Brunei memfokuskan produk-produk sektor teknologi komputer dan Internet (ICT) dan makanan halal dalam Ekspo China-ASEAN ke-5 yang diadakan di Nanning, Guangxi China pada 22-25 Oktober ini.
Pemangku Ketua Unit Industri dan Promosi Perdagangan, Puan Mariani Sabtu ketika diwawancara wartawan CRI berkata, Brunei Darussalam tahun ini membawa 13 buah syarikat yang berkecimpung dalam bidang ICT. Ini adalah selaras dengan tema Ekspo China-ASEAN ke-5 ini.
"Di samping itu, kami juga membawa produk-produk berupa makanan dan minuman yang ingin diperagakan di negara China dan juga ASEAN. Fokus utama negara Brunei Darussalam ialah untuk mempromosikan jenama Brunei halal. Kami ingin mempelawa syarikat-syarikat dari China dan juga dari ASEAN untuk sama-sama memanfaatkan pasaran global yang bernilai lebih 500 bilion USD," kata Puan Mariani Sabtu.
Delegasi Brunei Darussalam yang terdiri daripada 86 wakil, kebanyakannya daripada sektor swasta, datang ke Naning untuk menyertai ekspo tersebut di atas undangan Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama (MIPR) dan Kementerian Perhubungan Brunei.
"Brunei mempunyai reputasi yang kukuh di arena antarabangsa, kebanyakan negara mengenali Brunei sebagai negara yang kuat pegangan dari segi kehalalan makan dan juga dari segi kualiti dan keselamatan. Itu yang kami ingin kongsikan dengan syarikat-syarikat antarabangsa termasuk China dan juga negara ASEAN," kata beliau.
|