Sukan Paralimpik Beijing sedang diadakan dengan meriah, dan para atlet dari pelbagai negara dan wilayah sedang bersaing dalam pelbagai acara pertandingan. Pengerusi Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa, Philip Craven telah pergi ke pelbagai gelanggang untuk meninja perjalanan temasya sukan itu. Baru-baru ini, Encik Craven telah diwawancara oleh wartawan CRI melalui telefon.
Encik Cravan menyifatkan upacara perasmian Sukan Paralimpik di "luar dugaan". Kata beliau:
"Upacara perasmian Sukan Paralimpik memang di luar dugaan dan amat mengharukan saya. Temanya 'melampaui diri, perpaduan dan berkongsi' memang mudah difahami, tetapi saya selalu memikirkan apa kaitan perkataan 'melampaui diri' dengan Sukan Paralimpik. Upacara perasmian Sukan Paralimpik memberitahu saya erti sebenar perkataan itu."
Untuk menjayakan Sukan Olimpik dan Paralimpik, kerajaan bandar Beijing telah mengambil tindakan untuk membina kemudahan tanpa halangan. Encik Craven menganggap bahawa infrastruktur di bandar Beijing dan kemudahan dalam gelanggang tersebut telah melebihi piawaian yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa. Katanya:
"Semua kelengkapan telah mencapai piawaian yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa, bahkan telah melebihi piawaian kami dalam beberapa aspek. Sekiranya anda pergi ke Perkampungan Sukan Paralimpik dan berbual-bual dengan atlet, anda akan maklum bahawa mereka amat puas hati dengan kemudahan tanpa halangan yang disediakan, makan, minum dan perkhidmatan pengangkutan di Beijing. Jika tempat kediaman memuaskan mereka, pertandingan pasti tidak menjadi tekanan kepada mereka. Sekarang saya sedang berada di stadium Judo. Kelengkapan di sini amat bagus dan ramai penonton sedang menyaksikan pertandingan. Bukankah ini yang kita kehendaki? Pengelolaan temasya sukan di Beijing amat berjaya. Saya pasti, di Qingdao dan di Hong Kong juga sama baiknya."
Sama ada atlet Sukan Paralimpik akan mendapat bantuan dan tajaan yang sama dengan yang diperolehi atlet Sukan Olimpik atau tidak, merupakan satu isu yang menjadi perhatian umum. Encik Craven menyatakan bahawa pola pembangunan di beberapa buah negara dapat dipelajari. Katanya:
"Sebagai contoh, saya pernah bertugas sebagai Ketua Eksekutif skuad bola keranjang kerusi roda Britain sehingga tahun 2001. Jika atlet Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik mencapai prestasi yang baik dan dapat membuktikan kemampuan masing-masing, mereka akan memperolehi tajaan yang sama. Begitu juga keadaanya di beberapa buah negara lain. Misalnya Ukraine mengambil dasar yang hampir sama dengan dasar kami, begitu juga di Austrarlia dan Kanada. Usaha menjamin kebajikan OKU sedang berkembang pesat. Kerajaan dan penaja mula memberikan tajaan kepada Sukan Paralimpik, sama seperti kepada Sukan Olimpik."
Menurut Encik Craven, Sukan Paralimpik dapat berkembang dengan baik juga kerana Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa dan Jawatankuasa Sukan Paralimpik selalu memperolehi tajaan daripada syarikat kerajaan dan syarikat swasta. Kata beliau:
"Dasar pihak kami adalah memastikan sokongan terhadap Jawatankuasa Paralimpik negara anggota dan empat buah persatuan sukan yang memeterai perjanjian dengan kami terlebih dahulu. Jadi, tajaan amat penting bagi kami. Sejak Sukan Paralimpik tahun 2004 hinggalah sekarang, banyak penaja syarikat dan penaja yang tidak mahu dikenalai yang makin berminat terhadap Sukan Paralimpik. Kami yakin Sukan Paralimpik berpotensi besar dalam pasaran."
Pada akhirnya, Encik Craven telah berkongsi perasaan gembiranya dengan wartawan. Katanya:
"Untuk menyertai pertandingan, anda perlu menjalani latihan selama 4 tahun, bahkan mungkin lebih lama lagi. Anda datang ke sini, ke Perkampungan Sukan Paralimpik yang cantik, bertanding di gelanggang yang begitu moden, menikmati perkhidmatan pengangkutan yang baik, dan melawat bandar yang bersejarah lama. Jadi, selain bergembira dan berjuang untuk mempersembahkan prestasi yang paling baik, apa lagi yang anda mahu? Di sini, anda akan menjadi lebih teruja."
|