Pada malam 6 September waktu Beijing, lagu Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa akan disiarkan di "Sarang Burung", Stadium Negara China di Beijing. Ini menandakan Sukan Paralimpik ke-11 yang akan berlangsung selama 11 hari membuka tirainya.
Pada malam ini, seramai lebih 4,000 orang atlet kurang upaya dari lebih 140 buah negara dan wilayah berkumpul dalam upacara perasmian ini untuk menyemarakkan semangat untuk membaharui diri dan berjuang tidak mengenal putus asa, hidup bersama dengan orang biasa dan bersama-sama membangunkan dunia serta berkongsi kegembiraan yang didatangkan oleh Sukan Olimpik.
Saat ini diharapkan oleh rakyat China akan menarik perhatian negara di seluruh dunia. Kawan-kawan yang prihatin dan menyayangi orang kurang upaya (OKU) menanti-nantikan bermulanya Sukan Paralimpik Beijing! Pengerusi Persekutuan Orang Kurang Upaya China, Deng Pufang telah menyampaikan harapannya kepada Sukan Paralimpik. Katanya:
"Sukan Paralimpik merupakan pesta yang dinikmati bersama-sama oleh rakyat seluruh dunia dan juga merupakan perhimpunan manusia untuk mengetepikan diskriminasi dan prasangka, dan menganjurkan kesamarataan dan keharmonian. Kami menanti-nantikan ketibaannya. Kami bersama-sama dengan rakyat seluruh dunia menjunjung panji-panji 'satu dunia satu impian" dan melaungkan harapan kepada keamanan, kemajuan, persahabatan dan kemanusiaan masyarakat manusia."
Presiden Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Philip Craven percaya bahawa Sukan Paralimpik Beijing akan sehebat Sukan Olimpik Beijing:
"Presiden China, Hu Jintao telah menyatakan secara terbuka bahawa Sukan Paralimpik Beijing akan sehebat Sukan Olimpik Beijing. Janji ini perlu ditunaikan melalui tindakan. Pada hakikatnya, setiap hari, kita dapat menyaksikan banyak tindakan yang memberitahu kita bahawa kedua-dua sukan tersebut akan sama hebatnya."
Upacara perasmian Sukan Paralimpik Beijing bermula pada pukul 8.00 malam ini waktu Beijing dan akan berlangsung kira-kira 2 jam 50 minit. Terlebih dahulu, atlet-atlet dari pelbagai negara dan wilayah akan memasuki Stadium Negara, dan kemudian pertunjukan kesenian akan dimulakan. Pertunjukan yang bertema "jiwa" akan dipersembahkan dalam tiga babak.
Seperti dalam upacara perasmian Sukan Olimpik, penyalaan obor utama akan menjadi kemuncak upacara ini dan cara penyalaannya pasti menarik perhatian orang ramai. Marilah kita bersama-sama menunggu saat pendedahan itu.
Selain daripada upacara perasmian, Sukan Paralimpik Beijing juga menciptakan rekod dalam beberapa bidang.
Sukan Paralimpik Beijing ini disertai oleh lebih 4,000 orang atlet dari lebih 140 buah negara dan wilayah, serta lebih 2,500 orang jurulatih dan pegawai, sehingga Sukan kali ini menjadi Sukan Paralimpik yang paling banyak disertai oleh negara dan wilayah dalam sejarah.
Di seluruh dunia ada lebih 600 juta OKU, dan antaranya lebih 83 juta terdapat di China. Untuk memudahkan warga kurang upaya menonton pertandingan, sistem siaran yang menggunakan baha kali ini. Warga kurang upaya boleh memperolehi maklumat yang berkenaan melalui bahasa isyarat yang ditayangkan dalam laman web Sukan Paralimpik Beijing. Perkhidmatan ini disediakan julung-julung kalinya dalam sejarah Sukan Paralimpik.
Sukan Paralimpik diadakan buat kali pertama pada tahun 1960. Naib Ketua Bahagian Sukan Paralimpik Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Beijing, Wang Bingyang telah menerangkan asal-usul Sukan Paralimpik:
"Perang Dunia ke-2 bukan sahaja mengakibatkan banyak nyawa yang terkorban, bahkan ramai orang yang cedera dan menjadi orang kurang upaya. Pada tahun 1948, seorang doktor Jerman, Ludwig Guttmann dan tokoh-tokoh yang amat prihatin terhadap golongan kurang upaya telah menganjurkan sukan bola keranjang kerusi roda yang disertai oleh sebahagian daripada askar yang kurang upaya. Sukan ini dikenali juga dengan nama 'Sukan Stoke Mandeville'. Pada tahun 1960, dua minggu selepas Sukan Olimpik Rome ke-17 berakhir, seramai 400 orang atlet kurang upaya dari 23 buah negara telah beraksi dalam Sukan Stoke Mandevelle ke-9 di Rome. Sukan tersebut kemudiannya, diiktiraf sebagai Sukan Paralimpik kali pertama oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC)."
Sejak tahun 1960, Sukan Paralimpik ini diadakan empat tahun sekali. Selepas Sukan Paralimpik ke-8 diadakan di Seoul pada tahun 1988, Sukan Paralimpik ini telah diadakan di bandar yang sama dengan Sukan Olimpik setiap kali. Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa ditubuhkan pada tahun 1989.
"Membaharui diri" merupakan satu daripada tiga konsep Sukan Paralimpik Beijing. Ia menggambarkan sasaran Sukan Olimpik iaitu "lebih cepat, lebih tinggi dan lebih kuat" serta inti pati sukan warga kurang upaya.
Warga kurang upaya hendaklah membaharui diri sendiri, bukan sahaja dari segi fizikal, bahkan dari segi semangat. Pengerusi Persekutuan Orang Kurang Upaya China yang juga pemenang "Anugerah Hak Asasi Manusia PBB", Deng Pufang berkata, "Sukan OKU mempunyai erti yang istimewa sejak dari mula lagi. Melalui sukan ini, warga kurang upaya mencabar kemampuan sendiri dan mempamerkan daya cipta serta nilai kemanusiaan."
"Perpaduan" juga merupakan salah satu konsep Sukan Paralimpik Beijing yang menggambarkan pandangan nilai Olimpik, iaitu "perpaduan, kedamaian dan keharmonian".
Sejak beberapa tahun yang lalu, masyarakat China telah mula memberikan perhatian dan kasih sayang kepada orang kurang upaya melalui pelbagai cara. Usaha untuk membantu OKU di China telah mencapai kemajuan yang amat besar. Kerajaan China telah memperuntukkan dana khusus dan menggubal beberapa dasar untuk memperbaiki kehidupan OKU, juga memelihara hak dan kepentingan mereka. Sebagai contoh, dasar bantuan untuk OKU yang digubal oleh kerajaan Beijing melibatkan pelbagai aspek kehidupan golongan kurang upaya ini. Pegawai Persekutuan Orang Kurang Upaya Beiijing, Puan Zhao Chunluan berkata:
"Dasar tersebut melibatkan bidang jaminan sosial, penggalakan OKU mencari nafkah dan menjamin kesamarataan OKU dalam kehidupan masyarakat."
Pada bulan April tahun ini, Undang-undang Jaminan Orang Kurang Upaya telah dipinda oleh badan perundangan China untuk meningkatkan jaminan sosial terhadap OKU, kemudian ia dikuatkuasakan pada 1 Julai yang lalu. Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China meluluskan Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya PBB. Konvensyen ini merupakan undang-undang antarabangsa pertama dalam sejarah PBB yang menyasarkan perlindungan hak warga kurang upaya secara menyeluruh. Naib Menteri Luar China, Wu Dawei menyatakan:
"Konvensyen yang diluluskan ini amat berguna untuk merealisasikan suasana masyarakat yang menghormati hak dan maruah warga kurang upaya dan memanfaatkan perkembangan usaha jaminan warga kurang upaya di China."
"Berkongsi", sebagai satu lagi konsep Sukan Paralimpik Beijing mencerminkan bahawa OKU dan orang biasa boleh hidup bersama dan membangunkan dunia bersama-sama. "Berkongsi" bermakna OKU dan orang biasa menikmati hak yang sama rata baik dalam sukan mahupun dalam kehidupan masyarakat di dunia.
Untuk memudahkan warga kurang upaya bersama-sama orang biasa menikmati kegembiraan dalam Sukan Olimpik, kelengkapan tanpa halangan telah disediakan di gelanggang, di tempat perkhidmatan media, di hotel dan dalam perkhidmatan pengangkutan. Atlet Ukrain acara bola keranjang kerusi roda yang telah menyertai Sukan Paralimpik sebanyak tiga kali, Viktor Cerpov, menyatakan bahawa gelanggang Sukan Paralimpik memberikan kesan yang mendalam kepadanya. Kata beliau:
"Saya pergi ke gelanggang tersebut dua kali, dua hari yang lalu. Kelengkapan di sana amat bagus dan memang memudahkan atlet. Saya bertuah kerana berpeluang menyertai pertandingan di sini."
Di Perkampungan Sukan Paralimpik Beijing, sejumlah 42 buah gedung akan menyediakan perkhidmatan kepada kontinjen dari pelbagai negara. Kesemua terletak di tingkat pertama hingga ke tingkat ketiga sahaja. Untuk memudahkan atlet kurang upaya lalu, pintu setiap bilik dalam gedung tersebut telah dilebarkan 10% lebih besar daripada pintu biasa. Selain itu, suis dan pemegang pintu dipasang di tempat yang lebih rendah.
Di samping itu, dalam tempoh Sukan Paralimpik ini, Beijing menyediakan 17 laluan bas yang akan digunakan oleh 400 buah bas tanpa halangan. Begitu juga, Beijing telah membentuk pasukan teksi tanpa halangan yang pertama di China untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih sempurna bagi Sukan Paralimpik.
Bagi warga OKU, selain menyertai Sukan Paralimpik dengan acara masing-masing, mereka juga menikmati kemudahan yang disediakan oleh masyarakat. Ketua Pejabat Jawatankuasa Urusan Orang Kurang Upaya Beijing, Li Caimao berkata:
"Seramai 12,000 orang kurang upaya telah memohon untuk menjadi sukarelawan Sukan Paralimpik. Dalam upacara perasmian dan penutup Sukan Paralimpik pula, 680 OKU akan membuat persembahan kesenian. Selain itu, lebih 10,000 unit hadiah yang dibekalkan oleh bandar Beijing bagi Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Beijing adalah hasil usaha OKU."
Selepas upacara perasmian mala ini berakhir, pertandingan Sukan Paralimpik akan bermula secara rasmi. Presiden Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa, Philip Craven mengundang para pendengar untuk datang menikmati pertandingan tersebut. Kata beliau:
"Dulu, saya pun atlet acara bola keranjang kerusi roda. Saya hendak memberitahu para pendengar CRI bahawa sekiranya anda menonton pertandingan Sukan Paralimpik dengan mata sendiri, anda tentu akan berasa kagum dan terkejut. Baik anda bersiap sedia!"
Atlet dari pelbagai negara masing-masing berharap akan menunjukkan prestasi yang baik. Ketua kontinjen China, Wang Xinxian berkata:
"Kami akan berjuang dalam setiap acara untuk memperolehi prestasi yang baik. Di samping itu, kami akan menikmati bersama-sama perhimpunan yang menggembirakan ini."
Sukan Paralimpik bukan hanya tempat bagi golongan kurang upaya ini bersukan sahaja, ia lebih merupakan pentas untuk OKU menyatakan impian mereka dan menjadikan mereka mampu membaharui diri sendiri. Melalui peluang ini, konsep "OKU hidup bersama orang biasa di dunia ini dan berkongsi kebahagiaan" diperkenalkan.
"Satu dunia, satu impian!" Mari kita bersama-sama menikmati pertandingan Sukan Paralimpik dalam beberapa belas hari akan datang.
|