil air dan menuai padi."
Ibu Yang Wan, Puan Wang Lihua walaupun orang kurang upaya, tetapi bercita-cita tinggi. Dia mahu mendidik dua orang anaknya itu sehingga masuk universiti. Namun, kesempitan hidup memaksa Puan Wang meminjam wang untuk membiayai pelajaran anak-anaknya. Yang Wan tahu abangnya boleh terus belajar ekoran usaha gigih ibunya. Jadi, dia tidak mahu menambahkan beban keluarganya. Maka, Yang Wan meninggalkan kampung halaman dan mencari rezeki di luar untuk membantu pelajaran abangnya. Perbuatan itu telah mengharukan guru dan kawan-kawan sekolahnya. Mereka menderma wang kepada Yang Wan dan berharap dia dapat kembali ke sekolah.
Setengah tahun berikutnya, dasar keutamaan pembatalan yuran sekolah dan bayaran buku teks pada peringkat pendidikan wajib dilaksanakan di kawasan desa di Provinsi Jilin. Ini merupakan berita baik bagi Yang Wan.
"Ketika diberitahu berita itu, saya amat gembira kerana cita-cita saya untuk bersekolah boleh dicapai dan ibu saya boleh menjalani kehidupan yang bahagia."
Guru Besar Sekoleh Menengah Ke-27 Mukim Fenjin, Encik Zhang Anhui menyatakan, masih terdapat kanak-kanak yang mengalami kesulitan seperti Zhang Yue dan Yang Wan. Dasar keutamaan tersebut menyediakan kesempatan memberi pendidikan yang bermutu kepada kanak-kanak di kawasan desa. Beliau menganggap ini amat bermanfaat bagi meningkatkan tahap pendidikan penduduk desa.
"China merupakan sebuah negara pertanian yang besar. Sebilangan besar penduduknya tinggal di kawasan desa. Pembangunan desa bergantung kepada pendidikan. Jadi, saya rasa kanak-kanak di desa perlu diberi pendidikan yang sempurna dan bermutu."
Pegawai berkenaan dari jabatan pendidikan Provinsi Jilin memberitahu pemberita bahawa bermula tahun ini, selain mengecualikan yuran sekolah, kira-kira 2 juta pelajar dari sekolah rendah dan menengah di desa akan mendapat buku teks secara percuma, sementara subsidi untuk pelajar miskin akan bertambah sekali ganda.---Selina
|