v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Sukan Minda Dunia, Satu Wadah bagi Interaksi Bestari Sesama Manusia
2008-10-16 08:52:07 CRI

Sukan Minda Dunia yang pertama telah dibuka tirainya di Beijing pada 3 Oktober lalu. Ini merupakan satu lagi temasya sukan peringkat dunia yang diselenggarakan oleh China selepas Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Beijing. Temasya sukan ini menarik penyertaan kira-kira 3000 orang peserta dari lebih 140 buah negara dan wilayah. Ketika menikmati kegembiraan yang dibawa oleh temasya sukan ini, mereka juga akan bertanding hebat dalam lima acara utama, iaitu bridge, catur, catur lompat serta dua catur tradisional masyarakat Cina yang dikenali sebagai Weiqi dan Xiangqi.

Sukan Minda Dunia ini dianjurkan oleh Persatuan Sukan Minda Antarabangsa yang ditubuhkan pada tahun 2005 dengan tujuan untuk mempromosi acara sukan catur dan dam di seluruh dunia. Perbincangan antara pihak Persatuan Sukan Minda Antarabangsa dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menghasilkan keputusan untuk mengadakan temasya sukan ini di bandar yang menjadi tuan rumah Sukan Olimpik pada suatu masa yang sesuai selepas Sukan Olimpik musim panas atau musim sejuk berakhir. Oleh yang demikian, Beijing menjadi tuan rumah edisi pertama Sukan Minda Dunia.

Sukan Minda Dunia pertama akan berlangsung selama 16 hari dengan menawarkan 35 pingat emas untuk direbut oleh para peserta. Dengan penyertaan hampir semua pemain dam dan catur yang paling cemerlang di dunia, termasuk Ratu Catur Dunia, Alexandra Kosteniuk, juara dunia acara Weiqi, Gu Li dan juara dunia acara bridge, Bob Hamman, temasya sukan menguji mental ini akan menjadi wadah bagi interaksi bestari sesama manusia.

Selepas menganjurkan Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik dengan penuh kejayaan, China sekali lagi menjadi tumpuan seluruh dunia kerana menjadi tuan rumah Sukan Minda Dunia pertama. Naib Pengerusi Jawatankuasa Olimpik China, Puan Xiao Min menyatakan pendapatnya bahawa hal ini membuktikan kepercayaan IOC dan Persatuan Sukan Minda Antarabangsa terhadap kemampuan China dalam mengendalikan kejohanan sukan pringkat dunia, dan juga memperlihatkan strategi China untuk mengembangkan aktiviti sukan secara menyeluruh. Kata beliau:

"Sukan minda merupakan komponen penting dalam usaha sukan China. Penganjuran sukan ini memperlihatkan perkembangan yang seimbang antara sukan untuk kejuaraan dan sukan untuk riadah."

Semasa berlangsungnya temasya sukan ini, para peserta dan jurulatih dari pelbagai negara telah memberikan pujian tinggi terhadap taraf pertandingan serta kerja-kerja pengelolaan dan persiapan yang diusahakan oleh pihak tuan rumah.

Ketua Biro Urusan Persekutuan Weiqi Antarabangsa (IGF), Shigeno Yuki menyatakan bahawa,

"Saya pasti semua peserta berasa amat gembira kerana berpeluang mengambil bahagian dalam temasya sukan ini. Peluang keemasan ini membolehkan saya mengenali ramai sahabat dari pelbagai negara di samping menghayati keindahan bandar raya Beijing. China memanglah sebuah negara yang ulung dari segi taraf permainan Weiqi. Kita lihat ada 400 orang pemain Weiqi yang bertanding dengan hebat dalam temasya sukan ini. Kesemua mereka amat menghargai pengalaman begini."

Adam Hicman ialah seorang pemain bridge dari Britain. Beliau kelihatan amat teruja kerana inilah lawatan pertamanya ke Beijing. Beliau menyatakan bahawa,

"Inilah kali pertama saya datang ke Beijing. Saya amat terpesona dengan segala-galanya di bandar raya ini. Sukan Minda ini membolehkan orang ramai dari pelbagai negara yang mempunyai kepercayaan agama dan latar belakang budaya yang berbeza-beza berkumpul bersama-sama untuk berinteraksi antara satu sama lain. Ia menjadi wadah untuk mempromosi acara permainan uji mental ini di seluruh dunia. Pengalaman di China ini takkan saya lupakan seumur hidup."

Sebagai simbol kepada sumber semangat kemanusiaan, para peserta diminta membawa air dalam sebuah bekas bersamamereka dari negara masing-masing. Air bersih itu akan dicampurkan dengan air dari negara-negara lain, dan selepas temasya sukan ini berakhir, masing-masing akan membawa pulang sedikit air tersebut sebagai simbol kebijaksanaan sejagat.

Walaupun Sukan Minda Dunia ini tidak setanding dengan Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik dari segi skop dan kehebatan pengaruhnya, namun ia berjaya menyumbang kepada usaha mempromosi acara permainan uji mental yang diminati ramai di persada sukan antarabangsa. Kami yakin bahawa dengan usaha bersama pelbagai pihak, temasya sukan ini pasti akan memancarkan cahaya yang bersinar seperti Sukan Olimpik.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |