Tenaga suria, sejenis sumber tenaga yang bersih, mempunyai masa depan pembangunan yang cerah. Pemberita kami yang mengunjungi Provinsi Gansu di barat laut China baru-baru ini diberitahu bahawa institut penyelidikan tempatan berjaya meneroka 130 jenis teknologi penggunaan tenaga suria, di samping menawarkan latihan antarabangsa dan usaha pemindahan teknologi berkenaan ke luar negara.
Pada penghujung bulan November tahun 2007, Pusat Pemindahan Teknologi Tenaga Suria Antarabangsa Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Bangsa-bangsa Bersatu (UNIDO) mula dibina di bandar Lanzhou, ibu kota Provinsi Gansu. Mengapa UNIDO memilih Gansu? Ketua pusat tersebut yang juga Pengarah Institut Kajian Tenaga Semula Jadi Gansu, Encik Xi Wenhua menyatakan: "Gansu, sebuah kawasan yang kurang maju, mengalami pencemaran yang teruk. Pembinaan pusat teknologi tenaga suria di kawasan ini boleh memperbaiki alam sekitar Gansu, meningkatkan kesedaran orang awam terhadap pemeliharaan alam sekitar dan dengan demikian boleh mendorong pertumbuhan ekonomi."
Berdasarkan persetujuan yang dicapai oleh kerajaan China dan UNIDO, pusat pemindahan teknologi tenaga suria itu ditubuhkan berasaskan Institut Kajian Tenaga Semula Jadi Gansu. Sehingga kini, institut tersebut meneroka kira-kira 130 jenis teknologi penggunaan tenaga suria, 20 jenis daripadanya meraih hadiah kebangsaan. Menurut Encik Xi, disebabkan institutnya menawarkan latihan antarabangsa sejak sekian lama dan mempunyai reputasi yang baik, maka pusat itu dibina di Gansu.
"Kami telah menawarkan latihan kepada kira-kira 700 orang ahli teknikal dan pegawai dari 96 buah negara, di samping mengadakan kerjasama dua hala atau pelbagai hala dengan agensi luar negara. Kesemua usaha tersebut diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa."
Naib Pengarah Institut Kajian Tenaga Semula Jadi Gansu, Puan Zhang Lanying menyatakan disebabkan pelatih-pelatih adalah dari pelbagai negara, maka satu siri kursus sahaja tidak boleh memenuhi permintaan mereka. Pusat pemindahan teknologi tenaga suria yang akan siap dibina sebelum penghujung tahun ini akan menyediakan pelbagai program pembangunan tenaga suria mengikut keadaan dan permintaan negara asing. Puan Zhang berkata: "Kami bersedia bekerjasama dengan negara luar. Umpamanya, kalau sesetengah negara yang menghadapi kekurangan arang batu memerlukan dapur suria, kami boleh menawarkan latihan berkenaan; kalau sesetengah negara kurang dengan tenaga eletrik, kami boleh mengajar mereka cara menjana kuasa elektrik dengan tenaga suria."
Menurut Puan Zhang Lanying, pusat teknologi tenaga suria itu akan menyediakan teknologi atau rancangan pembangunan yang kosnya lebih rendah kepada negara-negara membangun. Beliau menyatakan bahawa Gansu akan terus menawarkan latihan berhubung teknologi tenaga suria dan mempergiatkan pemindahan teknologi tersebut kepada negara luar.
Bandar Baoding, Provinsi Hebei di bahagian utara China juga giat melaksanakan teknologi tenaga suria untuk menyempurnakan kemudahan infrastruktur dan memperbaiki kehidupan penduduk.
Untuk menggalakkan perkembangan industri tenaga suria, Program Bandar Tenaga Suria dilaksanakan di Baoding sejak awal tahun ini. Pegawai berkenaan, Encik Ma Xuelu menyatakan: "Sekarang manusia menghadapi cabaran yang besar, iaitu pencemaran alam sekitar yang kian meningkat dan sumber tenaga yang semakin berkurangan. Kalau situasi ini tidak diubah, kehidupan kami pasti akan terganggu. Baoding kaya dengan sumber tenaga suria, jadi kami boleh menggunakan kelebihan ini."
Syarikat Tenaga Baru Yingli Baoding Berhad, salah sebuah perusahaan pengeluaran alat-alat tenaga suria. 90% produknya dieksport ke Jerman, Sepanyol, Portugal dan A.S.. Naib Pengurus Besar syarikat itu, Encik Ke Zhengguo menyatakan bahawa pihaknya aktif terlibat dalam usaha pembinaan "Bandar Tenaga Suria".
"Kami mengemukakan cadangan terperinci tentang penggunaan tenaga suria kepada pihak berkuasa bandar Baoding, seperti memasang lampu suria di jalan-jalan raya dan kawasan perumahan. Selain itu, kami menubuhkan Persatuan Perindustrian Tenaga Baru untuk menyusun piawaian teknologi berkenaan."
Berdasarkan rancangan, sebelum bulan September tahun ini, sebanyak 1,000 buah lampu suria akan dipasang di 28 buah kawasan perumahan, sementara sistem pencahayaan di 11 jalan raya akan diperbaiki, dan teknologi pencahayaan dengan tenaga suria pula akan diperkenalkan ke 9 buah sekolah.
Tenaga suria, sebagai industri baru, masih berada pada tahap perkembangan yang rendah di China. Pihak berkuasa Baoding bersama dengan Syarikat Yingli itu berusaha menyebarkan dan mempopularkan kemajuan tenaga suria kepada orang awam. Pengurus berkenaan dari syarikat tersebut, Puan Fang Yuanyuan berkata: "Kami memasang lampu suria di tempat baca akhbar di sekolah rendah Baoding. Selain itu, kami juga memperkenalkan pengetahuan cara penggunaan tenaga suria kepada pelajar-pelajar tersebut. Mereka nampaknya amat berminat pada pengetahuan itu."
Menurut rancangan pembangunan berkenaan, Program Bandar Tenaga Suria Baoding meliputi pelbagai bidang, seperti pembinaan loji jana kuasa tenaga suria, sistem pencahayaan suria dalam bidang pembinaan, pembekalan air panas dan pemanasan.
|