v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

China Ambil Langkah untuk Lindungi Tasik dan Ekologi Laut
2008-06-25 14:58:25 CRI

Tasik Poyang yang terletak di kawasan utara Provinsi Jiangxi, bahagian tengah China merupakan tasik air tawar yang terbesar di China. Tasik itu merupakan zon perlindungan burung-burung yang utama di dunia, dan berfungsi penting sebagai takungan air dan memelihara kepelbagaian biologi. Memandangkan ia sebagai habitat utama burung yang berhijrah, lalu kawasan itu dijadikan Zon Perlindungan Tasik Poyang dengan penubuhan rasminya pada tahun 1983 dan dijadikan sebagai zon perlindungan peringkat kebangsaan lima tahun kemudian.

Pengarah Jabatan Pentadbiran Zon Perlindungan Alam Peringkat Kebangsaan Tasik Poyang, Encik Ji Weitao menyatakan, disebabkan tasik itu mempunyai fungsi yang amat penting, maka kerja-kerja melindunginya sangat perlu.

"Tasik Poyang dianggap sebagai 'tasik ibu' di Provinsi Jiangxi. Jadi, kami mempunyai tanggungjawab untuk melindunginya."

Menurut Encik Ji, tahun-tahun kebelakangan ini, kerajaan pusat dan pihak berkuasa Provinsi Jiangxi memperuntukkan dana sebanyak 30 juta yuan RMB untuk melindungi Tasik Poyang. Pemeriksaan rutin terhadap tasik itu dijalankan di seluruh zon perlindungan setiap hari.

Tempat-tempat di sekitar tasik itu juga terlibat dalam usaha memelihara zon perlindungan tersebut. Encik Rao Bing yang menguruskan tanah ladang yang terletak di persimpangan Tasik Poyang dengan Sungai Yangtze menyatakan, untuk melindungi alam sekitar di Tasik Boyang, pihaknya pernah menolak cadangan pelaburan dari kawasan lain di China. Pada tahun 2001, seorang ahli perniagaan dari Guangdong memilih sebuah padang pasir di pinggir Tasik Poyang bagi mengembangkan sektor perhutanan. Dia melabur modal sebanyak kira-kira 3 juta yuan RMB untuk menanam pokok poplar yang seluas puluhan hektar di kawasan tersebut. Walaupun pelaburan itu mendatangkan banyak keuntungan, tetapi pokok poplar memerlukan sejumlah besar air. Setelah projek memulihkan tanah pertanian menjadi tasik semula dilaksanakan di China pada tahun 2002, melalui rundingan dengan pihak Guangdong, kawasan di pinggir Tasik Poyang yang ditanam dengan pokok poplar itu dipulihkan menjadi tasik. Encik Rao Bing: "Padang pasir itu sudah menjadi sebuah tanah paya. Semasa musim sejuk setiap tahun, sejumlah besar burung singgah di sini. Manusia dan burung boleh tinggal bersama secara harmoni di kawasan ini. "

Pihak berkuasa Tasik Poyang meningkatkan kerjasama antarabangsa untuk melindungi zon perlindungan itu. Encik Ji Weitao menyatakan, melalui kerjasama dengan negara luar dan badan antarabangsa, Tasik Poyang semakin dikenali umum dan menarik bantuan kewangan, kelengkapan dan program latihan berkaitan dari luar negara. Pada tahun 2006, Tasik Poyang mendapat "Hadiah Perlindungan Tasik yang Terbaik di Dunia" daripada Tabung Alam Sekitar Global. Menurut Pengarah itu: "Kami meningkatkan kerjasama dengan pelbagai badan antarabangsa, termasuk FAO, UNDP dan WWF serta pakar-pakar dari pelbagai negara di dunia bagi pemeliharaan Zon Perlindungan Tasik Poyang."

Selain melindungi tasik, China juga mengambil langkah untuk mengelakkan ekologi laut daripada terjejas secara berterusan.

Bandar Weihai di Provinsi Shandong, timur China mempunyai wilayah laut yang luas dan kaya dengan hidupan laut. Namun, sumber tenaga yang semakin berkurangan dan alam sekitar yang bertambah buruk merupakan pengorbanan yang agak besar bagi bandar itu untuk mengembangkan sektor perikanan. Ketua Pusat Promosi Teknologi Perikanan Bandar Weihai, Encik Wang Junwei menyatakan: "Sejak tahun 1990-an, kami telah menghadapi kesulitan dalam bidang akuakultur dan penangkapan ikan. Alam sekitar di perairan laut bandar ini menjadi semakin buruk kerana kegiatan penangkapan ikan yang berlebihan merosakkan kepelbagaian biologi di dalam laut."

Memandangkan keadaan itu, pihak berkuasa bandar Weihai mengambil siri tindakan untuk membina semula sistem ekologi laut. Ini termasuk meletakkan terumbu karang buatan manusia ke dalam laut. Kaedah itu akan menyediakan habitat kepada hidupan laut dan memulihara sistem ekologi laut.

Dengan sokongan kerajaan, Kumpulan Hasil Laut Xigang yang berskala paling besar di bandar Weihai aktif melakukan ujian meletakkan terumbu karang buatan manusia ke dalam laut dan telah mencapai hasil yang besar. Pada tahun 2004, Provinsi Shandong memperuntukkan dana sebanyak 160 juta yuan RMB untuk membaik pulih sistem ekologi laut. Kumpulan Xigang itu memikul tanggungjawab untuk meletakkan terumbu buatan manusia ke dalam laut. Pengurusnya, Xia Yuming memaklumkan: "Setelah program itu dilaksanakan, ekologi laut semakin pulih. Jumlah ikan dalam laut itu meningkat dengan ketara berbanding masa sebelumnya."

Berdasarkan statistik jabatan perikanan berkenaan, keadaan Weihai yang mengalami kekurangan hidupan laut telah dipulihkan dan alam sekitar di perairan bandar itu juga diperbaiki. Pakar ekologi laut, Profesor Tang Tingyao dari Universiti Shandong menyatakan: "Kesemua tindakan tersebut amat berkesan bagi kami untuk membaik pulih ekologi laut dan memelihara kepelbagaian sumber laut. Dalam tempoh tiga tahun, kami pasti akan mencapai hasil yang lebih besar dalam usaha itu."

Selain itu, bandar Weihai juga menggalakkan perusahaan untuk menggunakan teknologi penternakan yang baru bagi meringankan tekanan sektor penternakan terhadap ekologi laut. Serentak dengan itu, sejumlah besar kilang yang mengakibatkan pencemaran serius terhadap ekologi laut telah ditutup.

Pegawai dari pihak berkuasa Provinsi Shandong menyatakan, pada masa depan, Weihai akan terus mengawal pencemaran dan memulihara ekologi laut.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |