Bagi setiap atlet, dapat mewakili negara sendiri dalam Sukan Olimpik merupakan pengalaman yang memang membanggakan. Bekas anggota pasukan pingpong negara Malaysia, Encik Ng Keng Chuan juga pernah berjuang bermati-matian untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Beijing. Malang tidak berbau, ketika beliau sedang giat mempersiapkan diri untuk ke temasya sukan ini tahun lalu, beliau menemui kemalangan, dan kecederaan yang dialaminya akibat kemalangan tersebut telah mematahkan impiannya untuk menyertai temasya sukan yang terbesar di dunia ini. Walau bagaimanapun, Encik Ng Keng Chuan akhirnya berpeluang juga datang ke Beijing pada musim panas tahun 2008 ini sebagai Ketua Kontijen Negara Malaysia bagi Sukan Paralimpik.
Ketika ditemu bual wartawan CRI, Encik Ng berkata,"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan juga Majlis Paralimpik Malaysia kerana memberikan saya penghormatan sebagai CEN kali ini. Saya akan berusaha sedaya upaya untuk membawa pingat pulang ke tanaih air."
Dengan senyuman yang terukir di wajahnya, Encik Ng memberitahu wartawan kami bahawa membawa pulang satu pingat dari Sukan Olimpik Beijing pernah menjadi impiannya yang terbesar pada suatu ketika dahulu. Impiannya kini bertukar menjadi harapan semoga beliau dapat membantu 11 orang atlet kurang upaya dalam kontinjen Malaysia memberikan persembahan yang terbaik dalam Sukan Paralimpik Beijing, dan meraih lebih banyak pingat Sukan Paralimpik untuk Malaysia.
Beliau menyatakan bahawa sebagai bekas atlet, beliau lebih memahami apa yang diperlukan oleh atlet sebelum berlangsungnya acara kejohanan. Pengalaman ini banyak membantu dalam melaksanakan tugasnya sebagai ketua kontinjen negara bagi Sukan Paralimpik.
Kerana kehidupannya sendiri pun terganggu oleh kecacatan sejak lebih setahun yang lalu, Encik Ng juga meluahkan rasa hormatnya kepada para atlet kurang upaya yang diketuainya kali ini. Kata beliau,
"Semua atlet yang dapat bertanding dalam temasya sukan ini, sudah berjaya mengatasi pelbagai kesukaran untuk sampai ke tahap ini. Saya tentu berkeinginan untuk menyertai temasya sukan ini sebagai atlet, tetapi buat masa ini, kemahiran dan kekuatan saya masih tidak mencukupi. Ini bukan suatu temasya atau pertandingan yang boleh disertai oleh sesiapa secara suka-suka. Temasya ini ada standardnya di peringkat antarabangsa. Jadi, memang setiap atlet yang ada di sini, yang mewakili negara sudah mengatasi berbagai-bagai cabaran untuk menyertai sukan ini."
Menurut Encik Ng, pelan latihan persediaan bagi kontinjen Malaysia untuk Sukan Paralimpik Beijing dimulakan pada enam bulan yang lalu. Kontinjen yang diketuainya ini terdiri daripada para atlet yang berpotensi untuk meraih pingat dalam Sukan Paralimpik kali ini. Antaranya termasuk pemanah acara individu recurve lelaki W1/W2, Muhamad Salam Sidik, atlet acara angkat berat kategori 56kg wanita, Siow Lee Chan dan perenang acara gaya bebas 50 meter lelaki, Yusup Dewa. Jika mereka berjaya membawa pulang pingat dari Sukan Paralimpik ini dengan latihan hanya selama enam bulan, pasti lebih ramai orang akan tertarik kepada usaha memajukan sukan OKU.
Oleh itu, Encik Ng merasakan bahawa Sukan Paralimpik Beijing merupakan satu peluang yang baik bagi mempergiatkan lagi usaha itu di Malaysia.
Sejak Sukan Paralimpik Beijing dirasmikan, isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Jeanne Abdullah yang juga penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) kelihatan hadir pada setiap pertandingan yang disertai atlet negaranya. Beliau juga kelihatan bersorak dan bertepuk untuk setiap atlet Malaysia yang bertanding dan memberikan galakan kepada para pemanah Malaysia secara teknikal supaya mereka tidak berasa tertekan. Ketika atlet acara angkat berat wanita Malaysia, Siow Lee Chan memperoleh pingat pertama negara itu pada Sukan Paralimpik ini, Datin Seri Jeanne berpeluk-pelukan dengannya untuk menyatakan kegembiraan dan mengucapkan tahniah. Encik Ng amat menghargai sokongan dan galakan yang diberikan Datin Seri Jeanne kepada atletnya.
"Kehadiran Datin Seri dan juga Datuk Ismail pada pertandingan ini telah meningkatkan semangat atlet. Saya percaya, inilah kali pertama ada pegawai tinggi negara datang untuk memberikan sokongan. Saya dapat merasakan semangat semua atlet meningkat naik."
Encik Ng dilihat penuh bertenaga ketika menjalankan tugasnya sebagai ketua kontinjen dan tidak sama sekali merasakan dirinya OKU. Beliau telah hadir dalam setiap pertandingan yang disertai atletnya, walaupun pertandingan pusingan awal. Beliau yang cacat kakinya berjalan dengan menggunakan topang ketiak. Tapi, beliau tidak pernah meminta bantuan orang lain ketika berjalan. Beliau memberitahu wartawan kami bahawa kadang kala, orang kurang upaya betul-betul memerlukan bantuan orang lain kerana kecacatan mereka, tapi mereka tidak mahu simpati orang lain. Misalnya, di jalan raya, kemudahan yang diperlukan oleh OKU yang berkerusi roda ialah sebuah pelantar cerun yang bersambung dengan kenderaan supaya mereka dapat menaiki kenderaan itu sendiri, dan bukanlah diangkat ke dalam kenderaan itu dengan bantuan orang lain.
Berpegang kepada semangat berdikari ini, hati Encik Ng tersentuh apabila menyaksikan persembahan penari balet OKU, Yang Yue dalam majlis perasmian Sukan Paralimpik Beijing.
"Penari balet ini ialah gadis yang kehilangan kaki 4 bulan yang lalu akibat gempa bumi di Sichuan. Semangat yang dapat dilihat di mukanya inilah semangat yang dimiliki oleh semua atlet Paralimpik."
Setakat ini, kontinjen Malaysia telah memungut satu pingat gangsa menerusi acara angkat berat. Ketika atletnya, Siow Lee Chan berjaya mengangkat beban seberat 95 kg, Encik Ng kelihatan sangat teruja sehingga beliau bangun dan berdiri di kawasan tempat duduk penonton dengan senyum lebar pada wajahnya.
Slogan Sukan Paralimpik Beijing ialah "Sukan Paralimpik sehebat Sukan Olimpik". Encik Ng tentu merasainya pada saat atletnya mencapai kejayaan.
----Puspa
|