v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Negara-negara Membangun Tunjukkan Prestasi Mengagumkan dalam Sukan Olimpik Beijing
2008-09-02 11:46:02 CRI

Ketika lima bulatan Olimpik yang melambangkan lima benua dinaikkan ke ruang udara Stadium Sarang Burung dalam majlis perasmian Sukan Olimpik Beijing, bermulalah satu era yang baru bagi temasya sukan itu yang julung kalinya diadakan di China, iaitu negara membangun yang terbesar di dunia ini. Dalam Sukan Olimpik Beijing kali ini, kontinjen negara-negara membangun telah mencipta sejarah tersendiri dalam gelanggang sukan yang terhebat di dunia ini. Pada masa yang sama, pola arena sukan antarabangsa juga sedang mengalami perubahan yang mengagumkan.

Pada 24 Ogos lalu, upacara penyampaian pingat acara maraton diadakan dalam majlis penutup Sukan Olimpik Beijing yang menjadi tumpuan seluruh dunia. Ketiga-tiga pemenang pingat acara itu semuanya dari Afrika, antaranya termasuk pelari dari Kenya, Samuel Kamau Wansiru. Atlet Afrika telah menunjukkan kelebihan yang tiada tandingannya dalam acara larian jarak jauh dan sederhana. Bagi atlet-atlet Afrika, walaupun kemudahan sukan di negara mereka serba kekurangan, tetapi mereka tetap mempunyai keyakinan diri yang kukuh untuk mencapai kejayaan dalam kejohanan sukan. Pemenang pingat emas 800 meter wanita, pelari Kenya yang baru berumur 19 tahun, Pamela Jelimo berkata sebelum Sukan Olimpik Beijing berlangsung, bahawa

"Saya telah membuat persiapan yang sebaik-baiknya. Saya berjanji akan menunjukkan persembahan yang baik dan membawa pulang satu pingat untuk tanah air saya."

Dalam Sukan Olimpik ini, prestasi kontinjen Jamaica memang mengagumkan. Atlet pecutnya, Usain Bolt muncul menjadi pelari terpantas di muka bumi. Beliau memenangi tiga pingat emas dalam acara 100m, 200m dan 4X100m lelaki dengan catatan masa yang semuanya memecahkan rekod dunia. Dalam acara 100 meter wanita pula, pelari pecut Jamaica menyapu bersih ketiga-tiga pingat.

Prestasi pelari pecut negara itu yang cukup cemerlang telah menarik perhatian seluruh dunia. Seluruh rakyat Jamaica dikatakan turut bersorak riang untuk kejayaan kontinjen mereka. Setelah berjaya mendapat gelaran juara 100m dan 200m lelaki, Usain Bolt berkata,

"Ini memang hebat! Saya tak sangka boleh menjadi juara bagi dua acara ini dengan rekod dunia yang baru. Pencapaian ini memang besar ertinya bagi saya."

Selain olahraga, kontinjen negara-negara membangun juga menunjukkan prestasi yang baik dalam acara yang lain seperti renang. Perenang Tunisia, Oussama Mellouli berjaya mengalahkan pemegang rekod dunia, perenang Australia, Grant Hackett dalam acara gaya bebas 1500 meter lelaki dan menjadi atlet Arab yang pertama memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik Beijing.

Perenang Zimbabwe, Kirsty Coventry pula menjadi wira negaranya dengan pungutan satu emas, selain tiga perak. Coventry berharap moga-moga prestasinya dapat memberangsangkan semangat saudara setanah airnya ketika bersama-sama menghadapi kesukaran di negara mereka sendiri.

"Saya tahu semua orang amat teruja. Mereka turut berasa bangga kerana dapat mendengar lagu kebangsaan Zimbabwe berkumandang di "Kubus Air". Saya pun berasa bangga kerana dapat merealisasikan impian negara. Saya berharap, semua yang berlaku di sini dapat memberi rangsangan kepada semua orang dan melahirkan kesan yang positif."

Dalam Sukan Olimpik Beijing kali ini, terdapat beberapa buah negara membangun yang juga berjaya melakar sejarah tersendiri dengan menyertai temasya sukan.

Penembak dari India, Abhinav Bindra melakar sejarah baru dalam arena sukan negaranya apabila memenangi pingat emas pertama negara itu dalam acara individu menerusi acara menembak rifle angin 10 meter lelaki. Anggota warga India Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Raja Randhir Singh menyatakan bahawa kejayaan Abhinav Bindra amat bermakna bagi pengamal dan peminat sukan di India.

"Pingat emas ini telah meletakkan sasaran baru bagi semua pengamal sukan di India. Saya sangat gembira, kerana ini bukanlah juara kejohanan yang biasa."

Atlet dari Mongolia, Maidan Tuvshinbayar juga memenangi pingat emas pertama bagi negaranya dalam Sukan Olimpik ini menerusi acara judo kategori 100kg lelaki. Kejayaannya turut disambut meriah oleh seluruh rakyat Mongolia. Seorang wartawan wanita dari Mongolia berkata;

"Kami belum pernah memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik. Jadi, pingat ini pingat emas pertama negara kami dalam sejarah Sukan Olimpik. Saat ini saat yang begitu mulia bagi semua orang Mongolia. Mereka semuanya sangat gembira sekarang dan melaungkan sorakan di seluruh pelosok negara."

Selain pingat emas, pingat perak dan gangsa tetap juga berharga. Sesetengah negara buat kali pertamanya mendapat pingat Olimpik dalam Sukan Olimpik Beijing.

Yang lebih menyentuh hati kita, beberapa orang atlet dari negara yang terperangkap dalam kancah perang telah membuktikan kehebatan diri mereka dengan berdiri di atas podium Sukan Olimpik Beijing.

Di Afghanistan, tahap keselamatan nyawa para atlet memang membimbangkan. Setiap kali keluar masuk gelanggang latihan, mereka akan terdedah kepada risiko yang boleh mengorbankan nyawa sendiri. Walaupun begitu, atlet Afghanistan telah membawa pulang pingat Olimpik pertama negaranya dari Beijing yang telah dinanti-nantikan selama lebih 70 tahun. Yang mewakili Afghanistan berdiri di atas podium Sukan Olimpik Beijing ialah Ruhullah Nepai, pemenang pingat gangsa acara taekwondo bawah 58 kg lelaki. Air mata kegembiraan mengalir di pipinya ketika disampaikan pingat. Ruhullah Nepai mahu pingat itu menyatupadukan saudara setanah airnya supaya keadaan negaranya dapat dipulihkan.

"Yang paling menggembirakan ialah saya memperoleh pingat Olimpik pertama untuk Afghanistan! Ketika berdiri di atas podium, melihat pingat gangsa yang digantung di dada, saya sangat teruja sehingga tidak dapat menahan air mata. Saya ingin memberikan pingat ini kepada tanah air saya dan rakyat negara saya yang tersayang!"

Pencapaian atlet-atlet dari negara membangun dalam Sukan Olimpik Beijing kali ini bukan sahaja merupakan suatu kejayaan dan kebanggaan, malah juga menyemarakkan semangat kesukanan. Merekalah yang melaksanakan semangat Olimpik. Merekalah yang menerajui aktiviti sukan dan menjadikan aktiviti ini lebih popular di seluruh dunia.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |