v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Peniaga ASEAN Ingin Merebut Pasaran China dengan Menyertai Ekspo China-ASEAN
2008-10-24 13:39:48 CRI

Ekspo China-ASEAN ke-5 telah memasuki hari ketiga hari ini. Terdapat 2100 buah syarikat dari China dan luar negara yang menyertai ekspo kali ini. Antara kesemua 3300 buah gerai pameran, negara-negara ASEAN telah menyewa sebanyak 1154 buah gerai. Malaysia, Indonesia, Kemboja, Myanmar, Thailand dan Vietnam telah menubuhkan ruang pameran tersendiri untuk mempamerkan barangan buatan masing-masing.

Pengurus Kanan Bahagian Produk, Pembangunan Produk dan Perkhidmatan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Encik Yusram Yusup telah ikut serta dalam pameran itu. Bagi pihak jabatan yang membawa para usahawan Malaysia ke Nanning untuk menyertai ekspo kali ini, beliau berkata: "Sepanjang ekspo ini, sebanyak 109 buah syarikat Malaysia turut serta yang mengeluarkan produk seperti makanan, minuman, produk elektronik dan eletrik, produk ICT serta produk kesihatan telah ikut serta. Kami berharap lebih ramai rakyat ataupun usahawan dari China datang melawat syarikat-syarikat Malaysia ini."

Encik Yusram Yusup (kanan) diwawancara oleh wartawan CRI

Usahawan dari Negeri Kedah Malaysia yang juga Pengerusi Eksekutif E-Man Café, Haji Samsudin Bin Haji Abdullah menyatakan keyakinannya yang kukuh terhadap potensi pasaran produknya di China. Ketika diwawancara oleh wartawan CRI pada hari pertama pameran ini, beliau berkata bahawa tahun ini ialah kali kedua beliau datang ke Nanning untuk menyertai Ekspo China-ASEAN. Beliau datang lagi kerana produknya mendapat sambutan yang cukup menggalakkan pada tahun lepas.

Haji Samsudin memberitahu wartawan CRI bahawa Ekspo China-ASEAN tahun lepas juga diadakan selama empat hari, namun, dalam masa dua hari sahaja, produk yang dibawanya telah habis dijual. Jadi, beliau nampak ada potensi baik produknya dipasarkan di China, khususnya di Nanning. Selain daripada membuat jualan runcit, beliau juga berharap dapat mencari pelabur ataupun pengedar tunggal di China.

Semalam, wartawan CRI berjumpa lagi dengan Haji Samsudin di ruang pameran produk Malaysia. Beliau dengan gembira berkata: "Saya rasa bersyukur kerana pada hari pertama, iaitu semalam, sambutan begitu menggalakkan. Sebenarnya, kita ada banyak permintaan daripada pasaran sini, terutamanya Walmart. Kami telah memberikan sample produk untuk dipamerkan dan dipasarkan di China. Setakat ini, sudah ada lima syarikat China yang besar yang telah menunjukkan minat untuk menjadi pengedar produk kami di China. Selepas ini, kita akan membuat susulan."

Selain daripada barang-barang seperti makanan, minuman, pakaian dan barang kemas yang telah pun diperkenalkan di China sebelum ini, produk pendidikan dan perkhidmatan dari syarikat Malaysia juga dibawa ke Ekspo China-ASEAN kali ini untuk dipamerkan. Pengarah Urusan Sekolah Aman Golf, Puan Sharifah Mordiah bt Sayeed Alwie memberitahu wartawan CRI bahawa tujuan piahknya menyertai Ekspo China-ASEAN kali ini adalah untuk meneroka pasaran China kerana China sedang membangun dengan pesat dan semakin hari semakin ramai orang China yang berminat untuk bermain golf. Inilah satu pasaran yang besar bagi kami.

"Pasaran yang saya teroka sebelum ini ialah Jepun dengan Korea. Sekarang saya ingin melihat ada atau tidak pihak pasaran China yang tertarik kepada program yang kami tawarkan. Ramai orang China yang melawat Malaysia, dibawa oleh agensi pelancongan, Tujuan saya datang ke sini bukan sahaja untuk mengambil pelajar, malah lebih kepada melihat kemungkinan untuk bekerjasama dengan agensi pelancongan atau melantik ejen di sini untuk membawa pelancong-pelancong China yang berminat kepada golf datang ke Malaysia," kata Puan Sharifah.

Selaras dengan tema Ekspo China-ASEAN kali ini, iaitu "kerjasama dalam bidang ICT", negara Brunei Darussalam memberikan fokus kepada produk-produk sektor ICT dan makanan halal. Delegasi Brunei yang terdiri daripada 86 orang anggota itu, kebanyakannya daripada sektor swasta.

Pemangku Ketua Unit Industri dan Promosi Perdagangan, Puan Mariani Sabtu ketika diwawancara berkata: "Brunei Darussalam tahun ini membawa 13 buah syarikat yang berkecimpung dalam bidang ICT. Ini adalah selaras dengan tema Ekspo China-ASEAN ke-5 ini.

Puan Mariani Sabtu (kiri) diwawancara oleh wartawan CRI

Di samping itu, kami juga membawa produk berupa makanan dan minuman yang ingin diperagakan di negara China dan juga ASEAN. Fokus utama negara Brunei Darussalam ialah mempromosikan jenama Brunei yang halal. Kami ingin mempelawa syarikat-syarikat dari China dan juga dari ASEAN untuk sama-sama memanfaatkan pasaran global yang bernilai lebih 500 bilion USD ini.

Brunei mempunyai reputasi yang kukuh di arena antarabangsa. Kebanyakan negara mengenali Brunei sebagai negara yang kuat pegangan dari segi kehalalan makan dan juga dari segi kualiti dan keselamatan. Itulah yang kami ingin kongsikan dengan syarikat-syarikat antarabangsa termasuk China dan juga negara ASEAN."

Pengarah Urusan Syarikat Mimit E-Technology Brunei, Encik Rushdi Dato Haji Ibrahim memberitahu wartawan bahawa inilah kali pertama beliau menyertai Ekspo China-ASEAN ini. Beliau menyatakan bahawa pasaran China sangat besar sekali, sekiranya dapat 1% bahagian pasaran negara China pun sudah cukuplah bagi mereka.

"Benda yang kami bawa ke China ini ialah satu mobile Islam content untuk dipasarkan kepada majoriti Islam di China. Apa yang kami mahu tunjukkan ialah satu pengajaran, satu ilmu yang boleh kita kongsikan bersama orang ramai. Kami memilih menyertai ekspo ini kerana tajuknya China-Asean, maka, kita mahu menguatkan silaturahim bersama orang-orang Islam di mana-mana sahaja. Kami berharap untuk mendapat 1% pasaran sahaja dari China, kerana China merupakan sebuah negara yang besar yang mempunyai jumlah penduduk yang cukup ramai. Jadi, 1% bahagian pasaran pun sudah cukup bagi kami," kata Rushdi Dato Haji Ibrahim.

Pengarah Pelancongan Brunei Darussalam, Sheikh Jamaluddin bin Sheikh Mohammed dalam wawancara dengan wartawan CRI di sini menyatakan bahawa Ekspo China-ASEAN merupakan satu platform yang baik bagi ASEAN dan juga Brunei Darussalam untuk memperkenalkan perkara-perkara yang penting dari segi pelancongan dan perdagangan antara China dengan ASEAN.

"Saya sebagai Pengarah Pelancongan Brunei ingin memperkenalkan keunikan Brunei Darussalam dari segi kampung air, hutan rimba dan adat budaya Brunei kepada China, kerana China ialah sebuah negara yang besar dan penting bagi Brunei dari segi pelancongan dan juga pemasaran," kata beliau.

Beliau menambah bahawa hasil penyertaan Brunei dalam Ekspo China-ASEAN ini ternyata, apabila kedatangan pelancong dari China meningkat 42% berbanding tahun lepas.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |